1. Sudah agak lama tiada siapa yang memperkatakan tentang
bahasa Melayu atau bahasa Malaysia ataupun bahasa kebangsan. Mungkin semua
sudah jemu ataupun sudah tidak sensitif lagi tentangnya apabila teguran demi
teguran seolah-olah mencurah air ke daun keladi dan mungkin juga seperti kata
sesetengah orang apa yang dicakapkan seperti masuk telinga kanan keluar telinga
kiri. Siapa lagi yang peduli apa akan jadi dengan bahasa rasmi negara ini biar
apa namanya sekalipun?
2. Sudah berapa kali janji-janji ditaburkan. Sudah berapa
kali ikrar dimeterikan namun bahasa kebangsaan tetap juga tidak dimartabatkan.
Setiap kali melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan, menteri dan pihak berkaitan melafazkan
macam-macam sumpah demi memartabatkan bahasa Melayu tetapi semuanya hanyalah
janji kosong sahaja, sekadar memaniskan telinga orang yang mencintai bahasa.
Akhirnya mereka sendiri yang tidak mahu menggunakan bahasa yang kononnya hendak
dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia.
3. Para pemimpin itu sendiri yang tidak mahu menggunakan bahasa
Melayu seolah-olah tidak yakin dan tidak percaya keupayaan bahasa itu biarpun
berdepan dengan rakyatnya sendiri. Mereka seolah-olah malu menggunakan bahasa
itu malah lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris dengan anganan dilihat lebih
tinggi martabatnya berbanding orang lain.
4. Lihat saja melalui televisyen samada saluran kebangsaan atau
saluran-saluran berbayar yang lain. Jika tiba slot ‘detikniaga’, pasti bukan
berbahasa Melayu lagi seolah-olah bahasa itu tidak berguna langsung dalam
bidang ekonomi dan perniagaan. Malah hendak mengumumkan nasib pencarum KWSP
yang menjadi isu hangat sekarang inipun, bahasa Inggeris juga yang digunakan mereka.
Begitu juga sewaktu melancarkan program ‘Investment Malaysia’, tiada bahasa
Melayu digunakan padahal yang hadir adalah semuanya syarikat Malaysia yang
dikuasai juga oleh rakyat Malaysia.
5. Jadi di manakah bahasa Melayu hendak digunakan? Mungkin hanyalah
di kedai-kedai kopi. Para pemimpin usahlah hanya pandai berjanji kalau tidak
boleh ditepati. Akhirnya janji hanya tinggal janji.
No comments:
Post a Comment