Akhir-akhir ini perpecahan dalam kalangan orang Melayu amat
ketara dan tidak dapat disembunyikan. Semua orang sedar dan tahu kesan dari
perpecahan demi perpecahan ini tetapi tiada siapa mahu belajar peduli akibat
yang berganda-ganda teruknya dari pergeseran kaum pada 1969 dahulu. Dan buat
masa ini semua orang tahu siapa peniup semboyan perpecahan yang amat buruk
akibat masing-masing kemaruk kuasa politik di negara tercinta ini.
Dahulu orang tua-tua ada membuat bidalan yang berbunyi, “
antan sama antan berlaga, padi tumpah, ayam yang kenyang” tetapi siapa
mengambil kira akibat dari pergeseran dalam kalangan puan dalam komuniti Melayu
itu? Ada saja isu dan perkara yang menjadi pertikaian dan isu-isu ini tidak
langsung cuba disembunyikan. Alangkah malunya bangsa Melayu sedangkan
bangsa-bangsa lain cuba sedaya upaya menyembunyikan masalah bangsa mereka
walaupun tidak dinafikan ada perbezaan pendapat dalam kalangan mereka.
Tidak dinafikan hati Melayu mudah terguris dan cepat terasa.
Tetapi jika berlarutan dari hari ke hari, sehingga membawa kepada perpecahan
yang sangat meruncing dan ketara, trntulah rakyat tidak merasa senang.
Perbalahan demi perbalahan silih berganti semenjak tahu 2008 lagi tidak Nampak penghujungnya.
Krisis demi krisis melanda bangsa Melayu seolah-olah tiada kesudahannya. Apa
akan terjadi kepada bangsa Melayu yang semakin hilang identitinya sendiri.
Jika dahulu bangsa Melayu terkenal dengan sifat sopan
santunnya, cakap berlapik dan sebarang protes penuh berhemah, sekarang entah ke
mana hilangnya identiti Melayu itu. Saban hari kedengaran tohmahan dan kritikan
sesama pemimpin Melayu sehingga timbul kebencian di hati rakyat jelata. Entah
siapa betul entah siapa salah. Segala bentuk fitnah tersaji di maya tentang
kepimpinan Melayu.
Begitulah kuatnya politik sehinggakan boleh memecah-belahkan
sebuah bangsa akibat bangsa itu hanya berpaksikan nafsu dan tamakkan kuasa.
Politik orang Melayu terlalu unik. Yang berjuang untuk bangsa pun begitu asyik
dengan mengumpul kekayaan sehingga bangsanya menjadi perkara kedua. Yang memperjuangkan
agama juga tidak terlepas dari kerakusan kuasa sehingga lupa asas perjuangan
yang sepatutnya. Kumpulan Melayu yang kononnya mengambil keadilan sebagai paksi
perjuangan didapati tidaklah seadil manapun.
Yang bertepuk tangan sekarang adalah orang lain
selain Melayu. Betullah seperti kata orang tua-tua, “Antan sama antan berlaga,
padi tumpah, ayam yang kenyang”. Esok bila negara ini jatuh ke tangan orang
lain, Melayu hanya menjadi penumpang di negara sendiri. Ketika itu barulah
menangis tidak berlagu.
No comments:
Post a Comment