Saturday, January 11, 2014

KANTIN SEKOLAH: SISTEM TENDER HARUS DISEMAK

Setiap hari kedengaran keluhan demi keluhan tentang harga makanan di kantin sekolah yang semakin naik. Bila harga makanan semakin tinggi, perbelanjaan sekolah untuk anak-anak secara tak langsung meningkat. Bayangkan jika seorang murid terpaksa membawa RM4.00 sehari, apa akan ditanggung ibu-bapa yang ada 4 anak yang bersekolah. Sudah tentu kos sara hidup meningkat semakin tinggi.

Hal ini berlarutan dari tahun ke tahun, harga makanan di kantin tidak pernah turun. Ia semakin meningkat mengikut rentak kedai-kedai makanan di luar. Tambahan pula diusahakan oleh pengusaha yang sama dengan pengusaha kedai makanan di Bandar-bandar. Alasan yang diberi adalah kerana kos bahan mentah yang semakin naik. Pihak pengusaha kantin tidak boleh disalahkan seratus peratus. Pihak sekolah sendiri dilihat seperti penyebab kenaikan harga makanan di kantin kerana sistem tender yang mementingkan wang.

Apapun sistem tender yang diamalkan pihak sekolah patut dikaji semula dan dilaksanakan seperti tahun-tahun dahulu. Sistem yang ada sekarang seolah-olah menggalakkan pengusaha kantin meletakkan harga yang tinggi terhadap sajian mereka.

Amalan sekarang,  pengusaha yang boleh memberi sewa bulanan yang tinggi kepada pihak pengurusan sekolah akan dipilih. Sistem sewa ini menyebabkan pengusaha kantin tiada pilihan selain meletakkan harga tinggi untuk menampung kadar sewa yang hendak diberi kepada pihak pengurusan sekolah. Jadi ubahlah sistem pemilihan dan tender ini. Jangan lagi memikirkan banyak mana wang yang masuk ke akaun sekolah tetapi fikirkan harga patut yang boleh diberi yang tidak membebankan ibu-bapa.


Sistem tender perlu diubah kepada pengusaha yang boleh meletakkan harga terendah akan dipilih. Dengan cara ini sudah tentulah pengusaha yang berminat akan memikirkan harga paling minima untuk murid-murid di sekolah. Dahulu sistem ini diamalkan dan ianya berjaya, cuma pihak pengurusan sekolah harus berkorban melupakan sewa bulanan seperti yang diperolehi sekarang.

No comments:

Post a Comment