Thursday, October 28, 2010

PAPANTANDA: UNTUK PANDUAN ATAU MENGELIRUKAN?

Pernah singgah di Rumah Sakit atau hospital? Tentu sekali pernah lebih-lebih lagi jika menghadapi masalah kesihatan. Dahulu hospital di panggil 'rumah sakit' kerana menjadi tumpuan orang-orang yang kurang sihat dan yang tidak sihat. Dan menjadi tumpuan orang-orang sihat menghantar dan melawat orang sakit. lantas ia dipanggil Rumah sakit.















Papantanda ini diletakkan di lobi utama Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Sekali pandang tiada apa yang pelik atau istimewanya papantanda itu. Ia hanya penunjuk arah dan penunjuk destinasi pengunjung untuk memudahkan  mereka membuat pilihan.

Tetapi melihat istilah-istilah yang digunakan di papantanda itu, timbul kemusykilan di hati. Adakah istilah-istilah dan nama klinik yang dituliskan itu dapat difahami orang? Berapa orangkah yang tahu dan mengerti? Berapa orangkah yang dapat membaca dan menyebut nama klinik yang dinyatakan?

Mungkin orang boleh faham dengan istilah KLINIK PSIKIATRI sebab di hujungnya ada dituliskan Perubatan Mental. Tapi berapa orang yang di luar bidang perubatan yang tahu KLINIK OTORINOLARINGOLOGI? Apa bendanya ini? bukan setakat payah memahaminya malah hendak menyebutnya juga adalah satu masalah. Apa pula maksud MAKSILOFASIAL? Adakah ia berkaitan dengan wajah kita?

Mungkin kita pernah mendengar KLINIK OTOPEDIK tetapi apa pula KLINIK DERMATOLOGI? KLINIK RESPIRATORI pula adakah kaitannya dengan pernafasan? OFTAMOLOGI pula merujuk kepada klinik yang macam mana? Kesimpulannya papantanda yang diletakkan itu amat mengelirukan dan sukar difahami.

Inilah akibatnya jika kita terlalu berlembut dan membiarkan istilah-istilah Inggeris digunakan mengganti istilah-istilah Melayu yang semua orang boleh faham. Kita ada perkataan bahasa Melayu yang sesuai dan memberi makna tetapi kita lebih senang membiarkan istilah Inggeris menguasai kita. Habis, bahasa Melayu duduk di mana di negara Melayu ini?

Kita bercakap untuk memartabatkan bahasa Melayu tetapi di masa yang sama para pemimpin kita lebih senang menggunakan bahasa-bahasa yang lain. 'Cakap sudah tidak serupa bikin'.

1 comment:

Anonymous said...

Saya sangat suka dengan hasil penulisan yang encik kongsikan. Terima kasih kena meluangkan masa untuk kami yang sentiasa meluangkan masa untuk mencari ilmu yang hampir pupus (tanaman asli/melayu, adab dan budi bahasa)

Anakanda Linda