Wednesday, November 4, 2009

DS. NAJIB YANG 'BERKUASA'

1. Walaupun pujian demi pujian dihamburkan untuk Datuk Seri Najib, namun ia dilihat sebagai retorik dan mencari jalan selamat sahaja. Hakikatnya pujian-pujian tersebut tidak boleh dipercayai sama sekali. Semua orang yang memberi pujian selpas pembentangan belanjawan dikatakan hanya sebagai perkara biasa dalam politik.

2. Wakil rakyat pihak kerajaan akan memberi pujian manakala wakil rakyat pembangkang akan menunjukkan cacat-cela isi belanjawan tersebut. Perkara ini adalah scenario biasa dalam kancah politik tanahair.

3. Apa yang saya nampak pula adalah tentang keghairahan Datuk Seri Perdana Menteri mengaplikasikan ‘kuasa’ beliau seperti yang dikatakan dalam isu perlantikan Tan Sri Koh Tsu Koon dalam kabinet beliau. Itu ‘kuasa’ Perdana Menteri, ujar beliau apabila timbul gesaan Muhamad Aziz dari Ledang supaya Dr. Koh meletak jawatan.

4. Dalam soal Dasar Automotif Nasional ini juga saya melihat DS Najib ghairah menunjukkan kuasa beliau dengan secara jelas tersasar dari slogan yang diciptakannya sendiri iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Tidak tahulah pula rakyat mana yang didahulukan dengan pelaksanaan DAN itu kerana yang jelas ia amat menindas rakyat terutama yang berpendapatan rendah yang tinggal di desa-desa dan kampung-kampung.

5. Dengan peraturan mewajibkan kenderaan berusia lebih 15 tahun dihantar untuk peperiksaan PUSPAKOM sebelum mebaharui cukai jalan, ia bukanlah satu penghormatan kepada rakyat tetapi satu tekanan kepada rakyat. Rata-rata pemilik kenderaan tersebut adalah rakyat biasa yang rendah pendapatannya dan itulah sahaja kenderaan yang dimilikinya.

6. Dasar yang diperkenalkan itu hanya akan menguntungkan pemilik-pemilik industri kereta dan yang berkaitan dengan kereta seperti bengkel-bengkel servis, bengkel-bengkel tayar, syarikat-syarikat insurans yang mungkin akan menaikkan kadar premiumnya. Jadi hal ini bukan memudahkan rakyat sebaliknya semakin menghimpit rakyat.

7. Bayangkan setiap kali hendak membaharui chukai jalan, pemilik kenderaan ini terpaksa menghabiskan wang merawat kereta buruk mereka sebelum diluluskan PUSPAKOM. Padahal kereta tersebut hanyalah digunakan untuk membawa hasil pertanian untuk dipasarkan ke Pasar Borong, untuk menghantar anak-anak ke sekolah, untuk membawa kawan-kawan untuk solat jenazah dan sebagainya.

8. Alasan mengatakan kereta lama ini penyumbang kepada kadar kemalangan jalanraya amat dangkal kerana setakat masa ini belum ada sesiapa membuat kajian tentangnya malah didapati setiap kali kemalangan yang meragut nyawa atau mengundang kerosakan, hanya kereta baru yang terlibat. Ia dibantu pula oleh sikap pemandu-pemandu sendiri dan tidak ada kena mengena dengan usia kenderaan.

9. Saya amat menyokong jika pelaksanaan peraturan ini ditangguhkan dahulu buat sementara dan buatlah kajian terlebih dahulu ia menguntungkan siapa dan merugikan siapa. Jangan apabila dilaksanakan nanti, timbul cacat-cela dan terpaksa dirombak semula. Pelaksanaan sekolah satu aliran boleh ditangguhkan untuk mendapat maklum-balas rakyat, kenapa isu ini tidak boleh?

10. Adakah kerana pelaksanaan sekolah satu aliran melibatkan rakyat bukan Melayu manakala pemilik kenderaan lama ini majoritinya adalah rakyat Melayu, maka tidak ada kompromi langsung?

No comments: