Tuesday, March 10, 2009

PPSMI: APA SEBENARNYA YANG MEREKA MAHU?

GMP yang menganjurkan perhimpunan di Masjid Negara dan kemudian bergerak ke Istana Negara beberapa hari lepas mahukan apa sebenarnya? Apa agenda di sebalik gerakan tersebut yang melibatkan para cendekiawan, sasterawan dan juga ahli-ahli politik dari parti pembangkang? Apa agenda sebenar selain dari menunjukkan kejahilan sendiri? Adakah semata-mata kerana membantah penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Metematik?

Kasihan melihat A Samad Said, Sasterawan Negara tepaksa berjalan sejauh itu hanya untuk satu matlamat yang kurang jelas. Kasihan bekas Pengarah DBP, Datuk Hassan Ahmad yang beria-ia hendak menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agung tentang satu matlamat yang masih kabur.

Bantahan yang bertujuan menyelamatkan Bahasa Melayu dilihat sebagai alasan yang terlalu lemah. Kenapa menunggu hingga tahun ketujuh baru hendak bertindak? Kenapa tidak ditentang semasa kerajaan mula berhasarat melancarkan PPSMI? Kalau ketika itu dibuat perarakan dan demonstrasi, barulah semangat cintakan Bahasa Melayu kelihatan lebih konkrit.

Sesudah masuk tahun ketujuh baru hendak bertindak, sudah terlewat. Para pelajar jadi keliru. Guru-guru jadi keliru. Sudah enam tahun para guru berusaha mendalami dan memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Sesudah menghabiskan berapa banyak masa dan wang ringgit menyediakan bahan-bahan, mengadakan kursus-kursus, menyediakan buku-buku teks, membayar elaun-elaun selama enam tahun, tiba-tiba mahu dihapuskan.

Murid-murid yang belajar sudahpun boleh menerima PPSMI dan telahapun mengerti istilah-istilah yang digunakan, tibas-tiba sekarang hendak dihapuskan. Tidak terfikirkah kita tentang nasib budak-budak yang sedang belajar ini? Adakah selama enam tahun lalu sebagai eksperimen sahaja?

Bila dihapuskan PPSMI, berapa banyak lagi wang dan masa akan dihabiskan untuk mengadakan kursus-kursus semula untuk guru-guru, untuk menyediakan buku-buku teks dan lain-lain bahan pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid akan jadi keliru kembali.

Sepatutnya jika tokoh-tokoh cendekiawan ini begitu kepingin hendak memartabatkan bahasa Melayu, ada cara lain yang lebih berkesan. Kenapa tidak menentang penggunaan berbagai bahasa pada papantanda oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang? Kenapa tidak menentang penghapusan tulisan jawi di negeri Selangor?

Banyak cara lain menunjukkan kecintaan kepada Bahasa Melayu, bukan PPSMI ini sahaja.

Datuk Hassan Ahmad sendiri semasa memegang jawatan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sepatutnya boleh memainkan peranan amat besar ke arah memartabatkan Bahasa Melayu, bukan sekarang ketika tidak memegang jawatan itu. Ketika itu beliau tidak menyusun program-program ke arah itu.

Tiba-tiba sekarang beliau muncul bersama A. Samad Said menjadi jaguh membela Bahasa Melayu. Bukankah pelik begitu.

Biarkan PPSMI. Para pelajar sudah boleh menerimanya sama ada di bandar atau di desa. Guru-guru juga sudah dapat memantapkan diri dengannya. Apa kita mahu lagi? Kita berlaku tidak adil sekiranya PPSMI dihapuskan. Kekalkan ia tetapi dengan membuat beberapa penambah-baikan.

Lagipun hanya tiga matapelajaran sahaja yang menggunakan Bahasa Inggeris. Yang lain-lain masih menggunakan Bahasa Melayu. Di sini boleh dimantapkan penggunaan Bahasa Melayu.

1 comment:

  1. aku sdih dgn ap yg terjadi pd psmi
    ap2 pon aku sokong mat n sains dlm bhsa inngeris..dr situ org melayu dpt ptingkat kn inggeris...melayu yg tidak mahu kemajuan j yg tolak math n sains dalm bahasa inngeris...adkah melayu xnak tgok anak melayu maju

    ReplyDelete