Tuesday, March 3, 2009

TAHNIAH KEPADA PETER BUTLER

Nama Peter Butler tidaklah sehebat mana kalau tidak kerana melonjakkan pasukan Kelantan mengharungi kancah Liga M buat masa ini. Walaupun tewas dengan pasukan gergasi Selangor baru-baru ini, nama Peter Butler tetap menjadi sebutan. Dalam masa yang singkat, beliau berjaya mengukir nama Kelantan sebagai sebuah pasukan yang digeruni.

Tetapi ucapan tahniah ini bukan kerana kejayaan beliau itu. Ucapan tahniah ini adalah kerana keupayaan beliau bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaupun tersangkut-sangkut, tetapi usaha beliau menggunakan Bahasa Melayu untuk menyampaikan komen tentang kekalahan Kelantan kepada Selangor mengejutkan ramai penonton TV malam tadi.

Jarang sekali kita mendengar atau melihat jurulatih bolesepak negara yang bukan Melayu mahu bertutur Bahasa Melayu. Mereka lebih senang dan lancar bertutur Bahasa Inggeris. Ataupun mereka merasakan bertutur Bahasa Melayu tidak sesuai dengan permainan bolasepak, satu permainan global.

Tetapi Peter Butler malam tadi telah membuka mata ramai orang. Kalau ada kemahuan dan kesungguhan, dalam masa yang singkat sahaja Bahasa Melayu dapat dikuasai. Baru berapa lama Peter Butler berada di Malaysia berbanding dengan jurulatih tempatan yang lain?

Kenapa Peter Butler boleh tetapi mereka tidak boleh?

Rata-rata rakyat Malaysia sudah tinggal di Malaysia berpuluh tahun tetapi tidak dapat menguasai Bahasa Melayu. Bukan kerana bahasa itu susah. Kalau susah tentu Peter Butler tidak boleh bertutur menggunakannya dengan begitu baik hanya dalam masa beberapa bulan sahaja berada di Malaysia.

Semuanya terletak kepada kemahuan dan kesungguhan. Selain dari itu perasaan cintakan bahasa tersebut mesti tertanam dalam hati masing-masing. Kalau tidak ada kemahuan dan usaha, Bahasa Melayu tidak akan dapat dikuasai.

Malu kepada Peter Butler, seorang luar yang lebih senang menggunakan bahasa yang orang tempatan mudah faham. Tetapi orang tempatan malu menggunakan bahasa sendiri.

No comments: