Saturday, November 1, 2008

GURU YANG ORANG TIDAK TAHU

Penyair Usman Awang menulis pada tahun 1979 antaranya berbunyi;

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam yang menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Demikianlah jasa seorang guru, lebih-lebih lagi guru yang mengajar mengenal huruf pertama untuk dikenali, guru yang mengajar nombor pertama untuk diingati. Guru itulah yang sepatutnya lebih awal menerima penghargaan.

Orang hanya mengenali guru bila ada orang memanggilnya ‘cikgu’. Orang mengenali guru bila melihat dia membawa buku memasuki kelas atau kawasan sekolah. Selain dari situasi itu orang tidak kenal guru.

Usman Awang juga menulis;

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Orang tidak kenal guru. Setiap hari ada sahaja cerita kurang enak tentang guru. Kadang-kadang ada berita waris menyaman guru. Ada berita murid menendang guru. Ada berita tentang tuduhan guru menuntut gaji yang tinggi. Orang seperti sudah lupa bahawa mereka pernah bersekolah dan diajar oleh manusia bergelar ‘guru’.

Orang tidak sedar bahawa guru bersengkang mata memeriksa buku-buku kerja murid-muridnya hingga jauh malam, menyediakan soalan untuk ujian dan peperiksaan dan menyediakan bahan-bahan untuk diajar esoknya. Orang juga tidak peduli guru terpaksa mengorbankan hari cuti hujung minggu membawa murid-muridnya mengikuti aktiviti-aktiviti ko-kurikulum di tempat-tempat yang jauh meninggalkan anak-anak mereka.

Orang tidak tahu bahawa semasa musim peperiksaan begini para guru tidak senang duduk. Selagi keputusan peperiksaan tidak keluar, selagi itulah mereka tidak tenteram. Apa tidaknya, nanti kalau keputusan tidak memuaskan, mereka terpaksa menyediakan jawapan-jawapan untuk dijawab semasa post-mortem samada di peringkat sekolah, PPD dan juga Jabatan Pelajaran. Malah kadang-kadang pihak KementerianPelajaran sendiri datang menyelidik.

Tidak kira lagi pihak Nazir Sekolah. Masa inilah juga mereka mengambil kesempatan menekan guru-guru. Kumpulan Nazir ini kadang-kadang dilihat cuba ‘mengganggu’ guru-guru dengan saranan dan laporan mereka yang tidak munasabah kepada Kementerian Pelajaran.

Yang orang tahu guru mesti dikenakan tindakan apabila menghukum muridnya. Guru mesti ditukarkan walaupun sudah jelas yang bersalah adalah murid yang menendang guru. Yang orang tahu, permintaan guru supaya disemak gaji mereka jangan dilayan.

Orang lupa bahawa guru juga adalah manusia biasa. Orang lupa bahawa:

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Begitulah guru yang tidak siapa tahu mengenainya.

1 comment:

  1. guru adalah inspirasi sampai bila2. sehingga ke hari ini saya masih mengingati beberapa bait kata yang pernah diucapkan guru kepada saya walaupun hampir 20 tahun meninggal alam persekolahan. terima kasih cikgu.

    ReplyDelete