Sunday, November 8, 2009

MACAM BUDAK-BUDAK SEKOLAH

1. Di dalam padang dan di luar padang sama sahaja.
Macam budak-budak sekolah.

2. Itulah yang dapat dirumuskan dari perlawanan akhir bolasepak Liala Malaysia malam tadi. Sesudah menyaksikan perlawanan yang sepatutnya mendebarkan selama 90 minit itu, hasilnya habuk pun tak ada. Inilah bolasepak Malaysia yang digembar-gemburkan semakin meningkat mutunya.

3. Aksi di dalam padang terlalu hambar seolah-olah kita dihidangkan satu perlawanan antara dua buah sekolah menengah sahaja. Tidak lebih dari perlawanan anjuran MSSM yang dikategorikan perlawanan peringkat umur. Itulah layaknya perlawanan akhir Piala Malaysia dikategorikan.

4. Hantaran bola entah ke mana-mana, perlakuan melanggar undang-undang permainan tidak langsung berselindung, terang-terang menghalang dan membentes pemain lawan. Sepakan bola ikut sedap sahaja atau kata orang ‘ikut perut’. Ke mana perut menghala, ke situlah sepakan dituju.

5. Mana jurulatih yang dikatakan ‘bagus’ dan telah berjaya menyiapkan pasukan untuk perlawanan-perlawanan yang lebih besar? Kalau begini mutunya, usah mimpi mahu memenangi perlawanan antarabangsa yang lain. Piala Dunia lagilah jangan harap.

6. Tidak hairanlah kalau 65 ribu penyokong Kelantan keluar awal dari stadium malam tadi membiarkan 30 ribu penyokong Negeri Sembilan meraikan kejayaan mengatasi Kelantan lebih awal, sebelum selesai 90 minit permainan.

7. Baru-baru ini para penyokong Kelantan marah-marah bila dikaitkan dengan label ‘penonton ganas’. Tapi apabila menyaksikan api membakar kerusi stadium dan balingan botol-botol minuman (antaranya ada yang berisi air kencing) ke arah padang, rasanya label yang diberikan itu ada juga kebenarannya.

8. Macam budak-budak sekolah sahaja aksi-aksi yang ditunjukkan. Inilah aksi yang hendak ditunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai penonton yang berdisiplin dan mempunyai progam pembangunan bolasepaknya yang boleh dipercayai?

9. Aksi di dalam dan di luar padang sama sahaja.

No comments: