Sunday, February 8, 2009

APA SUDAH TERJADI KEPADA ORANG MELAYU

Saya meneliti kembali foto-foto yang merujuk kepada insiden Jumaat 06.02.09 yang lepas atau 'Black Friday' bagi sesetengah orang. Banyak gambar-gambar disiarkan dalam Laman-laman Blog dan juga akhbar-akhbar tak kira akhbar yang didakwa sebagai akhbar kerajaan dan juga akhbar yang diiktiraf sebagai akhbar pembangkang.

Saya melihat gambar-gambar dalam Utusan Malaysia dan Berita Harian mewakili kerajaan dan saya melihat akhbar Harakah, Siasah yang dianggap lidah pembangkang. Saya lihat juga Sinar Harian yang dikatakan berkecuali (betulkah?).

Dalam semua akahbar yang dinamakan tersebut dapatlah kita saksikan bagaimana suara hati sebahagian rakyat yang tidak berpuas hati dengan cara penyelesaian kemelut politik Negeri Perak. Kemuncak dari rasa tidak puas hati itulah mencetuskan demonstrasi jalanan seperti yang dipopulerkan oleh Anwar Ibrahim semenjak beliau masih pelajar universiti lagi.

Satu perkara yang menarik perhatian kita adalah ‘para demonstrator’ yang terlibat adalah orang-orang Melayu sendiri. Yang berbaring atas jalanraya adalah Melayu. Yang melemparkan batu dan kayu adalah orang Melayu. Yang melaungkan slogan anti Sultan dan kerajaan adalah orang Melayu. Yang menghalang kenderaan Raja Muda Perak juga adalah rakyatnya sendiri berbangsa Melayu.

Semua Melayukah dalam Kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak berpuas hati dengan Sultan ini? Dan Semua Melayu itu adakah daripada PAS sahaja? Itulah persoalan yang susah hendak dijawab. Adakah barisan EXCO Kerajaan Perak terdiri daripada Wakil Rakyat berbangsa Melayu dan daripada PAS semuanya?

Nampaknya orang-orang Melayu sahaja yang berlebih-lebih. Atau bangsa Melayu sahaja yang ditolak ke hadapan oleh bangsa lain untuk menyatakan kemarahan mereka. Jelas sekali Melayu telah dipergunakan dan diperalatkan. Melayu yang majoritinya dari PAS sudah menjadi kuda tunggangan kaum lain untuk kepentingan mereka. Dalam melaksanakan misi untuk bersikap kurang ajar kepada bangsa Melayu, orang Melayu sendiri diletak di baris depan.

Tidak nampak seorang pun tokoh atau penyokong dari kaum lain yang kelihatan. Padahal kaum-kaum itulah yang mendominasikan kerajaan yang ‘digulingkan’. Dalam sidang akhbar bersama pemimpin Pakatan Rakyat selepas itu, kita dapat melihat hanya pemimpin Melayu sahaja bersama wartawan. Sdr. Lim Kit Siang berada sekejap sahaja dan bangun awal berlalu pergi. Pemimpin kaum India langsung tak nampak batang hidung.

Mana pergi tokoh-tokoh Hindraf yang begitu agresif sedikit masa lalu? Tak teringatkah mereka bahawa orang-orang Melayu inilah yang membantu mereka semasa demonstrasi Hindraf sedikit waktu lalu sehingga ekoran dari situ ramai antara mereka yang berjaya menawan kerusi ADUN dan kerusi Parlimen? Ke mana orang-orang ini pergi?

Nampaknya Melayu sahaja yang jaguh dalam berdemonstrasi. Kaum lain begitu cerdik ‘melempar batu sembunyi tangan’. Dalam soal raja-raja biar Melayu sahaja dilihat menentang Sultan. Yang derhaka adalah orang Melayu, bukan mereka. Mereka tidak derhaka tetapi merekalah yang akan menikmati semua ‘profitnya’ nanti.

Cuma Karpal Singh sahaja yang nampak beria-ia menyokong ‘desperado’ dalam politik Perak ini bersama ‘mastermind demonstrasi’, Sdr. Anwar Ibrahim. Itupun sebab hendak mengajar orang Melayu supaya ‘kurang ajar’ dengan Sultan mereka. Orang-orang Melayu telah menjadi ‘kuda tunggangan’ DAP dan PKR khasnya Anwar Ibrahim.

Tidak sedar lagikah Melayu dari mimpi?

Kalau begitu, saya ucapkan Selamat Berdemonstrasi!

No comments: