Sunday, June 17, 2018
CERITA HARIRAYA YANG ORANG TIDAK TAHU
Orang tidak tahu
telah berapa banyak airmatamu yang gugur
basah lantai hidup ini
biar aku cuba mengesatnya
yang pergi hanya habuk keruping parut luka
sekian lama mereka guris hatimu
lalu kerana itu kenangan tentang hidup ini
tidak terhakis dari bumi dan langit.
Segala ceritamu
bagaimana mereka duduk keliling meja
menikmati juadah saban pagi
sedang engkau berjuntai di pangkinmu
tidak dipandang walah sebelah mata
langsung tidak dipedulikan
lalu cerita tentang airmatamu yang gugur
dan cerita tentang calarnya hatimu
membawa aku kepada rasa amarah dan cemburu.
Aku marah bila mereka tidak pedulikan ibu
mereka makan dan minum tanpa mempelawamu
apatah lagi memberi makan secubit menu
dan aku cemburu tidak dapat saksikan semua itu
yang boleh aku buktikan bahawa mereka telah buta
tentang kasih sayang seorang ibu.
Orang tidak tahu
hatimu telah rabak tidak terfikirkan
perasaanmu tentu telah robek dan luka
betapa kelopak matamu tergenang airmata
bagaimana seorang anak tega melakukan
tanpa belas kasihan dan tiada perasaan.
Kamu bercerita selancar gugurnya airmata
di pagi raya yang sunyi dan hiba
tanpa anak-anak dan keluarga
lalu bagaimana aku boleh tinggalkan
biar kamu duduk sendirian?
Apapun terjadi aku akan sentiasa menjagamu
biarlah mereka yang lain
sentiasa lari dan membenci
aku akan tetap di sisi
kerana kamu seorang tua yang lemah
dan seorang diri di dunia ini
dengan hidup kita tinggal sedikit lagi.
15 Jun 2018
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment