Friday, January 4, 2019

MASALAH PENGADIL HARAM DI PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH

(Ini adalah sebilangan pengadil bolasepak Persatuan Bolasepak Kedah yang hadir untuk ujian kecergasan tahun 2018)

1. Tentulah kasar bila disebutkan Pengadil Haram tetapi itulah istilah yang sesuai digunakan dalam konteks ini. Kadang-kadang mereka digelar juga pengadil 'PIRATE' dalam kalangan pengadil bolasepak di negeri Kedah. ini. Hal ini amat merumitkan dan memberi gambaran bahawa situasi pengadil bolsepak di Kedah tidak stabil.

2. Sebenarnya aktiviti pengadil haram ini berlarutan sejak puluhan tahun dahulu lagi tanpa ada mekanisma untuk membendungnya apatah lagi memberhentikan terus kegiatan mereka. Dua puluh tahun dahulu ketika bolasepak negara belum memasuki era profesinal, pengadil jenis ini bergerak secara solo iaitu dengan membawa kelengkapan di dalam motosikal atau kereta dan pergi ke padang-padang bolasepak. Mana-mana ada perlawanan yang tiada pengadil, mereka menawarkan diri dengan bayaran tertentu. Kadang-kadang mereka bergerak secara berkumpulan menjalankan kegiatan ini.

3. Pada waktu tersebut persatuan bolasepak negeri ditadbir secara amatur dan para pengadil pula hanya bergabung di bawah pewrsatuan pengadil bolasepak negeri dan daerah yang tidak berada di bawah persatuan bolasepak negeri. Jadi semua aktiviti pengadil dijalankan di setiap daerah mengikut kemahiran beberapa individu di setiap daerah. Kursus dan aktiviti adalah di bawah kelolaan individu yang tidak khusus iaitu sesiapa sahaja yang mempunyai kebolehan dan minat.

4. Jadi tidak hairanlah organisasi pengadil pada masa itu terlalu longgar sehingga wujud kumpulan-kumpulan yang sentiasa mengambil kesempatan mendapatkan beberapa kejohanan. Yang penting ia dijadikan sebagai sumber pendapatan yang agak lumayan. Lalu kadang-kadang timbullah perbalahan sesama pengadil dan juga kadang-kadang sesama penganjur perlawanan. Ketika itu masalah pengadilan banyak timbul dari aspek mutu pengadilan kerana ada antara mereka yang hanya nampak wang sahaja tanpa mengira pelaksanaan undang-undang permainan.

5. Lalu apabila bolasepak negara memasuki era pro sepenuhnya, pentadbiran persatuan memasukkan pengadil ke dalam satu daripada unit pentadbiran. Tujuannya adalah semata-mata untuk meletakkan para pengadil di Kedah ini di bawah satu bumbung dan dapatlah dilaksanakan aktiviti yang menyeluruh seperti kursus-kursus, ujian kecergasan dan juga senang menyampaikan maklumat-maklumat yang berkaitan. Di samping itu pula dapatlah KFA menyelaraskan aktiviti pengadilan kepada individu yang berkelayakan demi kelangsungan perlawanan yang bermutu. Masing-masing pengadil dapatlah mempertingkatkan keupayaan dan pengetahuan sejajar dengan perkembangan terkini sukan bolasepak.

6. Lalu untuk mencapai matlamat mencapai mutu yang baik dalam bidang pengadilan, Jawatankuasa Pengadil Bolasepak KFA telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini melaksanakan tugas pada peringkat awal dengan mendaftar semua pengadil bolesepak di setiap daerah dan mereka ini pula diberi taklimat dan kursus bagi meningkatkan ilmu serta diberi tugasan-tugasan mengikut keupayaan. Peperiksaan dan ujian diadakan bagi menilai kebolehan serta ilmu pengadilan dan mudahlah dikategorikan untuk perlawanan tertentu pada ketika awal perlaksanaannya.

7. Apabila FAM sendiri memperkukuhkan organisasi pengadil, tempiasnya datang juga ke KFA dengan meletakkan para pengadilnya menduduki peperiksaan yang stara di peringkat FAM iaitu peperiksaan Kelas Tiga dan juga peperiksaan peringkat Kebangsaan. Mereka yang lulus peperiksaan ini bolehlah layak untuk dilantik mengadili perlawanan mengikut kategori masing-masing.

8. Akibatnya timbullah rasa tidak senang dalam kalangan pengadil yang gagal dalam peperiksaan-peperiksaan tersebut dan tuntulah mereka akan disenaraikan untuk kategori perlawanan yang lebih rendah. Hal ini banyak menimbulkan rasa tidak puas hati, lalu aktiviti pengadilan tetap menjadi darah daging mereka. Lalu kumpulan ini menubuhkan beberapa kumpulan Pengadil Haram ini.

9. Rupanya di negeri Kedah ini, kumpulan pengadil ini mendapat sokongan yang lebih daripada pengelola-pengelola pertandingan. Penganjur perlawanan sering memberi tugasan kepada kumpulan ini tanpa memikirkan risiko langsung. Akhirnya kumpulan pengadil pirate ini lebih populer daripada pengadil yang berdaftar dengan KFA.

10. Masalah ini berlarutan hingga bertahun-tahun tanpa apa-apa tindakandaripada pengurusan KFA. Jawatanakuasa Pengadil sudah bertukar beberapa kali tetapi masalah ini tetap juga tidak dapat ditangani. Malah kadang-kadang perlawanan yang dijalankan di Stadium Darulaman yang menjadi tempat KFA, tugas pengadilan diberi kepada kumpulan ini. 

11. Jadi siapa pula yang harus membela pengadil-pengadil yang berdaftar dengan KFA dan menjalani ujian kecergasan setiap tahun? 

Entahlah Amigo!

No comments:

Post a Comment