Thursday, August 1, 2013

HIJAU KUNING: ADA KISAH DI SEBALIK LOGO

Baru-baru ini saya ada terbaca sebuah rencana dari seorang peminat pasukan bolasepak Hijau Kuning dalam sebuah blog. Rencana itu banyak berkisar kepada warna rasmi pasukan Kedah Darulaman serta tafsiran mengenai logo Persatuan Bolasepak Kedah itu sendiri. Saya tidak tahu sumber yang menyumbang tafsiran tersebut, tetapi ingin sekali saya memperbetulkan beberapa fakta supaya tidak mengelirukan.

Hal ini pernah saya tuliskan dalam dalam posting sebelum ini iaitu pada tahun 2008 lagi di bawah tajuk Kenari Terbang Tinggi. Dalam penulisan itu saya menceritakan juga beberapa peristiwa yang membawa kepada penggunaan logo baru itu.

Setakat yang saya tahu dan ingat, logo dan warna rasmi itu tidak ada kaitan langsung dengan 'padi' seperti yang didakwa penulis berkenaan. Ketika memperkenalkan logo baru itu dalam satu mesyuarat Majlis KFA, Allahyarham Dato' Ahmad Basri telah menerangkan dengan jelas dan lengkap pengertian setiap aspek logo tersebut dan mengapa penggunaan warna 'Hijau Kuning'  sebagai warna rasmi KFA.

Allahyarham tidak setuju mengaitkan warna itu dengan 'padi' kerana beliau berpendapat  padi tidak selalu hijau dan tidak selalu kuning. sebab itu logo itu tidak menggunakan gemal padi seperti sebelumnya sebaliknya memakai bunga alamanda sebagai hiasan kerana pokok alamanda sentiasa hijau dan kuning.

Dan garis sempadan logo itu diubah dari bentuk bulat menjadi 11 segi yang memberi makna bahawa setiap garisan mewakili satu daerah di Kedah dengan mengambil kira Pokok Sena sebagai satu daerah.

Saya berkata demikian kerana saya salah seorang yang terlibat secara langsung dalam perbincangan awal mengenai logo tersebut dan juga tentang penggunaan warna Hijau Kuning. Malangnya tokoh-tokoh yang ada bersama dalam perbincangan itu telah meninggal dunia kecuali Dato' Shukri hashim, Cikgu Ismail Ringo dan saya sendiri. Yang lain-lain termasuk Dato' Ahmad Basri, Dato' Radzi Basir, Cikgu Khalid dan Jaafar Mansor telah meninggal dunia.

Sekian. Terimakasih.
31 Julai 2013.

No comments: