Thursday, August 28, 2008

LAIN ORANG, LAIN HUKUMNYA

Bila kita bercakap sesuatu yang kita tidak tahu, kita perlu berhati-hati. Mungkin kita rasa tak seberapa, tapi kesannya kepada orang lain kita tidak dapat jangkakan. Setiap kali bila hendak bercakap, kita mesti fikirkan kalau orang lain kata macam itu, apa yang kita rasa. kita seboleh-bolehnya tidak mahu kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Inilah antara kaedah-kaedah yang dikira boleh meningkatkan keharmonian hidup. Itu pesan orang tua saya semasa saya kanak-kanak dahulu.

Tapi hari ini kita lihat orang berkata-kata tidak lagi mengambil kira itu semua. Cakap ikut sedap sahaja. Asalkan mendatangkan hasil kepadanya, orang lain peduli apa. Jangan fikir orang lain. Lebih-lebih lagi kalau ada sedikit kepentingan. Bagaimanapun ada waktu-waktu pula, percakapan yang macam ini memberi akibat buruk kalau sebarangan orang yang bercakap. Ada masanya tersilap saja cakap, tanggunglah akibatnya.

Satu ketika dahulu seorang pelakon drama, Rosnah Mat Aris telah terkena tempias akibat mulut celuparnya. Tanpa berfikir terlebih dahulu beliau mengeluarkan kata-kata yang diklaskan sebagai menghina isteri Nabi, Siti Khadijah. Ketika itu semua orang memberi pendapat dan pandangan yang semuanya bersifat menyerang pelakon tersebut mengakibatkan periuk nasi beliau tertutup terus.

Beliau di’gam’ oleh stesen-stesen TV dalam jangka masa yang panjang. Semua drama lakonan beliau tidak mendapat kebenaran untuk disiarkan.

Walau bagaimanapun, ada juga orang yang sangat kebal dan boleh berkata apa sahaja biarpun percakapanannya menyentuh hal-hal agama. Dalam perkara yang hampir sama, tetapi orang ini tidak pula menerima nasib seperti Rosnah Mat Aris tadi.

Satu masa dahulu, Tuan Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Tuhan juga pernah mencarut. Takut kita mendengarnya. Tuhan pun jadi sasaran jika ada kepentingan. Lebih berani daripada Rosnah. Kalau Rosnah setakat Nabi dan Isteri Nabi sahaja, Tuan Guru pula dengan Tuhan. Tak ada siapa pun ambil tindakan kerana masing-masing ada kepentingan. Tidak ada pula suara-suara yang menyerang beliau kerana beliau ulama ternama. Cuma ada beberapa suara daripada tokoh-tokoh parti lawan beliau yang mengulas tetapi tak berapa berani sebab yang ini Ulama Besar.


Senang sahaja beliau mengeluarkan percakapan yang menghina Tuhan. Ada orang memberi pendapat yang pro dan kontra selepas itu, tapi akhirnya perkara itu diam begitu sahaja.

Baru-baru ini Tuan Guru kita itu mengeluarkan kata-kata yang boleh kita kategorikan sebagai menghina Nabi pula. Selepas beliau dituduh memilih kroni apabila melantik menantu beliau untuk jawatan penting dalam pentadbiran Negeri Kelantan, beliau menyatakan Nabi pun mengamalkan kronisma juga dengan memilih para sahabat menjadi pegawai baginda. Tidak menghinakah namanya itu?

Rupanya orang-orang ternama, ulama-ulama besar bebas berkata apa sahaja. Mereka ada lesen besar dengan penampilan yang dilihat mengikut sunnah. Orang macam Rosnah Mat Aris tidak boleh berkata begitu kerana penampilan beliau amat jauh daripada penampilan seorang muslimah sejati.

Saya bukan hendak membela Rosnah Mat Aris. Saya tak kenal dia pun malah lakonannya pun saya tidak pernah tonton. Jauh sekali pula saya hendak menghina Tuan Guru Dato' Hj. Nik Aziz. Beliau ulama besar yang amat disegani. Tapi yang benar tetap benar dan yang tidak betul tetap tidak betul.

Tak tahulah apa nak jadi. Sama-samalah kita tengok nanti.

No comments: