Semalam terima satu mesej tentang satu pertandingan bolasepak di Kuala Nerang, satu kawasan yang jauh juga dari Alor Setar. Kalau dari Sungai Petani tentulah perjalanannya lebih mengambil masa dan lebih jauh jika dibandingkan dari Alor Setar tadi.
Tujuan saya membangkitkan soal jauh-dekat ini bukanlah untuk menggambarkan masa yang diambil untuk perjalanan tersebut tetapi hanya hendak memfokuskan betapa kerana sedikit wang, orang mengambil jalan mudah tanpa mengira jauh-dekat dan masalah yang dihadapi. Wang adalah segala-galanya.
Bayangkan pertandingan atau liga bolasepak itu menggunakan pegawai perlawanan atau pengadil-pengadil dari Sungai Petani. Sudahlah liga tersebut sangat tidak mengikut panduan dan juga tidak mendapat kebenaran dari KFA, pengadil yang digunakan pula adalah dari pihak yang tidak berkaitan dengan persatuan bolasepak negeri.
Liga bolasepak itu bermain secara 8 sebelah, tidak ada langsung dalam undang-undang permainan dan peraturannya tentulah pakai hentam dan ikut sedap sahaja. Bayangkan kalau terjadi apa-apa masalah dan perlawanan dicemari insiden yang memalukan, siapa yang akan bertanggungjawab? Entah siapa yang menyelaraskannya sehingga dari Sungai Petani datangnya para pengadil perlawanan seolah-olah tiada pengadil yang berhampiran.
Ini bukanlah kali pertama. Dan inilah yang sering berlaku di negeri Kedah.
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sendiri patut juga dipersalahkan dalam hal sebegini. Peraturan yang dibuat terlalu ketat hingga menyulitkan. para pengadil begitu berminat untuk menambah ilmu dan dahagakan pengalaman tetapi pertandingan terhad atau tidak kerap menyebabkan para pengadil ini mencari jalan lain dengan menerima pelawaan pihak yang tidak berdaftar dengan KFA. para pengadil itu tentulah yang tidak didaftarkan dan juga mungkin yang telah digantung kerana masalah disiplin.
Bagi mengelakkan perkara ini, adalah dicadangkan KFA melonggarkan sedikit syarat penganjuran pertandingan atau memperbanyakkan liga tempatan. dengan itu barulah para pengadil ini dapat menimba ilmu dan pengalaman.
Monday, February 8, 2016
Saturday, February 6, 2016
GUNDAH SEORANG IBU
Di sini, di rumah ini
anak-anaknya dilahirkan dan membesar
di sini juga dia menyediakan makanan
lalu kami makan dan makan
tanpa fikir dari mana rezeki datang.
Dan di usia senja ini
dia berbicara tentang anak dan harta
berbicara tentang hati dan mengenang budi
tentang ke mana musnahnya nurani.
Ingatlah apa di katanya
bahawa semua orang akan menjangkau tua
semua akan melewati waktu senja
kita bukan boleh menungkat dunia
ketika itu baru kita tahu apa erti rindu
dan apa makna perasaan sayu.
Setiap saat menanti di pintu ini
bila pula saatnya anak-anak akan pulang lagi
menceriakan hari-hari terakhir yang berbaki
itulah harapan perempuan itu
kerana dia seorang ibu.
- Ilham Syakima,
060216
Sunday, January 31, 2016
LABU ROSAK, TIKUS KEKENYANGAN
Berpeganglah secara serius bahawa bakal sultan dan orang politik tidak sesuai memegang teraju sukan negara. Sudah berkali-kali dinyatakan ketidak-sempurnaan perjalanan persatuan sukan andaianya orang-orang ini memegang tampuk kuasa persatuan sukan. Banyak kelemahan berbanding kebaikan yang bakal kita perolehi. Banyak impak negatif berbanding positif bila sesuatu badan sukan diterajui oleh bakal raja dan orang politik. Banyak contoh telah kita lihat dan yang paling jelas adalah Persatuan Bolasepak Malaysia.
Orang politik pun begitu juga. Glamour saja yang lebih dan peranan mereka hanyalah ketika persatuan memerlukan dana. Kalau bukan kerana menyediakan peruntukan bagi mengendalikan persatuan sudah tentu orang lain lebih baik mengendalikannya.
Usah pergi jauh, lihat sahaja Persatuan Bolasepak Negeri Kedah atau KFA. Dalam masa 10 tahun ini sudah berapa kali tukar presiden kerana pertukaran pucuk pimpinan politik. Selepas Mahadzir Khalid, Ustaz Azizan pula mengendalikan persatuan. Bila kerajaan PAS tumbang dan kembali kepada BN, Datuk Seri Mukriz Mahathir pula diberi tanggungjawab sebagai presiden kerana perlembagan KFA menetapkan hanya Menteri Besar menjawat jawatan tersebut. Sudahnya bolasepak Kedah tidak ke mana dan wang peruntukan habis begitu sahaja.
Nak harapkan tiga piala? Jauh pemanggang dari api. Merosot lagi dan parah lagi memang ada. Ibarat labu diberi kepada tikus untuk dibaiki. Kita imbau kembali sejarah jatuhnya pasukan Kenari (sekarang Helang Merah). Dari juara memenangi tiga piala terus terjerumus ke kancah Liga Perdana. Berapa lama berjuang di liga kelas dua itu, baru sekarang kembali ke persada Liga Super. Itupun mungkin sekadar untuk 2016 ini sahaja. nanti musim 2017 harapan kembali ke Liga Perdana memang ada.
Sebaik sahaja PAS dan Ustaz Azizan mengambil alih pentadbiran KFA, pasukan Kenari baru saja memenangi tiga piala iaitu piala Liga Super Piala FA dan Piala Malaysia. Begitu gah Kenari di persada bolasepak negara. Sebagai hadiah kemenangan, KFA membawa rombongan ke eropah dan kebetulan kerajaan negeri bertukar, yang pergi mengikuti rombongan adalah tokoh-tokoh pentadbiran baru. Ketika itulah orang-orang yang tidak tahu apa-apa tentang bolasepak turut serta kerana kebetulan mereka berada dalam kerajaan pada masa itu.
Pulang dari lawatan 'makan angin' itu, pembentukan pasukan Kenari semakin goyang kerana yang mentadbir adalah orang-orang yang baru hendak kenal apa itu bolasepak. Selepas itu, umpama tikus membaiki labu, habis rosak labu kerana tikus hanya tahu memakan labu bukan tahu membaikinya. Akhirnya Kenari turun ke Liga Perdana dan tidak bangun-bangun lagi.
Hinggalah selepas Datuk Seri Mukriz menjawat jawatan presiden KFA, dan melalui beberapa proses penjenamaan semula termasuk menukarkan identiti Kenari menjadi Helang Merah, wajah Kedah berubah semula dan semakin garang. akhirnya mereka menempa kejayaan dan kembali le Liga Super sesudah menjuarai Liga Perdana. Di samping itu menjadi naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama, 2015.
Dan penyakit yang sama menimpa KFA apabila pihak pengurusan sibuk dengan politik. Urusan KFA banyak diambil alih oleh beberapa wajah yang rapat dengan presiden dan setiausaha sehingga menimbulkan masalah kepada pasukan. Jadi usah terkejut jika selepas ini Helang Merah terjunam kembali ke kancah Liga Perdana apabila pengurusan diserahkan kepada orang yang hanya tahu mengambil kesempatan dan sebahagian pula membawa misi membalas dendam.
Pasukan diserahkan kepada orang yang tidak tahu bolasepak selain hanya tahu menimba pendapatan dari KFA. Lihatlah struktur KFA, siapa yang menerima elaun lumayan? Orang yang bertungkus lumus menjayakan misi ke Liga Perdana disisihkan dan tugas diserahkan kepadfa orang-orang rapat sahaja. Nanti jadilah seperti 'Tikus Membaiki Labu'. Akhirnya labu akan rosak dan tikus kekenyangan.
Wednesday, January 20, 2016
SYARIKAT IDAMAN: AMBILLAH TINDAKAN
Penswastaan adalah satu tindakan bijak yang diambil kerajaan
dalam beberapa perkara. Selain mengelak pembaziran dan pengambilan pegawai yang
ramai, langkah ini dilihat dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik. Banyak
bidang telah diserahkan kepada pihak swasta mengendalikannya dengan pegawai mereka
sendiri dan kerajaan hanya memantau dan memberi dana kontrak kepada
syarikat-syarikat tersebut. Ini menjimatkan kos yang ditanggung kerajaan.
Apabila kerja-kerja pelupusan sampah dan pembersihan
persekitaran di negeri Kedah diberi kepada Syarikat Idaman, senario positif
telah dapat dilihat dari semasa ke semasa. Hari ini semua aspek berjalan lancar
walaupun pada peringkat awalnya agak kurang memuaskan dan seperti ada masalah.
Kadang-kadang tersentuh hati melihat para pekerjanya melakukan kerja-kerja
pembersihan di sekitar perumahan dan di pinggir jalanraya.
Walaupun bayaran yang diterima tidak sebanyak mana, mereka
berkhidmat dengan jayanya dan cemerlang. Terasa sebak bila terserempak mereka
sedang berusaha membersihkan longkang dan parit serta bahu jalan dengan tekun
dan teliti tanpa mengira panas dan segala rupa kekotoran. Mereka masuk ke dalam
longkang mencabut rumput dan tumbuhan liar. Mereka melakukan yang terbaik untuk
sedikit rezeki halal.
Sampah dan bahan buangan dikutip mengikut jadual. Apapun
khidmat terbaik Berjaya mereka berikan
walaupun hanya dengan gaji paling minima. Rumput dipotong pendek
sepanjang jalan dan dibersihkann pula dengan tidak meninggalkan sedikitpun
kekotoran walaupun daun kering.
Sudah sampailah masanya Syarikat Idaman melakukan beberapa
penambah-baikan. Tentulah para pekerja mereka akan lebih berterima kasih. Yang
penting keselamatan mereka harus dijaga ataupun sepatutnya dilindungi.
Keselamatan mereka harus diberi perhatian walaupun setakat ini belum pernah
terjadi kemalangan. Kita tentu tidak mahu nanti disebut sebagai ‘dah terhantuk
baru tengadah’. Kadang-kadang peringatan perlu juga diberi perhatian, Sedarlah
bahawa ‘malang tidak berbau’ dan ‘mencegah lebih baik dari mengubat’.
Pihak Idaman sebaik-baiknya menyediakan satu skim insurans
untuk para pekerja ini. Apa akan terjadi sekirtanya mendapat kemalangan ketika
bertugas? Pekerja membersih sampah sarap dan rumput di tepi jalan mungkin akan
terkena gigitan binatang berbisa atau terlanggar kenderaan yang terbabas.
Kemungkinan-kemungkinan ini perlu diberi perhatian.
Pekerja pelupusan sisa pepejal dan sampah dilihat hanya
berdiri di sisi lori pengangkut tanpa apa-apa pengadang. Mereka hanya berpaut
di besi pemegang yang terlekat di dinding lori. Bayangkan jika ketika lori sedang
berjalan ada yang terkena serangan jantung atau darah tinggi? Apalah salahnya
jika lori itu diubahsuai dengan mengadakan pengadang yang boleh menghalang
mereka jatuh atau menyediakan tempat duduk khas untuk mereka.
Pihak Majlis Daerah, Kerajaan Tempatan dan juga Syarikat
Idaman perlu peka dengan hal-hal begini selain memikirkan keuntungan syarikat
sahaja. Langkah-langkah keselamatan yang lebih positif harus diambil.
Sesungguhnya ‘MALANG TIDAK BERBAU’.
Saturday, January 16, 2016
JANGAN DIBIARKAN TIKUS MEMBAIKI LABU
1. Sepakmula Liga-M khasnya Liga Super akan bermula tidak lama
lagi. Dengar kabar masing-masing pasukan sedang mempersiapkan untuk masuk
gelanggang dan mencipta kejutan. Setiap pasukan mengimpikan pencapaian gemilang
sebaik bermula perlawanan pertama lagi kerana yang pertama itulah bakal
menggambarkan wajah masa depan sedikit demi sedikit.
2. Pasukan negeri Kedah juga tidak kurang hebatnya apatah lagi
sebagai pasukan yang baru melangkah
masuk ke kancah Liga Super buat kali kedua, sudah tentulah persiapannya
sangat mantap dengan strategi dan para pemain yang bersemangat baru. Malah
tentunya mereka tidak mahu sejarah pahit terjerumus ke Liga Perdana berulang.
Dengar kabar pasukan Helang Merah ini sudah mendapat suntikan pengurusan serba
baru dengan barisan pemain juga ada yang baru dan lebih hebat. Jadi Helang
Merah nkali ini berwajah lain setelah mengalami transformasi bukan saja dalam
kalangan pemain, malah juga dalam kalangan pegawai pasukan juga mengalami
perubahan.
3. Kita tentu tidak lupa sejarah Helang Merah atau dahulu
dikenali sebagai Kenari beberapa tahun dahulu. Sebaik sahaja negeri Jelapang
Padi ini bertukar kerajaan pada masa itu, pasukan Hijau Kuning begitu gah di
persada Liga Super dengan memenangi tiga piala sekaligus. Jadi pada masa itu
pihak pengurusan baru telah mendapat sebuah pasukan yang mantap dan juga sebuah
pengurusan pasukan yang memberangsangkan.
4. Tetapi langkah pentadbiran KFA bermula sumbang. Sebaik
sahaja mengambil alih pentadbiran persatuan, pengurusan pasukan diserahkan
kepada orang yang tidak ada pengetahuan dalam sukan ini. Sesudah beberapa kali
bertukar jurulatih, dan sesudah lawatan ‘bersuka ria’ ke Eropah, akhirnya pasukan Kenari mula
hilang taring sejak perlawanan pertama lagi. Inilah akibatnya apabila
pentadbiran persatuan dan pengurusan pasukan dikendalikan oleh status politik
semata-mata, bukan berdasarkan ‘ilmu’ bolasepak. Akhirnya sesudah semusim
bergelut dalam gelanggang, Kenari terjerumus kembali ke kancah Liga Perdana.
5. Sehinggalah sekarang, barulah pasukan Kenari berubah wajah.
Itupun setelah pengurusan bertukar kepada kerajaan baru pula. Dan setelah
menjuarai Liga Perdana, menjadi Naib Juara Piala Malaysia pula,pasukan Helang
Merah dinaikkan ke Liga Super untuk sesi 2016 ini. Tahniah!
6. Tetapi umpama sebiji labu, jika diberikan kepada tikus, maka
rosaklah labu itu. Tikus tidak boleh membaiki labu tetapi menambah peritnya
labu itu. Jadi pasukan Helang merah ini hendaklah disaerahkan kepada pakar yang
sepatutnya, yang tahu selok- belok bola sepak. Jangan sampai pengurusan
persatuan dan pasukan jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, nanti
rosaklah pasukan itu.
7. Pihak pengurusan dan pentadbiran KFA hendakalah mengkaji dahulu
individu-individu yang melonjakkan kembali pasukan sehingga ke tahap sekarang
sebelum membuat keputusan merehatkan mereka. Usah membuat keputusan terlalu drastik
sehngga kita lupa jasa orang-orang ini dan pastikan yang dijadikan pengganti
itu adalah orang yang lebih baik kebolehannya. Jangan kerana nyamuk kita harus
membakar kelambu. Jangan menang sorak kampong tergadai.
8. Dan haruslah diingat bahawa terlalu percaya kepada orang
yang dekat dengan kita belum menjamin kesejahteraan. Menggunakan orang yang
tahu bercakap sahaja boleh menjahanamkan reputasi kita. Orang tahu bahawa
pasukan Kedah sekarang bakal menjadi ‘lubuk duit’. Jadi semua orang terutama
yang hampir dengan Presiden KFA akan mengambil kesempatan. Jika tuan presiden
leka sedikit, akibatnya terpaksa ditanggung dalam tempoh yang lama.
9. Bila ada pihak dalam pasukan yang tidak menyukainya,
akibatnya amat parah. Kita tentu tidak mahu Helang Merah terjerumus kembali ke
kancah Liga Perdana. Tetapi itu akan terjadi jika pihak pentadbiran KFA mengambil
mudah. Jadi usahlah ‘labu diserahkan kepada tikus’. Nanti buruk padahnya!
Friday, January 15, 2016
BANGSA KITA SUDAH TIADA MARUAH
Semalam saya berpeluang menyaksikan detik bersejarah
pelancaran Memorial Tun Abdul Razak yang dilakukan Perdana Menteri Malaysia
yang kebetulan adalah putera Allahyarham sendiri. Alangkah bangganya Datuk Seri
Najib melakukannya di hadapan seluruh rakyat Malaysia. Itu satu momen
bersejarah bagi beliau sendiri. Dunia luar juga mengikuti saat-saat itu dengan
penuh perhatian.
Malangnya momen bersejarah itu menjadi cacat apabil dibuat
dalam bahasa Inggeris sepenuhnya tanpa mengambil kira khalayak yang
mengikutinya. Entah kenapa kita tiba-tiba hilang jatidiri dan berasa tidak
yakin dengan kemampuan bahasa kita sendiri untuk menghayati detik tersebut. Di
hadapan seluruh rakyat Malaysia yang saya semua orang maklum pasti lebih
memahami sekiranya semua ucapan dan penyampaian dibuat dalam bahasa Melayu yang
kita banggakan sebagai bahasa kebangsaan.
Pelancaran itu bukan dibuat di London atau di Washington,
tetapi di Kuala Lumpur. Malah di hadapan rakyat Malaysia sendiri bagi
mengenangkan jasa seorang pemimpin Melayu sendiri. Alangkah manisnya sekiranya
kita mempunyhai jatidiri dan mempercayai kemampuan bahasa kita sendiri. Kita
sepatutnya harus merasa malu kerana tidak mempercayai bahasa sendiri dan lebih
memalukan lagi ia dilakukana oleh pemimpin Melayu sendiri yang sering melaungkan
slogan Malaysia Boleh, rupanya Malaysia tidak boleh.
Alangkah malunya bangsa Melayu. Dalam kita sering
mengharapkan bangsa lain mendalami dan memahami bahasa Melayu, di waktu yang
sama kita sendiri tidak mahu menggunakan bahasa itu. Kita langsung tiada jati
diri. Langsung tiada maruah.
Sunday, January 10, 2016
SAMPAI BILAPUN BAHASA MELAYU TIDAK DAPAT DIMARTABATKAN
"Sampai bilapun Bahasa Melayu tidak dapat dimartabatkan"
Kesimpulan begini mungkin tidak disenangi banyak pihak.
Dalam kalangan pemimpin dan juga para cendekiawan sudah pasti tidak bersetuju.
Tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan oleh kebanyakan pecinta bahasa dan
juga orang-orang melayu sendiri. Biarpun sudah jelas dalam perlembagaan negara
bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, apa yang berlaku ketika ini lebih
terarah bahasa itu kepada bahasa kelas dua sahaja.
Jika kita imbas kembali, kedudukan bahasa Melayu dikatakan
bahasa ketiga dunia dan dituturkan oleh ratusan juta manusia. Malah ada yang
mengatakan bahasa itu akan berkembang dan menjadi bahasa dunia dan bahasa ilmu
satu ketika nanti. Ketika itu kita begitu yakin dan percaya bahawa semua itu
akan menjadi kenyataan tambahan pula PPSMI terus dimansuhkan dan pengajaran
subjek tersebut kembali ke bahasa Melayu sepenuhnya.
Sayangnya semuanya berubah. Disangka panas hingga ke petang,
rupanya hujan di tengah hari. Segala harapan untuk melihat bahasa Melayu
dimartabatkan seperti sepatutnya berkubur juga akhirnya. Langkah Kementerian
Pelajaran melancarkan DLP atau Program Dwi-Bahasa membunuh segala impian kebanyakan
orang Melayu dan orang-orang yang mencintai bahasa Melayu.
Jika sebelum ini iaitu sejak PPSMI dimansuhkan, kita
menganggap tentunya orang yang mencintai ilmu akan berlumba-lumba menambah
kemahiran menggunakan bahasa Melayu. Malah itulah yang sepatutnya sesuai dengan
roh bahasa itu sebagai bahasa rasmi negara dan juga sebagai alternatif sesudah
dicanangkan akan dijadikan bahasa ilmu. Dan kita membayangkan bahawa nanti
dalam masa 10 tahun, seluruh rakyat Malaysia akan menggunakan satru bahasa
sebagai bahasa komunikasi sama seperti Thailand lakukan untuk bahasa mereka dan
Indonesia lakukan kepada bahasa Indonesia. Rupanya tidak berlaku begitu.
Pihak-pihak berkepentingan dalam kepimpinan negara telah menterbalikkan
semuanya dan mengundur ke belakang semula.
Dengan pelancaran DLP, pihak yang tergagap-gagap dengan
bahasa Melayu tidak perlu lagi berusaha meningkat keupayaan menggunakan bahasa Melayu
kerana sudah ada jalan penyelesaian apabila adanya versi bahasa Inggeris dalam
pembelajaran di sekolah. Bangsa lain yang sedang berusaha meningkatkan
penguasaan bahasa Melayu jadi terhenti begitu sahaja kerana sudah ada alternative
yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Tahniah kepada pihak yang
terlibat merencanakan DLP yang langsung tidak menguntungkan negara dan bangsa.
Padahal perkara ini (DLP) tidak perlu diperkenalkan. Jika
mahu mengayakan para pelajar dengan penggunaan bahasa Inggeris, tingkatkan saja
pengajaran bahasa itu, bukannya melacurkan bahasa Melayu dan membantutkan usaha
memartabatkannya di persada. Kita mengundur ke belakang dan berbalik lebih
teruk dari PPSMI. Jika DLP bertujuan memudahkan pelajar meneroka ilmu, cari
satu jalan yang lebih baik dengan ‘memelayukan ilmu’ itu iaitu dengan menbuat
penterjemahan dan memelayukan istilah-istilah yang rumit.
Apapun, suara ini hanyalah suara ‘anjing
menyalak bukit’. Lama-lama suara akan menjadi parau tetapi bukit tidak
berganjak. Hakikat itulah yang harus kita telan dan jangan harap bahasa Melayu
yang tercinta ini boleh dimartabatkan sampai bila-bila.
Saturday, January 9, 2016
BAHASA MELAYU YANG SEMAKIN LAYU
Beberapa tahun yang lalu ketika ketika merasmikan Bulan bahasa Kebangsaan, Tan Sri Mahyuddin Yassin (Bekas TPM) pernah berikrar untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan dituturkan oleh ratusan juta manusia terutama di nusantara ini. Rupanya janji hanya tinggal janji kerana bahasa Melayu terus 'layu' selepas itu apabila ia semakin disisihkan oleh rakyat Malaysia dan yang paling merisaukan, orang Melayu sendiri yang berbuat demikian.
Bak kata Datuk Dr Awang Sariyan, wujud pihak berkepentingan yng mencelarukan penggunaan bahasa Melayu. Andaian itu ada benarnya. Mungkin ia merupakan satu strategi politik mahu meraih undi. Dalam mereka sendiri berjuang kononnya untuk meningkatkan penggunaan dan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, mereka juga mula memperkenalkan DLP (Program Dwi-Bahasa). Bila sudah ada dua bahasa di sekolah, tentulah bahasa Melayu akan terpinggir dan yang lain asyik dengan bahasa yang satu lagi.
Jika betul-betul ikhlas hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu, melayukan ilmu-ilmu itu untuk rakyat menimba ilmu, bukan mengabaikannya. Bagaimana bahasa Melayu hendak menjadi bahasa ilmu jika segala ilmu masih juga dalam bahasa Inggeris. Dan jika mahu menjadikan bahasa Inggeris itu bahasa ilmu, tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, bukannya dwi-bahasakan ilmu itu.
Peerkara ini seolah-olah kita mengundur ke belakang. Dahulu ada sekolah aliran Inggeris. Seluruh pembelajaran dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu hanya sebagai satu mata pelajaran sahaja. Dan kini ia berbalik seperti itu kembali tetapi berselindung di sebalik DLP. Pandai Kementerian Pelajaran menipu rakyat. Dan yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu sendiri.
Tetapi itu tidak menghairanakan kerana para pemimpin sendiri lebih gemar berbahasa Inggeris dari bahasa Melayu. MARA sendiri pun menganjurkan program 'Back To School', bukannya 'Kembali ke Sekolah'. Itu sebuah agensi kerajaan sendiri yang menaungi kaum bumiputera yang rata-rata menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi mereka.
Sampai bila pun bahasa Melayu tidak akan dipertingkatkan penggunaannya jika amalan pemimpin berterusan menggunakan bahasa Inggeris dalam sesuatu aktiviti perasmian. Sehinggakan hendak berucap kepada rakyat Malaysia sendiripun masih bahasa Inggeris digunakan.
Sudahnya bahasa Melayu semakin layu di tanah tempat kelahirannya!
Bak kata Datuk Dr Awang Sariyan, wujud pihak berkepentingan yng mencelarukan penggunaan bahasa Melayu. Andaian itu ada benarnya. Mungkin ia merupakan satu strategi politik mahu meraih undi. Dalam mereka sendiri berjuang kononnya untuk meningkatkan penggunaan dan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, mereka juga mula memperkenalkan DLP (Program Dwi-Bahasa). Bila sudah ada dua bahasa di sekolah, tentulah bahasa Melayu akan terpinggir dan yang lain asyik dengan bahasa yang satu lagi.
Jika betul-betul ikhlas hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu, melayukan ilmu-ilmu itu untuk rakyat menimba ilmu, bukan mengabaikannya. Bagaimana bahasa Melayu hendak menjadi bahasa ilmu jika segala ilmu masih juga dalam bahasa Inggeris. Dan jika mahu menjadikan bahasa Inggeris itu bahasa ilmu, tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, bukannya dwi-bahasakan ilmu itu.
Peerkara ini seolah-olah kita mengundur ke belakang. Dahulu ada sekolah aliran Inggeris. Seluruh pembelajaran dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu hanya sebagai satu mata pelajaran sahaja. Dan kini ia berbalik seperti itu kembali tetapi berselindung di sebalik DLP. Pandai Kementerian Pelajaran menipu rakyat. Dan yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu sendiri.
Tetapi itu tidak menghairanakan kerana para pemimpin sendiri lebih gemar berbahasa Inggeris dari bahasa Melayu. MARA sendiri pun menganjurkan program 'Back To School', bukannya 'Kembali ke Sekolah'. Itu sebuah agensi kerajaan sendiri yang menaungi kaum bumiputera yang rata-rata menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi mereka.
Sampai bila pun bahasa Melayu tidak akan dipertingkatkan penggunaannya jika amalan pemimpin berterusan menggunakan bahasa Inggeris dalam sesuatu aktiviti perasmian. Sehinggakan hendak berucap kepada rakyat Malaysia sendiripun masih bahasa Inggeris digunakan.
Sudahnya bahasa Melayu semakin layu di tanah tempat kelahirannya!
Friday, December 25, 2015
SENANGNYA MENCARI WANG DI MALAYSIA
1. Mencari rezeki halal bukan perkara yang mudah bagi orang Malaysia tidak kira apa bangsa dan etniknya. Rezeki yang halal dan penuh barkah bukanlah senang digenggam. Kita harus mencari pekerjaan dan pekerjaan itu pula tentulah dari saluran yang betul dan halal. Barulah rezeki itu mendapat berkat dalam hidup kita. Dan rezeki itu pula kita kongsikan bersama anak isteri dan kaum keluarga. Kadang-kadang sahabat handai juga boleh tumpang gembira dengan rezeki kita itu.
2. Lain halnya dengan orang luar. Mudahnya mereka mendapat wang dari simpati orang ramai khasnya rakyat Malaysia sendiri. Berpakaian dan menampilkan diri dan wajah yang alim dan warak, tunggulah di simpang-simpang jalan dan di tempat tumpuan orang ramai, dalam sekejap waktu sahaja tabung mereka pasti terisi dengan jumpah yang memberangsangkan.
3. Tengahari tadi Jumaat 251215, saya melihat sendiri betapa warga asing ini bergegas turun masjid sebaik sahaja selesai salam solat Jumaat dan berdiri di pintu pagar masjid dengan memegang sekeping gambar dan sedikit risalah. Di sampingnya juga ada sebuah beg derma yang akan digunakan untuk mengisi wang derma.
4. Apabila orang ramai mula turun dari masjid selepas selesai doa oleh tuan imam, pemungut derma ini menadah begnya kepada orang yang lalu lalang. Dan ada antara orang ramai yang lalu itu amat pemurah menghulur derma dengan senyum di bibir tanda keikhlasan masing-masing.
5. Mudahnya mereka mendapat wang. Entah berapa jumlahnya tidak dapat dipastikan. Dan rakyat Malaysia yang datang bersolat pula begitu pemurah serta banyak wang. Sebelum itu sudah menderma dalam tabung masjid, sekarang menderma pula untuk orang ini. Entah datang dari mana dan kebenaran siapa, tak ada siapapun peduli.
6. Itulah! Mudahnya mencari wang di Malaysia. Dan pemurahnya rakyat Malaysia!
Saturday, December 19, 2015
LIGA BOLASEPAK RAKYAT: UNTUK SIAPA?
Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan Liga
Bolasepak Rakyat (LBR) adalah sesuatu yang amat terpuji dengan hasrat membantu
membangunkan sukan bolasepak negara. Melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
dan selanjutnya disalurkan kepada persatuan-persatuan bolasepak negeri
merupakan prosedur biasa dalam pengendalian sukan tersebut. Liga diwujudkan
untuk rakyat dengan hasrat mencungkil bakat dan member sebanyak mungkin peluang
bermain di samping mencungkil dan memupuk bakat yang ada di kalangan belia.
Namun begitu, seperti penganjuran sukan-sukan yang lain, di
samping perkara-perkara yang baik, ada juga kelemahan-kelemahan di sana-sini
yang boleh dijadikan panduan untuk penambah-baikan di penganjuran yang lain dan
akan datang. Semoga LBR dapat dimurnikan lagi pada masa yang lain. Saya
berpendapat demikian setelah melihat apa yang terjadi dalam penganjuran LBR di
negeri Kedah dan diharapkan ia tidak terjadi di negeri-negeri yang lain.
Pihak penganjur LBR diharap dapat mengubah sedikit format pertandingan
supaya perlawanan-perlawanan terutama di penghujung liga tidak menjadi hambar
dan lesu. Format pertandingnan yang baik akan lebih merancakkan setiap perlawanan
dan keadaan akan lebih mencabar kepada setiap pasukan yang mengambil bahagian.
Dengan hanya mengambil satu pasukan dari setiap kumpulan
yang bertanding untuk ke peringkat selanjutnya, menyebabkan ada pasukan yang tidak
lagi mahu meneruskan perlawanan terutama pasukan yang harus bertandang ke
tempat lawan kerana ia merugikan perbelanjaan yang bukan sedikit sedangkan
perlawanan sekadar memenuhkan jadual sahaja. Menang atau kalah sudah tidak member
kesan apa-apa kerana pasukan teratas di setiap kumpulan sudah diketahui. Kalaupun
ada yang meneruskan perlawanan, hanyalah sekadar ‘berpesta’ di tempat lawan atau sekadar makan angin
sahaja.
Sekiranya pihak penganjur (KFA) lebih peka, senaraikan empat
pasukan dari setiap kumpulan untuk meneruskan pertandingan ‘kalah-keluar’
secara timbal balik. Ini akan merancakkan lagi pertandingan dan pasukan lain
selain johan kumpulan masih boleh mengharapkan keajaiban untuk mara ke
peringkat seterusnya.
Bagi LBR di negeri Kedah, dalam setiap kumpulan dimasukkan
pasukan-pasukan dari negeri Perlis yang wakilnya berdasarkan kawasan parlimen
masing-masing iaitu 3 pasukan.Dan secara total pasukan-pasukan dari negeri Indera Kayangan ini
mendominasi setiap kumpulan dan akan mewakili kawasan utara ini ke peringkat
kebangsaan nanti.
Kabarnya ada antara pasukan yang menjadi johan kumpulan
tersebut terdiri daripada para pemain Piala Emas Raja-raja yang mewakili Perlis.
Dan pasukan dari negeri Kedah terkubur begitu sahaja tanpa ada lagi wakil ke
peringkat kebangsaan. Negeri Kedah tidak lagi terlibat dengan LBR kerana sudah
tidak ada wakilnya.
Friday, December 18, 2015
UMPAMA ANJING MENYALAK BUKIT
1. Tahun 2015 hampir melabuhkan tirainya tidak berapa hari lagi dan tahun baru 2016 bakal tiba tidak lama lagi. Tahun yang penuh dengan cabaran demi cabaran akan berlalu dan digantikan dengan tahun yangbaru yang keadaannya belum menentu. Harap-harap ia akan lebih baik dari tahun sebelumnya sebagaimana kita berharap semasa akhir tahun 2014 dahulu.
2. Dahulupun kita berharap perkarta yang sama, semoga ia lebih baik dari tahun sebelumnya. Rupaanya harapan tinggal harapan dan keadaan masih juga berlaku benda yang serupa. segala aspek hidup menekan kita dari segenap sisi dan segala rintihan dan keluhan serta harapan kita hanyalah seumpama anjing menyalak bukit. Anjing jadi letih dan bukit tetap tidak peduli, masih tegak berdiri.
3. Kita digembar-gemburkan dengan GST yang kononnya melegakan sewdikit ekonomi kita dengan kadar cukai yang lebih baik tetapi akhirnya disajikan dengan harga barang yang semakin melonjak dengan sistem cukai baru itu. Dan pihak berwajib lepas tangan dengan memberi alasan peniaga sengaja tidak buang kadar cukai lama tetapi sebaliknya menambah pula kadar cukai 6% yang baru. kita yang menjadi rakyat ini juga yang salah dan menjadi mangsa. Segala protes tidak dipedulikan dan akhirnya perkara itu dibuat tidak tahu sahaja.
4. Sekarang tambang pengangkutan semakin bertamabah tinggi. Alasan amat mudah diberikan iaitu untuk tambahan menampung kos operasi. kita pula yang diberi tanggungjawab menyelesaikan masalah kos operasi syarikat yang buat bisnes. Tambang tinggi dan kadar tol dinaikkan dan terpaksa dibayar pengguna untuk menyelesaikan masalah syarikat konsesi. Pelik bunyinya tetapi umpama anjing menyalak bukit juga. keadaan tidak juga berubah. Sebagai hendak ambil hati, diisytiharkan bahawa setiap pengguna berbagai peringkat diberi diskaun, bermacam-macam bentuk diskaun sehingga mengelirukan kita. Daripada diberi diskaun lebih baik kadar tambang itu tidak dinaikkan. Sama sahaja.
5. Nanti tahun 2016, kadar tol lebuhraya akan dinaikkan lagi. Kadar taarif TNB juga naik. alasan yang diberikan adalah serupa, untuk menampung kos operasi yang semakin meningkat. Entahlah operasi apa tetapi harga petrol semakin turun. Dan sedar-sedar di awal tahun nanti kita mendengar para pegawai dan kakitangan TNB menerima bonus yang bukan sedikit. Rupanya itulah operasinya.
6. Mereka buat perniagaan, kos operasinya kita yang bayar. Mereka rugi, kita juga yang disuruh bayar. Bila untung, mereka terima bonus dan berbagai insentif kononnya kerana komited dengan syarikat dan berbagai alasan lagi. Setiap yang ditegur dan dirintih, hanya umpama ANJING MENYALAK BUKIT.
Subscribe to:
Posts (Atom)


