Monday, June 8, 2015

PEMUNGUT DERMA: BEBASNYA MEREKA MENGUMPUL WANG


1. Kegiatan mengutip wang derma boleh dikatakan tidak terkawal lagi. Tiada pihak yang rasa bertanggungjawab menangani masalah tersebut. Dan tiada siapa tahu dengan jelas siapa yang patut mengambil perhatian dan tindakan. Pihak berkuasa agama memberi alasan bahawa itu bukanlah bidangkuasa mereka tetapi pemungut derma ini sering dilihat membawa salinan surat kebenaran dari pihak tersebut. Pihak polis tentulah tidak mempunyai kuasa selagi tiada perlakuan jenayah dan tiada pula laporan polis dibuat.

2. Akhirnya pemungut derma ini bebas ke sana kemari membawa fail dan surat dan juga sering meletakkan tong-tong derma di mana sahaja yang difikirkan menjadi laluan orang ramai. Tempat yang selalu menjadi tumpuan adalah di pasar-pasar malam dan pekan-pekan 'nat' yang ada ramai orang lalu-lalang.

3. Dengan penampilan bagai seorang yang warak dan zuhud, mereka meminta simpati agar orang ramai memasukkan sedikit wang ke dalam tong-tong derma. kononnya itu adalah derma untuk anak-anak yatim ataupun untuk pembinaan masjid dan pusat tahfiz dan apa-apa lagi. Lalu orang Melayu yang berlagak budiman, memberi wang begitu sahaja tanpa usul periksa.

4. Pagi tadi saya berkesempatan melihat seorang pemungut derma di pekan sehari di tempat saya. Dia membawa sebuah fail yang ada gambar rumah anak-anak yatim. kononnya itu adalah derma untuk rumah kebajikan tersebut. Tetapi apabila saya mula mengambil beberapa keping gambarnya sedang menjalankan kegiatannya, dia mula mengelak dan melarikan diri. Kalau benar derma itu untuk anak yatim mentgapa perlu ia mengelak dan lari? Tentulah kegiatannya tidak betul dan dia merasa takut didedahkan rahsianya.

5. Satu peristiwa lagi berlaku di kawasan perumahan yang saya diami. Suatu pagi datang seorang lelaki muda yang berjubah memberi salam dan meminta sumbangan yang katanya untuk sebuah pusat tahfiz di Naratrhiwat, Thailand. Dia tunjukkan beberapa keping gambar pusat tahfiz tersebut. Selepas membelek beberapa gambar saya menolak dengan baik dan menyatakan saya tidak berminat untuk menderma. Pemuda itu pergi dengan rungutan yang tidak jelas.

6. Beberapa minit selepas itu datang lagi seorang pemuda yang lain yang juga memakai jubah memberi salam dan meminta sedikit sumbangan. kali ini pula adalah untuk rumah anak-anak yatim, juga di Narathiwat, Thailand. Dia tunjukkan beberapa keping gambar yang saya lihat betul-betul serupa dengan gambar dalam fail pemuda pertama tadi. Bila saya menyebut tentang persamaan gambar itu, pemuda itu nampak gelisah. Dan ketika saya pura-pura untuk menghubungi seseorang melalui telefon saya, pemuda itu terus tergesa-gesa pergi.

7. Jadi berhati-hatilah tentang pemungut derma ini. Bukan semua tetapi susah untuk kita mengenalpasti yang mana benar. Yang jelas, mudah sekali untuk orang mengumpul wang di negara kita ini. Tiada halangan dan tiada siapa cuba menghalang. hanya terletak pada diri kita sendiri sama ada mahu atau tidak.

8. Pernah pada satu ketika dahulu, kira-kira tahun 1974, saya sempat berbual dengan seorang pengemis di Kuala lumpur. Kebetulan dia tinggal tidak jauh dari rumah yang saya sewa. Malam itu hujan renyai dan dia pulang longlai melalui hadapan rumah lalu saya panggil singgah. Saya terkejut mendengar jawapannya apabila saya bertanya bagaimana keadaan hari tersebut. Kata-katanya saya ingat sehingga hari ini: "Hari ni orang tak ramai, hujan. Dapat 150 sahaja". Bayangkan bagaaimana pada hari yang lain.

9. Andainya anda ada wang untuk didermakan, berilah sumbangan pada tempat yang betul.

No comments:

Post a Comment