"Sampai bilapun Bahasa Melayu tidak dapat dimartabatkan"
Kesimpulan begini mungkin tidak disenangi banyak pihak.
Dalam kalangan pemimpin dan juga para cendekiawan sudah pasti tidak bersetuju.
Tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan oleh kebanyakan pecinta bahasa dan
juga orang-orang melayu sendiri. Biarpun sudah jelas dalam perlembagaan negara
bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, apa yang berlaku ketika ini lebih
terarah bahasa itu kepada bahasa kelas dua sahaja.
Jika kita imbas kembali, kedudukan bahasa Melayu dikatakan
bahasa ketiga dunia dan dituturkan oleh ratusan juta manusia. Malah ada yang
mengatakan bahasa itu akan berkembang dan menjadi bahasa dunia dan bahasa ilmu
satu ketika nanti. Ketika itu kita begitu yakin dan percaya bahawa semua itu
akan menjadi kenyataan tambahan pula PPSMI terus dimansuhkan dan pengajaran
subjek tersebut kembali ke bahasa Melayu sepenuhnya.
Sayangnya semuanya berubah. Disangka panas hingga ke petang,
rupanya hujan di tengah hari. Segala harapan untuk melihat bahasa Melayu
dimartabatkan seperti sepatutnya berkubur juga akhirnya. Langkah Kementerian
Pelajaran melancarkan DLP atau Program Dwi-Bahasa membunuh segala impian kebanyakan
orang Melayu dan orang-orang yang mencintai bahasa Melayu.
Jika sebelum ini iaitu sejak PPSMI dimansuhkan, kita
menganggap tentunya orang yang mencintai ilmu akan berlumba-lumba menambah
kemahiran menggunakan bahasa Melayu. Malah itulah yang sepatutnya sesuai dengan
roh bahasa itu sebagai bahasa rasmi negara dan juga sebagai alternatif sesudah
dicanangkan akan dijadikan bahasa ilmu. Dan kita membayangkan bahawa nanti
dalam masa 10 tahun, seluruh rakyat Malaysia akan menggunakan satru bahasa
sebagai bahasa komunikasi sama seperti Thailand lakukan untuk bahasa mereka dan
Indonesia lakukan kepada bahasa Indonesia. Rupanya tidak berlaku begitu.
Pihak-pihak berkepentingan dalam kepimpinan negara telah menterbalikkan
semuanya dan mengundur ke belakang semula.
Dengan pelancaran DLP, pihak yang tergagap-gagap dengan
bahasa Melayu tidak perlu lagi berusaha meningkat keupayaan menggunakan bahasa Melayu
kerana sudah ada jalan penyelesaian apabila adanya versi bahasa Inggeris dalam
pembelajaran di sekolah. Bangsa lain yang sedang berusaha meningkatkan
penguasaan bahasa Melayu jadi terhenti begitu sahaja kerana sudah ada alternative
yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Tahniah kepada pihak yang
terlibat merencanakan DLP yang langsung tidak menguntungkan negara dan bangsa.
Padahal perkara ini (DLP) tidak perlu diperkenalkan. Jika
mahu mengayakan para pelajar dengan penggunaan bahasa Inggeris, tingkatkan saja
pengajaran bahasa itu, bukannya melacurkan bahasa Melayu dan membantutkan usaha
memartabatkannya di persada. Kita mengundur ke belakang dan berbalik lebih
teruk dari PPSMI. Jika DLP bertujuan memudahkan pelajar meneroka ilmu, cari
satu jalan yang lebih baik dengan ‘memelayukan ilmu’ itu iaitu dengan menbuat
penterjemahan dan memelayukan istilah-istilah yang rumit.
Apapun, suara ini hanyalah suara ‘anjing
menyalak bukit’. Lama-lama suara akan menjadi parau tetapi bukit tidak
berganjak. Hakikat itulah yang harus kita telan dan jangan harap bahasa Melayu
yang tercinta ini boleh dimartabatkan sampai bila-bila.
No comments:
Post a Comment