Sunday, January 31, 2016

LABU ROSAK, TIKUS KEKENYANGAN

Berpeganglah secara serius bahawa bakal sultan dan orang politik tidak sesuai memegang teraju sukan negara. Sudah berkali-kali dinyatakan ketidak-sempurnaan perjalanan persatuan sukan andaianya orang-orang ini memegang tampuk kuasa persatuan sukan. Banyak kelemahan berbanding kebaikan yang bakal kita perolehi. Banyak impak negatif berbanding positif bila sesuatu badan sukan diterajui oleh bakal raja dan orang politik. Banyak contoh telah kita lihat dan yang paling jelas adalah Persatuan Bolasepak Malaysia.

Orang politik pun begitu juga. Glamour saja yang lebih dan peranan mereka hanyalah ketika persatuan memerlukan dana. Kalau bukan kerana menyediakan peruntukan bagi mengendalikan persatuan sudah tentu orang lain lebih baik mengendalikannya. 


Usah pergi jauh, lihat sahaja Persatuan Bolasepak Negeri Kedah atau KFA. Dalam masa 10 tahun ini sudah berapa kali tukar presiden kerana pertukaran pucuk pimpinan politik. Selepas Mahadzir Khalid, Ustaz Azizan pula mengendalikan persatuan. Bila kerajaan PAS tumbang dan kembali kepada BN, Datuk Seri Mukriz Mahathir pula diberi tanggungjawab sebagai presiden kerana perlembagan KFA menetapkan hanya Menteri Besar menjawat jawatan tersebut. Sudahnya bolasepak Kedah tidak ke mana dan wang peruntukan habis begitu sahaja.


Nak harapkan tiga piala? Jauh pemanggang dari api. Merosot lagi dan parah lagi memang ada. Ibarat labu diberi kepada tikus untuk dibaiki. Kita imbau kembali sejarah jatuhnya pasukan Kenari (sekarang Helang Merah). Dari juara memenangi tiga piala terus terjerumus ke kancah Liga Perdana. Berapa lama berjuang di liga kelas dua itu, baru sekarang kembali ke persada Liga Super. Itupun mungkin sekadar untuk 2016 ini sahaja. nanti musim 2017 harapan kembali ke Liga Perdana memang ada.

Sebaik sahaja PAS dan Ustaz Azizan mengambil alih pentadbiran KFA, pasukan Kenari baru saja memenangi tiga piala iaitu piala Liga Super Piala FA dan Piala Malaysia. Begitu gah Kenari di persada bolasepak negara. Sebagai hadiah kemenangan, KFA membawa rombongan ke eropah dan kebetulan kerajaan negeri bertukar, yang pergi mengikuti rombongan adalah tokoh-tokoh pentadbiran baru. Ketika itulah orang-orang yang tidak tahu apa-apa tentang bolasepak turut serta kerana kebetulan mereka berada dalam kerajaan pada masa itu.

Pulang dari lawatan 'makan angin' itu, pembentukan pasukan Kenari semakin goyang kerana yang mentadbir adalah orang-orang yang baru hendak kenal apa itu bolasepak. Selepas itu, umpama tikus membaiki labu, habis rosak labu kerana tikus hanya tahu memakan labu bukan tahu membaikinya. Akhirnya Kenari turun ke Liga Perdana dan tidak bangun-bangun lagi.


Hinggalah selepas Datuk Seri Mukriz menjawat jawatan presiden KFA, dan melalui beberapa proses penjenamaan semula termasuk menukarkan identiti Kenari menjadi Helang Merah, wajah Kedah berubah semula dan semakin garang. akhirnya mereka menempa kejayaan dan kembali le Liga Super sesudah menjuarai Liga Perdana. Di samping itu menjadi naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama, 2015.

Dan penyakit yang sama menimpa KFA apabila pihak pengurusan sibuk dengan politik. Urusan KFA banyak diambil alih oleh beberapa wajah yang rapat dengan presiden dan setiausaha sehingga menimbulkan masalah kepada pasukan. Jadi usah terkejut jika selepas ini Helang Merah terjunam kembali ke kancah Liga Perdana apabila pengurusan diserahkan kepada orang yang hanya tahu mengambil kesempatan dan sebahagian pula membawa misi membalas dendam.

Pasukan diserahkan kepada orang yang tidak tahu bolasepak selain hanya tahu menimba pendapatan dari KFA. Lihatlah struktur KFA, siapa yang menerima elaun lumayan? Orang yang bertungkus lumus menjayakan misi ke Liga Perdana disisihkan dan tugas diserahkan kepadfa orang-orang rapat sahaja. Nanti jadilah seperti 'Tikus Membaiki Labu'. Akhirnya labu akan rosak dan tikus kekenyangan.

No comments: