Saturday, May 21, 2016

KFA: BILA MAHU BELAJAR DARI KESILAPAN?




Separuh musim telah berlalu dan Helang Merah berjaya menempatkan diri dalam kelompok yang boleh dibanggakan walaupun baru semusim kembali ke Liga Super. Tempat ke lima atau enam memang boleh dibanggakan. Rata-rata para peminat melihat perkembangan ini secara positif dan sentiasa memberikan sokongan. Biarpun beberapa tindakan pihak pengurusan persatuan dan pasukan bertindak di luar jangkaan peminat, namun sokongan tidak beralih, malah semakin padu dengan harapan Helang Merah akan terbang lebih tinggi.

Namun begitu KFA masih juga tidak mahu belajar dari kesilapan-kesilapan mereka untuk lebih bersedia pada masa hadapan. Beberapa tindakan dilihat sebagai ‘syok sendiri’ dan sering melupakan sumbangan yang diberikan pihak-pihak lain. Mungkin pihak pengurusan mengandaikan perkara-perkara tersebut sebagai remeh dan tidak boleh mengggugat pencapaian pengurusan dan pasukan.
Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan dan jika hal-hal begini dibiarkan berlarutan, usah terperanjat nanti pada suatu hari KFA akan berdepan dengan masalah. Masalah-masalah ini mungkin akan menjejaskan kebangkitan pasukan Helang Merah sendiri dan juga beberapa masalah lain yang menggugat pencapaian persatuan sendiri.

Baru-baru ini KFA mengadakan Malam KFA yang bertujuan meraikan pencapaian dan juga kejayaan pasukan Helang Merah dan KFA sendiri mengharungi masalah pengurusan dan juga penajaan. Dan dalam sambutan malam itu ramai pihak yang dijemput termasuklah Ahli-ahli Majlis, beberapa jawatankuasa dan pihak yang terlibat dengan kebangkitan Helang Merah. Namun begitu ada juga pihak-pihak yang tidak menerima jemputan walaupun turut menyumbang ke arah yang sama.

Jawatankuasa Pengadil tidak langsung dijemput. Mungkin pada pandangan pihak penganjur, jawatankuasa ini tidak penting, lalu terus dilupakan. Hanya Pegawai Pembangunan Pengadil sahaja yang dijemput seolah-olah beliau seorang sahaja yang menyumbang ke arah pembangunan pengadil di negeri Kedah ini. Barangkali sumbangan jawatankuasa ini tidak mencapai piawai yang ditetapkan. Dan pihak jawatankuasa pengadil menerima dengan hati terbuka. Walaupun tidak dijemput, program tetap diteruskan.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang pelik dihadapi. Selama saya berada di dalam jawatankuasa ini,  pengerusinya tidak hadir bermesyuarat dan ia hanyalah dikendalikan timbalannya. Apatah lagi Setiausaha Kehormat KFA, lagi susah hendak nampak batang hidungnya, langsung tidak ambil tahu. Mengenali ahli jawatankuasa pun tentulah tidak. Ini membuatkan Jawatankuasa ini susah menjalankan program.

Jawatankuasa Pengadil ini juga tidak mempunyai seorang setiausaha untuk mencatat setiap perancangan dan keputusan yang dibuat. Walaupun kami tyelah merancang dan memutuskan beberapa perkara penting, ia hanyalah tersimpan di ingatan masing-masing. Hal ini amat menyulitkan kerana tidak ada catatan rasmi.

Jawataankuasa yang hadir bermesyuarat pula tidak pernah dibayar sebarang elaun termasuk tambang perjalanan dari rumah ke Stadium Darulaman. Bayangkanlah berapa belanja jika seseorang datang dari Kulim semata-mata untuk bermesyuarat? Dahulu, ketika saya menganggotai jawatankuasa ini pada era 80an hingga 2000, pihak pengurusan membayar elaun perjalanan yang boleh menampung sedikit perbelanjaan.


Jadi KFA haruslah belajar dari perkara-perkara ini agar tidak tersilap langkah.

No comments: