Membaca luahan rasa tokoh bolasepak Negara Datuk Peter
Velappan dalam ruang Sukan Utusan Malaysia keluaran Sabtu 23 April 2016 yang
lalu mengingatkan saya pada tulisan saya melalui blog Madisyak.blogspot.com pada
25 September 2015 mengenai perkara yang sama. Perkara yang saya tuliskan
benar-benar serupa dengan apa yang disarankan Datuk Peter Velappan iaitu persatuan-persatuan
sukan bukan pentas untuk kerabat diraja dan ahli-ahli politik. Tetapi apa yang
saya tuliskan itu tidak diberi perhatian langsung kerana kedudukan saya sebagai
orang biasa berbanding dengan Datuk Peter seorang tokoh bolasepak.
Di bawah ini saya turunkan semula apa yang telah saya
tuliskan itu.
Selepas Malaysia ataupun Harimau Malaya mengakhiri kempen
kelayakan Piala Dunia dan juga Piala Asia dengan keadaan yang amat memalukan,
berbagai kritikan dan pandangan diutarakan orang ramai dan juga tidak
ketinggalan para pakar bolasepak yang muncul tiba-tiba bagai cendawan. Kebanyakan pendapat dan kritik itu menjurus
kepada kelemahan FAM. Kononnya FAM tidak melakukan apa-apa pembaharuan dan
pembangunan sehingga tahap bolasepak di Malaysia semakin menjunam dari setahun ke setahun.
Jika dahulu Malaysia setaraf dengan Jepun dan Korea, malah
gergasi Asia itu sendiri bermain dalam keadaan sukar bila berhadapan dengan
Malaysia ketika itu, sekarang tidak lagi. Malah Malaysia bakal menjadi pasukan
belasahan jika berjumpa di padang dan negara itu tidak lagi berminat menjadikan
Malaysia sebagai pasukan memanaskan badan apatah lagi untuk perlawanan
persahabatan. Mereka telah jauh
meninggalkan Malaysia.
Hal ini berlaku bukan kepada bolasepak sahaja malah
sukan-sukan yang lain pun menghadapi masalah yang sama. Lee Chong Wei belum ada
pengganti. Rabuan Pit belum ada pengganti. Rekod Nashatar Singh belum dapat
dipecahkan. Lihat juga apa yang terjadi
kepada sukan hoki. Tetapi tulisan ini tidak mahu menyentuh perkara-perkara itu malah
tumpuan hanyalah difokuskan kepada bolasepak kerana inilah sukan nombor satu di
Malaysia.
Semua yang berlaku ini gara-gara persatuan Sukan
dikendalikan oleh Raja dan juga ahli-ahli politik. Raja-raja, termasuk
putera-putera raja dan juga ahli-ahli politik amat tidak sesuai menggalas tugas
tersebut kerana masa mereka terhad dan banyak perkara lain yang perlu
ditumpukan. Raja-raja harus sedar bahawa
bukan sukan sahaja ‘rakyat’ mereka. Tumpuan harus diberi kepada perkara-perkara
lain juga, bukan sukan sahaja.
Selama 31 tahun Sultan Ahmad Shah menerajui FAM, apa
perubahan positif yang ditonjolkan selain dari prestasi pasukan menurun tahun
demi tahun. Dahulu baginda dilantik menggantikan Tan Sri Hamzah Abu Samah
kerana minat yang ditunjukkan baginda, dalam keadaan Malaysia di ranking yang
sama dengan Korea dan Jepun. Sejak itu ianya turun sedikit demi sedikit
sehingga terjadi seperti sekarang.
Kita tidak payah
menyesal kerana kita yang membiarkan keadaan ini berlaku. Semua pegawai tidak
berani menegur ataupun pegawai-pegawai di FAM juga seperti baginda, hanya
berada di situ kerana minat ataupun kepentingan yang lain. Kalaupun ada yang
berani menegur, teguran tidaklah selantang mana kerana teringatkan nasib yang
menimpa Datuk Ahmad Basri Akil dari Kedah yang kuat mengkritik FAM. Begitu juga
dengan nasib Datuk Seri Annuar Musa suatu ketika dahulu.
Ahli-ahli politik juga serupa. Baik jangan melibatkan diri
dengan pengurusan persatuan. Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan juga para menteri
cubalah jangan mencampuri pimpinan persatuan bolasepak mana-mana negeri.
Tanggungjawab anda semua terlalu banyak, bukan bolasepak sahaja. Anda semua
kenalah menguruskan seluruh rakyat. Itulah yang lebih utama. Jika terlalu
berminat, jadilah seperti Sultan Kedah yang sanggup berjalan kaki ke Stadium
Batu Kawan kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Ataupun berilah
sumbangan dana untuk persatuan yang diminati. Itu adalah lebih baik dari
menjadi bahan cemuhan di padang dan juga stadium.
Saya ambil contoh Persatuan Bolasepak Negeri Kedah. Bermula
dari presiden hinggalah kepada beberapa Ahli Majlis, terdiri dari ahli-ahli
politik. Presiden adalah Menteri Besar sendiri. Setiausaha Kehormat juga ahli
politik iaitu Exco negeri. Pengerus-pengerusi jawatankuasa juga terdiri dari
ahli politik. Contohnya Pengerusi Jawatankuasa Pengadil adalah Anggota
Parlimen. Mereka ini semua tiada masa untuk
bertugas dalam pengurusan malah untuk menguruskan mesyuarat jawatankuasa
mereka sekalipun.
Kalau sentiasa tiada masa, bagaimana tumpuan hendak
diberikan kepada bolasepak dan persatuan amnya. Selama lebih seminggu saya
berusaha untuk menemui Setiausaha Kehormat KFA. Saya terpaksa meminta bantuan
Exco yang lain tetapi gagal juga. Akhirnya saya hubungi wakil beliau dan wakil
tersebut berjanji akan menentukan satu tarikh dan masa untuk pertemuan tersebut
tetapi malangnya sehingga hari ini sudah lebih seminggu tergantung begitu
sahaja. Mesej sms dan whatsapp saya kepada wakil dan kepada YB sendiri tidak berjawab.
Lalu saya membuat kesimpulan bahawa orang-orang politik dan
berkepentingan usahlah memimpin persatuan sukan. Perkara penting yang boleh
diselesaikan dalam beberapa jam boleh berpanjangan hingga beberapa hari. Dan
apabila nasi sudah menjadi bubur, barulah kita menyesal tak sudah.
No comments:
Post a Comment