Sunday, September 14, 2008

NASIB BAHASA MELAYU DI TANAHAIRKU

Sebagai seorang Melayu, saya berasa amat malu dan amat jelek malam ini (13 September 2008). Dalam kita sibuk-sibuk sedang berusaha untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dan seterusnya memartabatkannya ke persada yang lebih tinggi, ada juga orang Melayu yang tidak betah menggunakannya. Barangkali lekeh sangat kalau menggunakan Bahasa Melayu bila bercakap.

Naik mual saya mendengar Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Albar bercakap dalam sidang media melalui slot Buletin Utama di TV3 jam 8.00 malam tadi. Sepanjang Sidang Media tersebut yang disiarkan selama hampir 15 minit, hampir tiada satu pun perkataan Melayu yang digunakan. Keseluruhan sidang itu berjalan dalam Bahasa Inggeris seolah-olah saya menonton satu Sidang Media dari Bangsa-bangsa Bersatu.

Saya akui bahawa penguasaan Bahasa Inggeris Dato’ Seri Syed Hamid sangat baik penggunaan kata-kata beliau sangat jelas dan mudah difahami. Malah sepanjang yang pernah saya ikuti, memang beliau bijak bertutur dalam bahasa itu melebihi tokoh-tokoh lain, lancar dan senang difahami.

Apa yang dikesalkan ialah khalayak yang mendengar ketika itu adalah para wartawan yang majoritinya adalah orang-orang Malaysia. Orang Malaysia dari berbagai bangsa yang sudah tentu mengetahui dan faham Bahasa Kebangsaan sesudah kita merdeka selama 51 tahun.

Sepatutnya Sidang Media tersebut diadakan menggunakan Bahasa Melayu, bahasa kita sendiri yang sedang kita hendak perkasakan ini. Rakyat yang mengikuti siaran Buletin Utama TV3 melopong mendengar entah apa yang diucapkan oleh beliau. Kalau dalam Bahasa Melayu boleh juga faham memandangkan slot rancangan adalah untuk menyampaikan maklumat.

Ini bukan kali pertama kita mendengar para pemimpin negara bercakap Inggeris di hadapan khalayak yang terdiri daripada orang Malaysia sendiri. Baru dua hari lepas Dato’Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri mengadakan Sidang Media dalam Bahasa Inggeris. Semalam Dato’ Seri Mohammad Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri menggunakan Bahasa Inggeris dalam ucapan beliau di hadapan khalayak Malaysia.

Nampaknya para pemimpin sendiri tidak berminat untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan, apatah lagi orang lain. Tidak hairanlah selepas itu, dalam slot yang sama, En Lim Kit Siang dari Parti DAP bercakap menggunakan Bahasa Inggeris. Tapi dalam masa yang sama, para pemimpin sendiri yang sering bercakap dan menyuruh rakyat menggunakan Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Melayu dalam amalan harian.

Sudah 51 tahun kita merdeka. Tidak ada alasan rakyat Malaysia tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu atau sekurang-kurangnya memahami bahasa itu. Sepatutnya Bahasa Melayu telah lama berada di persada paling tinggi jika kita semua, tidak kira bangsa, darjat, pangkat dan kelompok masyarakat ada rasa tangungjawab ke arah itu. Jangan hanya pandai membuat dasar tetapi kita sendiri merasa malu melaksanakannya.

Kita menyuruh orang menggunakan Bahasa Melayu, tapi kita sendiri malu menggunakannya. Kita suruh rakyat bercakap Melayu tapi kita tidak mahu bercakap Melayu. Kita gubal perlembagaan dengan jelas Bahasa Melayu termaktub sebagai Bahasa Rasmi, tapi di waktu yang sama kita masih mengagungkan Bahasa Inggeris. Bukan Bahasa Inggeris yang jadi bahasa kedua, tapi Bahasa Melayu yang jadi bahasa kedua.

Yang bukan Melayu masih dengan bahasa ibunda masing-masing, tidak pernah mahu belajar dan mengamalkan Bahasa Melayu dalam pertuturan harian. Mereka bercakap Melayu pun sekadar hendak ambil hati, itupun keluar dengan telor yang amat menyedihkan seolah-olah itulah kali pertama datang ke Malaysia. Kepada mereka, Bahasa Melayu hanyalah bahasa kelas tiga selepas bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun saya memuji beberapa tokoh seperti Tan Sri Lee Lam Thye, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Datuk Ong Tee Keat, sasterawan En Uthaya Sankar SB dan beberapa orang tokoh lagi yang berjaya menguasai Bahasa Kebangsaan ini dengan baik sekali. Malah yang lebih terpuji, mereka sentiasa berusaha untuk bercakap Melayu, tidak Bahasa Inggeris.

Jadi, tidak patutsama sekali jika kita marah-marah bila papan-papan tanda nama jalan di Ibu Negara hendak ditulis dalam Bahasa Cina dan Tamil. Sebaliknya lihat dalam diri kita sendiri. Kesalahaan terletak dalam diri kita. Para pemimpin negara kita sendiri lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu. Dasar-dasar dan toleransi yang kita bina tidak menggalakkan kepada usaha mempertingkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa itu sendiri.

No comments: