Sebut sahaja Jambatan Pulau Bunting, semua orang di negeri Kedah khasnya di daerah Yan sudah mengetahui betapa indah dan gahnya jambatan tersebut. Ia di bina lebih dari 10 tahun yang lalu oleh sebuah syarikat yang asalnya konon untuk membawa minyak mentah darti Pulau Bidan untuk penapisan di suatu tempat yang tidak dinyatakan. Atau mungkin sebaliknya iaitu untuk membawa minyak yang sudah ditapis di Pulau Bunting itu ke destinasi-destinasi yang lain. Semuanya misteri hingga ke hari ini dan jambatan itu yang dulunya sering dikunjungi orang telah dilupakan dari peta pelancongan yang unik.
Jambatan itu terus dilupakan dan kata orang ia menjadi tempat orang datang memancing dan juga menjadi pusat penagih dadah melepas gian. Akhir-akhir ini pula kononnya laluan di jambatan tersebut terus menjadi laluan lumba motosikal. Benar atau tidak tidaklah dapat dipastikan tetapi dari bukti-bukti yang ada dan dari percakapan para pemancing yang saering pergi ke situ, semua itu boleh dipercayai.
Baru-baru ini sekumpulan teman-teman dari KL datang dan mengajak kami melawat jambatan tersebut kononnya nampak sangat cantik di dalam foto yang mereka terima. Kami pergi ke situ dan sesudah puyas mencari dan bertanya, terasa sangat terperanjat melihat keadaan kawasan tersebut. Ianya jauh berubah dari ketika mula-mula dahulu. Tidak ada lagi jalan masuk yang cantik tambahan lagi pembinaan jalanraya sedang dilakukan dari kawasan Dulang Kecil ke tepi laut berhampiran jambatan tersebut.
Kiri dan kanan jalan memasuki jambatan tersebut penuh dengan semak-samun dana jalannya tidak terurus dengan tanah dan batu yang hanya boleh dilalui motosikala dan pejalan kaki. Hanyalah pokok petai belalang memenuhi pemandangan kami di dalam perjalanan memasuki kawasan jambatan. Kawan-kawan yang bersama kami geleng kepala tidak percaya dengan apa yang dilihat. Sungguh indah kabar dari rupa.
Alangkah ruginya. Kalaulah kawasan ini dijaga dengan baik, tentunya ia bakal menjadi satu kawasan pelancongan yang indah. Habis berjuta membina jambatan tetapi tidak ada pengawasan. Akhirnya tempat pelancongan secantik ini menjadi sarang penagih dan kawasan memancing sahaja.
No comments:
Post a Comment