Sunday, November 8, 2009

MENGURUS NEGARA MACAM BERMAIN MASAK-MASAK

Sejak memenangi PRU12 Mac 2008 lalu, walaupun majoritinya agak tipis, Datuk Seri Najib dilihat setapak demi setapak melangkah ke puncak. Akhirnya secara rasmi menerajui negara pada Mac 2009 dengan ‘tradisi tukar pemimpin’ yang diamal UMNO sekian lama. Walaupun dilihat seperti ada sedikit perpecahan, namun akhirnya parti dan kerajaan semakin mantap mencorak masa depan rakyat dan negara.

Namun begitu, sejak menerajui kerajaan Datuk Seri Najib seperti masih mahu mencuba sesuatu. Akhirnya selepas pembentangan ‘belanjawan’ 2010 baru-baru ini terserlah semua jangkaan bahawa Perdana Menteri tidak konsisten dalam membuat keputusan.

Kerajaan mengurus negara seperti kanak-kanak bermain masak-masak. Kerajaan seperti baru belajar dan tidak pernah serius dalam membuat apa-apa keputusan untuk kepentingan rakyat.

Bukan lagi sesuatu yang pelik jika dalam masa bermain masak-masak, kanak-kanak sering merencanakan berbagai perkara tetapi melaksanakan perkara yang lain. Kerajaan hari ini sudah jadi macam itu. Hari ini buat keputusan, esoknya keputusan itu dibatalkan. Tidak hairanlah selepas ini ada lagi apa-apa keputusan akan dibatalkan pula dan diganti dengan yang baru.

Hari tu dalam belanjawan beriya-iya mahu melaksanakan DAN (Dasar Automobil Nasional) yang mewajibkan kereta melebihi 15 tahun usia menjalani pemeriksaan PUSPAKOM untuk membaharui cukai jalan. Berdegar-degar ucapan bagai nak rak.

Alih-alih DAN sudah ditarik balik. Sekarang tidak payah buat pemeriksaan lagi seperti yang dicadangkan selepas kerajaan dihujani dengan berbagai kritik dan protes mengenainya. Alasannya mudah sahaja, 1 Malaysia: Rakyat didahulukan…….

Yang peliknya semasa hendak memperkenalkan dasar ini sudahkah dibuat kajian terlebih dahulu tentang kesannya kepada rakyat jelata? Masakan para pegawai yang ada di Jabatan Perdana Menteri tidak terfikir tentang kesusahan rakyat berpendapatan rendah yang memiliki kenderaan jenis tersebut. Inilah yang pelik.

Hal ini samalah juga dengan pembinaan jalanraya yang bengkang bengkok. Sesudah siap jalan diletakkan papan-tanda ‘Selekoh Merbahaya’. Bukankah lebih baik semasa membina jalan tersebut luruskan terlebih dahulu, tak payah lagi letak papan-tanda bahaya.

Dalam soal lain pun begitu. Bercakap dengan rakyat Malaysia sendiri menggunakan bahasa Inggeris, lepas itu semasa siaran Berita, diletakkan terjemahan dalam bahasa Melayu. Bukankah lebih senang bercakap Melayu semasa diwawancara?

Lepas ini ada lagi dasar yang diputuskan akan diubah. Soal pemberian beras percuma contohnya. Begitu juga dengan subsidi petrol yang dicadangkan akan diberi kepada mereka yangnlayak sahaja. Apa pula piawai kelayakan yang digunakan? Nanti akan berbalikkepada system yang ada sekarang juga. Percayalah.

Itulah saya katakan, mengurus negara seolah-olah bermain masak-masak!

No comments:

Post a Comment