Baru beberapa minggu yang lalu pasukan Helang Merah berjaya
merampas Piala Sumbangsih dari tangan JDT. Tahniah diucapkan kepada barisan
pemain dan pihak pengurusan pasukan yang memberi khidmat cemerlang dan
meyakinkan mengekalkan momentum kemenangan dan kejayaan. Bukan mudah untuk sebuah pasukan yang baru setahun
diangkat ke Liga Super boleh mengecap kejayaan gemilang begitu.
Namun kejayaan para pemain dan pasukan tidak berseri apabila berlaku kemelut dan kepincangan dalam bidang lain di
dalam pentadbiran Persatuan Bolasepak Negeri Kedah (KFA) sehingga timbul tanda Tanya,
“Apa Sudah Jadi Dengan KFA?”. Orang tidak tahu rupanya KFA adalah sebuah
persatuan sukan yang tidak boleh ditegur dan ditolong-perbetulkan. Jika ada
mana-mana pegawai dan ahli jawatankuasa membuat sedikit teguran, orang tersebut
menerima akibat buruk dan dimalukan. Orang itu akan terus disingkirkan daripada
senarai mana-mana jawatankuasa.
Baru-baru ini ada seorang dua Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA
membuat sedikit teguran terhadap salah tadbir Jawatankuasa Pengadil iaitu
tentang Pegawai Pembangunan Pengadil yang membelakangkan terus peranan
Jawatankuasa Pengadil malah sering membuat keputusan sendiri dalam pengurusan
pengadil di negeri Kedah. Pihak pengurusan KFA bukannya menyiasat pendedahan
tersebut tetapi terus mengambil tindakan menggugurkan Ahli jawatankuasa yang
membuat teguran. Mereka ditamatkan perkhidmatan dari Jawatankuasa Pengadil
Negeri Kedah.
Sepatutnya sebagai sebuah badan sukan yang berintegriti,
aduan dan laporan ini disiasat dan dikaji. Jika ianya salah dan tidak benar,
penjelasan harus diberikan dan baru dikenakan tindakan. Apa akan berlaku jika
aduan tersebut adalah benar dan betul?
Apa yang diadukan dan dilaporkan oleh AJK Pengadil ini ada
juga benarnya. Bagaimana Pegawai Pembangunan Pengadil beroleh peruntukan dan
boleh pula melakukan perkara-perkara di luar bidang tugasnya sedangkan
sepanjang tahun 2016 sekalipun tidak diadakan mesyuarat jawatankuasa. Ada
rungutan dari beberapa pengadil bahawa pihak Pegawai Pembangunan Pengadil telah
melantik pengadil-pengadil yang tidak lulus ujian kecergasan 2015 dahulu. Ujian
Kecergasan untuk 2016 langsung tidak diadakan. Jadi apa keriteria lantikan
pengadil bertugas apabila ujian kecergasan tidak diadakan.
Hal-hal inilah yang ditegur dan dilaporkan. Jadi apa sudah
jadi dengan KFA? Individu yang membuat laporan dan aduan disingkirkan begitu
sahaja. Ini menggambarkan bahawa KFA adalah sebuah persatuan sukan yang tidak
boleh diperbetulkan.
No comments:
Post a Comment