Saturday, October 4, 2014

MALANGNYA BAHASA MELAYU

Hari Kemerdekaan ke 57 telahpun kita sambut meriah. Kalau manusia, usia tersebut adalah sedang berehat dan bermain dengan anak-cucu. Kalau  kaki-tangan kerajaan, sedang menunggu masa untuk bersara pada usia 58 atau 60. Begitulah usia kemerdekaan negara Malaysia yang tercinta ini. Seusia itu jugalah Bahasa Melayu diisytiharkan sebagai Bahasa Rasmi Negara sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. 

Sebagai Bahasa Rasmi Negara, semestinyalah Bahasa Melayu dimartabatkan dan diletak pada tempat paling atas dalam apa sahaja urusan harian bermula dari pertuturan, surat menyurat, papan-papan tanda, Nama institusi dan sebagainya supaya bahasa itu menjadi amalan harian dan menjadi tatapan siapa sahaja yang datang ke negara ini.
 

Tetapi rakyat Malaysia terlalu baik. Orang luar tidak faham kalau hanya Bahasa Melayu  digunakan dalam amalan harian. Perlu ada bahasa lain lagi bagi memudahkan komunikasi. Lantas terdapat berbagai-bagai bahasa pada papan-papan tanda dan nama-nama bangunan bagi memenuhi keperluan tersebut. Dan sekarang sudah tidak terkawal lagi. Nama bangunan pun  tidak menggunakan Bahasa Melayu lagi seolah-olah ia berada di negara luar.
 

Kita usah bercakap tentang dasar pemerintah kerana menjadi kesalahan pula mengkritik dasar. Tapi kita boleh menyentuh tentang sikap. Sebenarnya memartabatkan Bahasa Melayu ini berkait rapat dengan sikap kita sendiri. Ia perlukan kerjasama dari semua pihak dalam kalangan rakyat terutama yang cintakan Bahasa Melayu. Jangan hanya bercakap lantang  tapi tidak memainkan peranan.
 

Jadi para pemimpin usah berteriak meminta rakyat berusaha memartabatkan Bahasa Melayu jika mereka sendiri malu untuk menggunakan Bahasa Melayu. Ada pemimpin malu bertutur Bahasa Melayu dalam sesuatu majlis atau wawancara sedangkan yang bertanya adalah wartawan Malaysia sendiri. Itu sekadar satu contoh.
 

Media elektronik juga boleh memainkan peranan dalam soal ini. Kadang-kadang dalam apa-apa program, terutama semasa Berita Perdana atau Buletin Utama, kalau bertemu dengan orang ramai, hanya siarkan percakapan yang menggunakan Bahasa Melayu. Kalau ada individu yang menggunakan selain Bahasa Melayu jangan siarkan.
 

Badan-badan kerajaan yang lain juga boleh membantu dalam soal ini. Nama-nama institusi dalam jabatann mereka hendaklah dimelayukan. FAMA, RISDA, FELDA dan lain-lain patut dijenamakan semula dalam Bahasa Melayu. Selepas semua ini dilakukan, barulah boleh bercakap tentang mahu memartabatkan Bahasa Melayu.
 

Nasib kamulah Bahasa Melayu! Merempat di Tanah Melayu sama seperti bangsanya juga.
 

Sekian.
 

  

No comments:

Post a Comment