Thursday, November 5, 2009

GAGASAN DAN SLOGAN: RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

1. Setiap kali bertukar Perdana Menteri, setiap kali itu slogan dan gagasan berganti. Bermula dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang sentiasa meneriakkan slogan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” ke mana sahaja beliau pergi, dikuti Allahyarham Tun Abdul Razak dengan gagasan Pembangunan Luar Bandarnya.

2. Selepas itu digantikan pula slogan “perpaduan” oleh Allahyarham Tun Hussein diikuti dengan slogan “Malaysia Boleh” ciptaan Tun Mahathir. Kemudian muncul pula Tun Abdullah dengan slogan “Jangan Berkerja Untuk Saya tetapi Berkerja Bersama Saya”. Akhirnya slogan tinggal slogan dan rakyat Malaysia tetap juga kucar-kacir sama ada dari aspek sosial, budaya, politik dan ekonomi.

3. Yang terbaru, muncul Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan gagasan Satu Malaysia dengan slogan yang cukup retorik; “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bunyinya indah dan meyakinkan. Nadanya tegas dan memberi harapan yang amat jitu kepada semua lapisan rakyat.

4. Kebetulan pula negara baru sahaja dilanda tsunami politik yang menafikan majoriti dua pertiga pemerintah, slogan ini benar-benar dianggap dapat mengembalikan maruah kerajaan yang tercalar dan meletakkan semula keyakinan rakyat kepadanya. Saban hari slogan ini dilaung-laungkan sehingga telah sebati dengan jiwa rakyat dan pemimpin walaupun ada segelintir yang masih tidak mahu merealisasikan dan memperlekeh slogan tersebut.

5. Rasanya ada kebenaran juga mengapa akhir-akhir ini sebahagian rakyat seolah-olah tidak percaya bahawa semua gagasan dan slogan yang dilaungkan itu sudah jadi ‘tidak serupa bikin’. Perlaksanaannya tidak seperti yang digembar-gemburkan. Ramai yang tertanya-tanya rakyat mana yang didahulukan kerajaan sebenarnya.

6. Apa yang jelas, belanjawan yang baru selesai dibentangkan tidak memihak kepada rakyat yang paling berhak iaitu yang berpendapatan rendah. DAN atau Dasar Automobil Nasional adalah contoh yang paling nyata. Dasar tersebut yang akan diaplikasikan pada Januari 2010 nanti mewajibkan kenderaan penumpang yang melebihi 15 tahun usianya dibuat pemeriksaan oleh PUSPAKOM terlebih dahulu sebelum meperbaharui cukai jalan.

7. Bayangkan siapa yang memiliki kereta yang berusia demikian? Jelas mereka adalah rakyat berpendapatan rendah yang tinggal di desa-desa yang memang tidak mampu membeli kereta baru. Dasar yang diperkenalkan ini hanya akan menguntungkan pengusaha-pengusaha bengkel servis kenderaan, bengkel-bengkel tayar dan kedai-kedai alat-ganti yang semestinya dimiliki rakyat bukan Melayu yang sememangnya kaya-raya.

8. Mengenai subsidi yang hendak dihapuskan dan hanya akan dinikmati rakyat kumpulan sasaran sahaja dilihat terlalu sukar hendak dipercayai. Kumpulan rakyat manakah yang menjadi sasaran kerajaan? Apakah piawai yang akan digunakan? Sudah tentulah pendapatan isi rumah yang diguna-pakai. Tetapi adakah sama kos sara hidup di kota dan di desa jika faktor pendapatan diambil kira? Kos sara hidup rakyat yang tinggal di Gunung Jerai tentulah tidak sama jika dibanding dengan rakyat yang tinggal di Kuala Lumpur walaupun pendapatan isi-rumahnya sama.

9. Pemberian bonus kepada peneroka FELDA menyimpulkan satu kedudukan yang dilihat tidak adil. Besar manakah sumbangan para peneroka kepada negara? Kenapa peneroka felda sahaja, tidak kumpulan rakyat lain seperti pesawah, nelayan, penanam sayur dan kakitangan kerajaan sendiri? Mereka juga turut menyumbang ke arah pembangunan negara seperti peneroka tersebut. Tak tahulah kerana FELDA adalah hasil kerja ayahanda Perdana Menteri, maka DS Najib harus menjaga Felda sehingga begitu rupa. Bertuahlah peneroka felda yang sentiasa menjadi anak manja Perdana Menteri.

10. Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Ismail Sabri Yaakob untuk membenarkan pasaraya besar dari luar negara beroperasi di luar bandar secara tidak langsung membunuh perniagaan kecil-kecilan yang sedang diamalkan di kampung-kampung. Peniaga-peniaga runcit ini bakal ‘gulung tikar’ bila cadangan ini dilaksanakan kelak. Terfikir kita bahawa inikah cara kerajaan mendahulukan rakyat dan inikah pencapaian yang dimaksudkan Perdana Menteri melalui slogannya?

11. Jika perkara ini direalisasikan, samalah seperti peribahasa Melayu, “kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan”.

12. Jadi fikir-fikirkanlah siapa yang dimaksudkan dalam slogan yang dilaung-laungkan itu. Rakyat mana yang sebenarnya didahulukan? Diharap pihak kerajaan berbuatlah yang sewajarnya. Jangan jadi ayam jantan, “kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”. Atau kata orang, "cakap tak serupa bikin”.

No comments:

Post a Comment