Sedar tak sedar Liga M sudah sampai separuh jalan. Tinggal
separuh lagi untuk mengetahui siapa juara dan siapa tersingkir ke Liga Perdana.
Perebutan Piala FA juga sudah memasuki peringkat separuh akhir. Bukan berapa
lama lagi, kancah Piala Malaysia pula akan dimulakan. Apapun keputusannya
nanti, kancah bolasepak Malaysia sedang melalui episod lucu dan memalukan.
Fasa pertama kisah lucu bermula dengan langkah merehatkan
jurulatih. Beberapa orang sudah menjadi mangsa. Episod ini dimulai dengan
Terengganu menyingkirkan Ahmad Yusof apabila pasukan Penyu tewas dalam perlawanan
pertama. Bijaknya PBNT menilai kebolehan jurulatih hanya dengan melihat
perlawanan pertama sahaja. Langsung tidak beri peluang.
Lepas itu diikuti pula pasukan Pahang. Walaupun jurulatih
tidak direhatkan tetapi bantahan dan kritikan peminat dan pegawai membuatkan
jurulatih itu minta berhenti dan turun pangkat menjadi penolong. Jurulatih
Kelantan hampir menerima nasib yang serupa sehingga penajanya terpaksa memberi
katadua.
Begitu juga pasukan-pasukan yang lain termasuk Sarawak.
Mangsa terbaru adalah jurulatih Pulau Pinang yang tiba-tiba direhatkan walaupun
pasukan itu berjaya bersaing dengan pasukan yang lain, Cuma tidak menang
sahaja.
Soalnya apakah kemenngan yang menentukan seseorang jurulatih
itu bagus atau tidak bagus? Nampaknya mereka membuat tindakan yang tidak
munasabah apabila setiap kekalahan diletakkan atas bahu jurulatih semata-mata.
Bagaimana dengan pemain sendiri? Tidak mungkin persembahan pemain di dalam padang
seperti boneka wayang kulit yang digerakkan oleh Tok Dalang.
Lihat sahaja Terangganu, selepas mendapat jurulatih baru,
tidak menang juga mereka. Begitu juga dengan pasukan pulau Pinang dan Pahang.
Nasib mereka juga tidak menentu walaupun mendapat sentuhan jurulatih baru.
Jika diperhatikan, Sarawak sepatutnya berda di kedudukan yang
lebih baik kerana Rajagobal adalah bekas jurulatih kebangsaan. Begitu juga
dengan Perlis. Dollah Salleh adalah jurulatih yang disegani dan berwibawa.
Demikian juga dengan pihak penaja pasukan-pasukan tertentu.
Walaupun sudah banyak wang yang dilaburkan, mereka haruslah sedar bahawa penaja
bukanlah pemilik sesebuah pasukan. Apa yang berlaku terhadap pasukan bolasepak
Kelantan amatlah memalukan. Penaja usahlah meletakkan terlalu banyak syarat dan
meminta yang bukan-bukan. Duduk di bangku pemain simpanan bukanlah hak
eksklusif penaja. Tambahan pula aktif dengan gerak tari di padang sangatlah
memalukan lebih-lebih lagi di pihak pasukan negeri Serambi Mekah pula.
Belum ada lagi pasukan di dunia ini yang memberi begitu
banyak ruang penaja menentukan semua perkara hatta menukarkan warna stadium
kepada warna korporatnya. Hanya berlaku di Malaysia. Begitu juga dengan beraksi
di bangku simpanan, hanya di Malaysia ada begitu.
Alangkah malunya!
No comments:
Post a Comment