Monday, December 26, 2016

CERDIK TIDAK BOLEH DITUMPANG, BODOH TIDAK BOLEH DIAJAR

Sedar atau tidak, negeri Kedah merupakan salah sebuah dari dua negeri yang ketandusan dan bermasalah dalam bidang pengadilan bolasepak. Biarpun telah menjuarai kejohanan berprestij seperti Piala Malaysia, ketandusan pengadil berwibawa adalah sangat ketara. Jumlah pengadil kebangsaan dari Kedah adalah jauh lebih rendah bilangannya berbanding Kelantan, Perak dan Johor. Dari segi penampilan pula, pengadil dari Kedah amat sedikit yang boleh diketengahkan. Pulau Pinang yang lebih kecil dilihat berjaya menampilkan lebih ramai pengadil berwibawa.

Apa sudah berlaku di KFA? Kalau dulu kita boleh berbangga dengan beberapa pengadil kebangsaan dan FIFA, kini semuanya telah berakhir. KFA terlalu asyik berbangga dengan kejayaan dan pencapaian pasukan sehingga mereka lupa tentang bahawa peningkatan kepengadilan juga perlu seiring. Jangan terlalu asyik membina pasukan dan membangunkan pemain sehingga mereka lupa bahawa kedua-duanya adalah sama penting. Pembangunan pengadil tidak bolah diabaikan begitu sahaja.

 Perkara ini terjawab apabila FAM mewujudkan jawatan Pegawai Pembangunan Pengadil di setiap negeri yang tujuan asalnya adalah untuk menjalankan program-program mencungkil bakat dan meningkatkan prestasi pengadil-pengadil. Sepintas lalu bolehlah dibuat andaian bahawa bakat dan kebolehan seseorang dalam bidang ini tidak dibiarkan begitu sahaja. Ada orang yang dipertanggungjawabkan mengasah bakat mereka iaitu PPP yang dibayar elaunnya oleh FAM. Tetapi jika setakat menerima elaun tanpa ada program yang berkesan, adalah sia-sia belaka. KFA haruslah ingat bahawa jika tidak dipantau dan diselia dengan sewajarnya, kewujudan PPP adalah sia-sia kesudahannya.

KFA haruslah lebih matang menangani aspek ini sementelah berada di era profesional ini. Masakan pihak pengurusan persatuan bolasepak yang dihormati ini tercemar dengan sikap tidak munasabah yang ditunjukkan oleh beberapa pegawainya sehingga memberi impak negative kepada persatuan. Masakan boleh dibiarkan PPP membelakangkan Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri. PPP di KFA trlah bertindak melampaui batas dengan tidak merujuk langsung kepada Jawatankuasa Pengadil KFA malah tidak menghormati kewujudan ahli-ahli jawatankuasa yang ada.

Pihak Pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah haruslah faham bahawa PPP dan Jawatankuasa Pengadil adalah dua entiti yang berlainan. Jawatankuasa Pengadil dilantik untuk berbincang dan merangka program-program kepengadilan dan juga membuat keputusan atas sesuatu perkara manakala PPP adalah entiti yang lain yang harus melaksanakan program pembangunan termasuk yang diputuskan oleh jawatankuasa dalam mesyuarat mereka.

Apa yang berlaku sekarang tidak begitu.

Pegawai Pembangunan Pengadil secara bersendirian bertindak membuat beberapa program dan keputusan tanpa memaklumkan jawatankuasa pengadil. Beliau juga bertindak melantik pengadil-pengadil bertugas tampa mengambil kira prestasi dan tahap pertandingan yang dijalankan. Hal ini menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pengadil-pengadil yang berdaftar dengan KFA.
Kita langsung tidak terfikir bagaimana pihak pengurusan khasnya Setiausaha Kehormat terus menerima bulat-bulat perbuatan sebegini iaitu membelakangkan sebuah jawatankuasa dan pihak jawatankuasa pula tertanya-tanya bagaimana pihak KFA boleh menyalurkan peruntukan kepada aktiviti beliau tanpa dimaklumkan kepada jawatankuasa.

Ada juga pihak yang melontarkan persoalan apakah KFA sudah tidak lagi mempercayai atau tidak lagi mahu menggunakan khidmat ahli-ahli jawatankuasa pengadil tersebut kerana sudah setahun tidak pernah dipanggil bermesyuarat. Dan alasan yang diberikan sangatlah dangkal dan boleh dipertikaikan iaitu PPP amat sibuk untuk bermesyuarat.


Pihak KFA haruslah melihat hal ini secara positif demi kebaikan dan kecemerlangan persatuan sendiri. Jangan pula ada yang menyifatkan seperti kata orang tua-tua, “Cerdik tidak boleh ditumpang, bodoh tidak boleh diajar”.

Friday, October 28, 2016

WARKAH UNTUK PEGAWAI EKSEKUTIF KFA

Sebelum meneruskan catatan ini, saya terlebih dahulu memohon berbanyak-banyak maaf kerana mengambil dan mengganggu masa tuan. Saya mengambil keputusan mendedahkan dan menyatakan rasa terkilan dan tidak puas hati dengan beberapa kemelut yang melanda Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Kedah sejak kebelakangan ini.

Untuk pengetahuan tuan, saya telah dilantik menganggotai Jawatankuasa Pengadil KFA pada sekitar bulan April 2015. Ini adalah penampilan saya buat kali kedua setelah kali pertama berada dalam Jawatankuasa tersebut semenjak 1988 sehingga 2000. Saya mula bergiat sebagai Pengadil Kebangsaan pada tahun 1987 dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pengadil (Dulu dikenali sebagai Lembaga Pengadil) ketika Allahyarham Khalid Ariffin dan Hamzah Mohamad menjadi pengerusi. Saya juga menganggotai KFA sebagai Ahli Majlis mewakili Persatuan Bolasepak Daerah Yan pada tahun-tahun tersebut iaitu ketika Allahyarham Dato’ Ahmad Basri Akil menjawat jawatan Timbalan Presiden KFA.

Selepas menerima perlantikan semula menganggotai Jawatankuasa Pengadil KFA, saya telah menghadiri beberapa kali mesyuarat yang dipengerusikan En. Khamal Idris Ali dan melakukan beberapa  perbincangan dan aktiviti yang diputuskan oleh jawatankuasa tersebut, antaranya menguruskan Ujian Kecergasan Tahunan bersama ahli jawatankuasa yang lain.

Sepanjang beberapa kali bermesyuarat, beberapa keputusan dan perancangan dibuat untuk peningkatan prestasi dan juga mencari bakat-bakat baru dalam bidang pengadilan tetapi tidaklah diketahui setakat mana kejayaannya kerana tidak dimaklumkan langsung kepada ahli-ahli jawatanakuasa. Semuanya berada dalam pengetahuan Pegawai Pembangunan Pengadil dan tidak dihebahkan dalam kalangan AJK. Untuk makluman, Jawatankuasa Pengadil KFA tidak melantik seorang Setiausaha yang khusus untuk catatan minit dan sebagainya.

Hal ini berlaku mungkin kerana seppanjang 2016 ini tidak sekalipun jawatankuasa pengadil ini berjumpa  dan bermesyuarat. Langsung tidak masuk akal semua ahli sibuk sejak Disember 2015 hinggalah sekarang Oktober 2016. Ahli Jawatankuasa langsung tidak mendapat berita dan tidak dapat berjumpa serta berbincang.

Jadi, inginlah saya mendapat maklum tentang beberapa perkara. Antaranya:

1.    -  Adakah Jawatankuasa Pengadil KFA masih wujud dan berfungsi.
2.       Kenapakah tidak sekalipun bermesyuarat semenjak Disember 2015 hingga sekarang.
3.       Tidak ada ujian kecergasan tahunan untuk para pengadil sepanjang 2016.
4.       Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat membuat keputusan menggantung khidmat beberapa Pengadil kebangsaan dan Pra-kebangsaan langsung tidak dimaklumkan tentang pembebasan mereka. Ini termasuklah pembebasan En. Ahmad Khalidi Suphian.
5.       Siapakah yang melantik RA (Penilai Pengadil) yang baru dari Langkawi tanpa perbincangan dan diputuskan dalam mesyuarat.
    6.   Para Pengadil yang terlibat bertugas dalam Liga Bolasepak Rakyat yang sedang berjalan sekarang tidak diberi taklimat mengenai perubahan dan tambahan undang-undang baru yang dikeluarkan FIFA kerana kesibukan PPP negeri.

Persoalan-persoalan ini sentiasa menjadi bahan bualan antara beberapa Ahli Jawatankuasa Pengadil dan jga dalam kalangan para pengadil sendiri. Dan masing-masing merumuskan bahawa kemungkinan besar ada pihak atau orang tertentu yang bertindak sendiri dan beraksi ‘one man show’ dengan melantik pengadil bertugas dalam apa-apa kejohanan dan menentukan segalanya dalam tangannya. Ini menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.

Diharap pihak tuan dapat mengambil tindakan proaktif agar komitmen Ahli-ahli tidak terjejas. Semoga tuan dapat menasihatkan PPP supaya mengambil tindakan yang lebih rasional, bukan mengikut emosi. Dengan itu tahap professional dalam bidang ini dapat diserlahkan.


Sekian. Terimakasih.

Thursday, October 6, 2016

ANTAN SAMA ANTAN BERLAGA, PADI TUMPAH......

Akhir-akhir ini perpecahan dalam kalangan orang Melayu amat ketara dan tidak dapat disembunyikan. Semua orang sedar dan tahu kesan dari perpecahan demi perpecahan ini tetapi tiada siapa mahu belajar peduli akibat yang berganda-ganda teruknya dari pergeseran kaum pada 1969 dahulu. Dan buat masa ini semua orang tahu siapa peniup semboyan perpecahan yang amat buruk akibat masing-masing kemaruk kuasa politik di negara tercinta ini.

Dahulu orang tua-tua ada membuat bidalan yang berbunyi, “ antan sama antan berlaga, padi tumpah, ayam yang kenyang” tetapi siapa mengambil kira akibat dari pergeseran dalam kalangan puan dalam komuniti Melayu itu? Ada saja isu dan perkara yang menjadi pertikaian dan isu-isu ini tidak langsung cuba disembunyikan. Alangkah malunya bangsa Melayu sedangkan bangsa-bangsa lain cuba sedaya upaya menyembunyikan masalah bangsa mereka walaupun tidak dinafikan ada perbezaan pendapat dalam kalangan mereka.

Tidak dinafikan hati Melayu mudah terguris dan cepat terasa. Tetapi jika berlarutan dari hari ke hari, sehingga membawa kepada perpecahan yang sangat meruncing dan ketara, trntulah rakyat tidak merasa senang. Perbalahan demi perbalahan silih berganti semenjak tahu 2008 lagi tidak Nampak penghujungnya. Krisis demi krisis melanda bangsa Melayu seolah-olah tiada kesudahannya. Apa akan terjadi kepada bangsa Melayu yang semakin hilang identitinya sendiri.

Jika dahulu bangsa Melayu terkenal dengan sifat sopan santunnya, cakap berlapik dan sebarang protes penuh berhemah, sekarang entah ke mana hilangnya identiti Melayu itu. Saban hari kedengaran tohmahan dan kritikan sesama pemimpin Melayu sehingga timbul kebencian di hati rakyat jelata. Entah siapa betul entah siapa salah. Segala bentuk fitnah tersaji di maya tentang kepimpinan Melayu.

Begitulah kuatnya politik sehinggakan boleh memecah-belahkan sebuah bangsa akibat bangsa itu hanya berpaksikan nafsu dan tamakkan kuasa. Politik orang Melayu terlalu unik. Yang berjuang untuk bangsa pun begitu asyik dengan mengumpul kekayaan sehingga bangsanya menjadi perkara kedua. Yang memperjuangkan agama juga tidak terlepas dari kerakusan kuasa sehingga lupa asas perjuangan yang sepatutnya. Kumpulan Melayu yang kononnya mengambil keadilan sebagai paksi perjuangan didapati tidaklah seadil manapun.

Yang bertepuk tangan sekarang adalah orang lain selain Melayu. Betullah seperti kata orang tua-tua, “Antan sama antan berlaga, padi tumpah, ayam yang kenyang”. Esok bila negara ini jatuh ke tangan orang lain, Melayu hanya menjadi penumpang di negara sendiri. Ketika itu barulah menangis tidak berlagu.                                                                                                                                                                      



Sunday, September 18, 2016

PELIK TETAPI BENAR

Pasukan Helang Merah kian menyerlah menempa kejayaan demi kejayaan, membuatkan para pegawai berasa kembang membayangkan pujian demi pujian akan diterima apatah lagi nanti dikatakan akan mengulangi kejayaan lalu ke peringkat akhir lagi sekali. Kalau ada rezeki pula nanti bakal menjulang Piala Malaysia seperti yang pernah dikecapi dahulu.

Kejayaan ini membuatkan pegawai-pegawai KFA lupa peranan mereka yang sebenar. Masing-masing ada peranan dan tugas yang perlu dilaksanakan, bukan hanya asyik merayakan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi pasukan. Tugas dan peranan utama masing-masing perlu dilaksanakan selepas terhenti sekian lama akibat krisis politik negeri Jelapang Padi itu demi meningkatkan martabat pasukan di persada negara.

Beberapa bulan yang lalu beberapa pengadil dan seorang pegawai digantung tugas lantaran perlanggaran disiplin. Mereka tergantung tanpa penyelesaian beberapa bulan akibat krisi politik dan kerenah pegawai-pegawai pasukan. Entah bila hendak diputuskan nasib mereka tidak siapa ketahui kerana kononnya suratr tindakan disiplin tersebut masih terawang-awang tidak ditangani dengan sebaik-baiknya mengikut saluran. Pengesahan dari FAM dan FIFA tidak diambil.

Akibatnya terdengar desas-desus bahawa ada antara mereka sudah 'dibebaskan' oleh FAM tanpa merujuk kepada KFA terlebih dahulu khasnya kepada Jawatankuasa Pengadil KFA. Kita tidak dapat menyalahkan FAM kerana tindakan susulan selepas membuat keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Pengadil KFA tidak dipanjangkan kepada FAM walaupun telah diminta berulang kali oleh Jabatan Pengadil FAM.

Kita tidak dapat pastikan di mana silapnya tetapi yang nyata adalah kerana KFA hanya bergantung kepada seorang individu, bukannya Jawatankuasa Pengadil mereka. Inilah kelompongan yang menyebabkan semuanya tergendala. Semua program tersangkut kerana hanya seorang individu yang menentukan. itulah kelemahan dan kesilapan KFA.

Sekarang Liga Bolasepak Rakyat (LBR) bakal bermula. Mesyuarat pelancaran telah dijalankan dan liga ini memerlukan komitmen para pegawai dan pengadil persatuan. Bagaimana pelaksanaannya jika ujian kecergasan yang dirancang sejak awal tahun masih tergantung tidak dapat dijalankan kerana kesibukan PPP. Soalnya siapakah yang sepatutnya memainkan peranan dalam semua ini? Jawatankuasa Pengadil atau PPP?

Bila ditelitikan semula, Jawatankuasa Pengadil KFA tidak pernah ada seorangpun setiausaha. Wakil dari bahagian pentadbiran KFA tidak pernah hadir dalam setiap kali mesyuarat jawatankuasa. Jadi sudah tentu tiada catatan minit mesyuarat untuk dirujuk. setiap keputusan mesyuarat hanya disimpan di kepala masing-masing dan semua menanti bilakah perlaksanaannya.

Semua yang dirancang tidak dapat dijalankan. Semua yang diputuskan tidak boleh dilaksanakan. Perancangan untuk jalankan kursus intensif dan kursus awalan pengadil tidak dapat dibincangkan apatah lagi hendak dijalankan walaupun kertaskerja untuk kedua-duanya siap diolah. semuanya menanti PPP mempunyai kelapangan.

Elaun mesyuarat tidak usah hendak diceritakan. Memang KFA tidak pernah membayar walaupun elaun perjalanan hadir mesyuarat. Semuanya belanja sendiri. Tetapi perkara ini terlalu sensitif, tidak boleh disentuh.

Jadi semuanya tergendala kerana Jawatankuasa Pengadil berada di bawah daripada Pegawai Pembangunan Pengadil. Jika PPP sibuk dan ada urusan, mesyuarat tidak dapat dijalankan malah aktiviti semuanya tergendala.

Hal ini perlu dilihat oleh KFA kerana PPP hanya salah seorang anggota yang dijemput duduk dalam jawatankuasa Pengadil. andainya ada perkara-perkara yang berbangkit, barulah pendapat PPP diminta. Hal ini berlaku sebaliknya dalam KFA. Di mana yang dikatakan bolasepak kita menuju profesional? Karut semuanya.

Entahlah!

Thursday, September 8, 2016

KUSANGKA BOM, RUPANYA BELON YANG MELETUP.

Sesudah beberapa bulan meledakkan bom kepada FAM, akhirnya terbukti hanya buat gempar sahaja. ketika semua peminat bolasepak menanti apakah tempelak dan tuduhan ketirisan dan rasuah oleh TMJ bakal menjahanamkan perjalanan FAM buat seketika, akhirnya terbukti semuanya hanyalah gendang kosong yang bunyi sahaja kuat tetapi tetapi tiada isi. Gempar sahaja lebih. Buat malu sahaja.

Rasanya jika orang lain yang buat gempar begini, tentu lain jadinya. Mungkin orang itu sudah tidak dapat berjalan ke mana-mana. Tetapi bila yang membuat tohmahan ini seorang yang tinggi kedudukannya, siapa boleh berkata apa? Benarlah seperti yang dikatakannya awal dulu, beliau akan menjahanamkan bolasepak Malaysia. Mungkin itu satu cara dan langkah ke arah itu. Melancarkan fitnah dan kritikan tanpa bukti sahih adalah perbuatan tidak sepatutnya, apatah lagi datangnya dari seorang yang berkedudukan tinggi.

Tetapi apa nak buat, semuanya telah berlaku. Porak peranda seluruh negara sehingga mengganngu siasatan SPRM kepada kes-kes yang lain kerana terpaksa menumpukan siasatan kepada satu perkara yang tidak ada kes. Sesudah puas masa terbuang akhirnya SPRM mendapati tiada rasuah seperti yang didakwa.

Kita fikir tentulah bukan senang menuduh orang, tetapi mudah pula dilakukan. senang-senang membuat dakwaan kononnya ada bukti. sekarang di mana bukti itu? Eloklah seperti pendapat beberapa orang bahawa orang istana dan berkedudukan tinggi usah mencampuri dan memegang apa-apa jawatan dalam persatuan sukan dan lain-lain. Ganggu sahaja.

Baik duduk di istana jaga rakyat dan kena sedar bahawa bukan bolasepak sahaja rakyatnya. Kalau tidak inilah jadinya. Disangka bom rupanya belon yang meletup!


Saturday, July 16, 2016

BOLASEPAK MALAYSIA MELETUP LAGI


Bolasepak di Malaysia tidak sempat hendak bersunyi-sunyi dari ledakan kritik dan teguran. Lepas satu, satu pula datang bagai ledakan mercun bola di musim raya. Yang terbaru, kritikan TMJ benar-benar bgaikan bom yang meledak seluruh jentera FAM dan bolasepak Malaysia dan suara itu menggambarkan tiada orang lain sepakar baginda dalam usaha membangunkan bolasepak di Malaysia.

Sedar atau tidak ini bukanlah kenyataan baginda yang pertama menggunakan ayat-ayat yang mengguris hati siapa sahaja. Sudah beberapa kali baginda berbuat demikian seolah-olah orang lain tidak sepandai baginda menguruskan sebuah organisasi dan sesebuah pasukan. Dan tentunya siapa yang membaca kenyataan baginda akan beranggapan bahawa baginda sahaja yang tahu menguruskan persatuan bolasepak. Tuduhan sebagai sebuah organisasi korup adalah suatu tuduhan yang berat dan sombong.

Siapa sahaja boleh mengagak kepada siapa ditujukan kenyataan …..”Mereka terpaksa bermain untuk seorangpemimpin yang tidak pernahmenghadiri sebarang latihan ataupun mesyuarat. Mereka bermain untuk seorang pemimpin yang tidak tahu nama mereka dan kewujudan mereka…” Yang peliknya ketika dilantik menjadi penasihat kepada presiden FAM suatu ketika dahulu, baginda menolak. Jika lantikan tersebut diterima mungkin FAM tidak saperti digambarkan baginda kerana baginda berkaliber dan pandai dalam menguruskan bolasepak.

TMJ lupa bahawa baginda hanya menguruskan organisasi sebuah persatuan bolasepak negeri dan perdastuan itu pula menerima suntikan wang yang lumayan bernila ratusan juta berbanding dengan FAM yang mengendalikan segala aspek bermula dari pembangunan hinggalah kepada perkara remeh yang berkaitan dengan bolasepak seluruh negara. Dan wang yang FAM ada tidak standing pasukan JDT.

Para pemain yang mengumumkan persaraan mengejut ini juga harus ingat bahawa mereka yang berada di tahap sekarang tentulah asalnya dari badan yang mereka cemuh itu. Jika FAM tidak bina mereka pasti mereka tidak berada di tahap sekarang ini. Dan ingatlah menyarung jersi kebangsaan adalah satu penghormatan biap berapa nilai risikonya. Dan mereka juga harus ingat bahawa prestasi mereka bukannya kekal selamanya di tahap yang ada sekarang. Walaupun anda menerima ganjaran lumayan dari JDT, ingatlah bahawa bahawa FAM yang membawa anda ke tahap sekarang. Empat pemain yang mengumumkan persaraan itu seolah-olah tiada ruang untuk berbincang dan mengemukakan masalah mereka di FAM.

FAM juga haruslah mengambil langkah berani. Terima kritikan sebagai sesuatu yang membina dan memuhasabahkan organisasi. Ambil satu langkah berani dengan memperkenalkan peraturan dan syarat baru dalam pembentukan pasukan kebangsaan. Mana-mana pemain yang gagal hadir atau menarik diri dari latihan pasukan yang dibentuk harus dikenakan tindakan menghalang mereka dari bermain untuk kelab atau pasukan negeri.


Langkah berani ini harus dibuat bagi membendung masalah yang sama berulang.

Tuesday, July 12, 2016

MERCUN: PENGHARAMAN UNTUK SIAPA?


Hari raya Aidilfitri sudah hampir seminggu berlalu, namun kemeriahannya masih terasa terutama di kampung dan desa. Tidak kurang juga di kota-kota dengan beberapa acara sambutan memeriahkan Syawal ini.

Tetapi suasana kemeriahan ini sedikit terjejas di taman perumahan kami di Titi Bakong, Yan ini akibat kerenah dua orang anak jiran membawa balik mercun dan membiarkan anak-anak mereka bermain sesuka hati tidak kira siang atau malam. Suasana menjadi tidak tenteram kadang-kadang sehingga larut malam dipenuhi dengan bunyi dentuman mercun yang bukan sedikit. Berdesing telinga dan anak-anak kecil terganggu tidur mereka.

Kita sedar bahawa mercun adalah barang terlarang dan sesiapa yang menjualnya akan berhadapan dengan tindakan pihak berkuasa. Namun oleh kerana anak jiran-jiran ini adalah anggota polis yang pulang bercuti, mereka bebas bermain sesuka hati seolah-olah pengharaman bermain mercun ini hanya tertakluk kepada orang ramai sahaja, bukannya anggota polis. Entah dari mana mercun-mercun ini dibeli siapa pun tidak tahu.

Ada waktunya bunyi dentuman yang kuat berlarutan hingga tengah malam dan benar-benar mwengganggu ketenteraman taman perumahan kami. Ada waktunya gegaran bunyi mercun mereka menyebabkan siren kereta berdekatan berbunyi. Tapi siapa yang boleh menghalang anggota-anggota polis ini?


Mereka yang kita harapkan menguatkuasakan undang-undang, mereka pula yang mengabaikan undang-undang. Mereka seolah-olah berada di atas undang-undang!

Thursday, June 16, 2016

BERUNTUNGLAH PASUKAN POLIS DAN TENTERA


Baru beberapa hari lepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan membina sebuah MRSM untuk anak-anak polis. Di mana akan dibina belum pasti tetapi tentunya di negeri Perak. Dalam pengumuman tersebutTPM telah menyatakan bahawa penubuhan MRSM itu adalah bagi mengenang jasa dan pengorbanan anggota polis yang sentiasa menjaga keamanan negara. MRSM untuk anak anggota tentera telah ada dan apalah salahnya kali ini dibina pula untuk anak-anak anggota polis bagi menghargai tugas berat mereka.

Yang menjadi perseoalan sekarang adakah selama ini anak-anak angota polis dan anak-anak anggota tentera tidak berpeluang memasuki MRSM untuk belajar? Adakah pihak MARA menghalang mereka dari meneruskan pengajian di MRSM? Atau pusat pengajian itu hanyalah diperuntukkan kepada anak-anak selain daripada dua jabatan tersebut sehingga memerlukan penubuhan MRSM khas untuk anak-anak polis dan tentera?

Setakat yang rakyat tahu, anak siapapun jika beroleh pencapaian cemerlang dan lulus dalam semua ujian yang ditetapkan, akan diterima masuk belajar di mana-mana MRSM tidak kira pelajar itu anak petani,anak nelayan, anak buruh, anak guru dan anak-anak siapa lagi. Jika pencapaian dalam pelajaran sangat bagus, pasti dapat menyambung pelajaran di situ.

Jadi apa perlunya MRSM khas untuk golongan ini? Ramaikah pelajar dalam kalangan anak-anak polis cemerlang sehingga perlu ada sekolah khas utnuk mereka? Jika penubuhan sekolah trersebut hanya untuk menempatkan pelajar ‘biasa-biasa’ sahaja, lebih baik pilih yang cemerlang memasuki MRSM yang sedia ada.

Bagaimana pula dengan anak-anak guru yang mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna selama ini? Tidak cukupkah bakti mereka bagi mendapat kouta sebuah MRSM? Itulah nasih guru-guru, tiada langsung mana-mana menteri fokus kepada mereka. Yang kita dengar hanyalah usaha Timbalan Menteri Pelajaran mengarahkan supaya guru yang tidak cemerlang ditukarkan ke sekolah lain.

Berapa tahun Kementerian Pelajaran ambil masa untuk memutuskan anak-anak guru diberi buku dari skim SPBT? Sebelum itu guru-guru terpaksa membeli sendiri buku teks untuk anak-anak mereka kerana dikatakan tidak layak mendapat pinjaman biarpun mereka yang menyelia skim SPBT di sekolah. Itulah hakikat yang perlu ditelan. Jabatan lain senang-senang beroleh kelonggaran sehingga diumumkan untuk mendapat seklah khas untuk anak-anak mereka.


Untunglah pasukan polis dan tentera!

Tuesday, June 7, 2016

JAWATANKUASA PENGADIL KFA: SIAPA YANG IKUT SIAPA?

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah masih lagi di Hospital Pulau Pinang menjalani rawatan komplikasi usus. Hendak cakap banyak-banyak pun, nanti tempias pula kepada beliau, maklumlah KFA keseluruhannya di bawah pentadbiran beliau juga. Namun untuk kebaikan bersama, biarlah kita sama-sama fikirkan dan mencari jalan mengatasinya. Sekurang-kurangnya kita dapat membantu Datuk Seri Presiden dalam hal ini.

Jawatankuasa Pengadil buat masa ini dianggotai beberapa anggota terdiri dari bekas-bekas pengadil yang banyak berjasa kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) ketika kebangkitan pasukan yang dikenali dengan Hijau Kuning pada tahun-tahun 80an hingga 90an. Malah ada anggotanya yang aktif sejak pasukan Kenari masih di stadium Darulaman yang lama dahulu. Dari dahulu hingga sekarang ahli-ahli ini banyak memberi sumbangan ke arah mutu pengadilan yang lebih baik.

Malangnya ahli-ahli jawatankuasa ini jarang dapat berjumpa dan duduk semeja berbincang sebaiknya secara rasmi. Ini disebabkan mesyuarat jarang diadakan kerana beberapa faktor. Yang jelas dalam perbualan-perbualan tidak rasmi itu dapatlah dikenali punca berlakunya situasi tidak menyenangkan itu. Inilah penyakit yang membawa kepada pincangnya sistem pengadilan di negeri Kedah.

Jawatankuasa Pengadil KFA ini dipengerusikan Datuk Othman Aziz, seorang ahli politik tersohor yang jarang ada masa ‘melihat’ bolasepak, apatah lagi pengadil. Selalunya mesyuarat dipengerusikan timbalannya saudara Khamal Idris Ali, bekas pemain Kedah semasa era Semi-pro dulu. Dan seringnya keputusan mesyuarat tidak dicapai secara bersama kerana pengerusi tidak pernah hadir.

Yang lebih menghairankan, jawatankuasa ini tidak melantik siapapun menjadi setiausaha menyebabkan tidak ada catatan minit mesyuarat untuk dijadikan medan semakan setiap kali ada isu berbangkit. Jawatankuasa bernasib baik tidak ada pihak yang mempertikaikan setiap tindakan dan langkah yang dibuat oleh jawatankuasa ini.

KFA juga tidak menghantar seorang pegawainya unuk hadir bersama ketika mesyuarat berlangsung. Jika ada apa-apa masalah yang hendak dirujuk kepada KFA, siapa yang akan mendengar perkara itu? Sepatutnya pihak pengurusan KFA menghantar setiausaha kerjanya kalaupun tidak mahu menghantar setiausaha kehormat hadir bersama dalam setiap mesyuarat jawatankuasa pengadil. Setidak-tidaknya pihak setiausaha sudah mengetahui apa-apa keputusan dan keperluan yang diputuskan dalam mesyuarat itu.

Yang jelas, jawatankuasa pengadil ini seperti tiada kuasa apa-apa kerana setiap keputusan bergantung sepenuhnya kepada ‘ihsan’ Pegawai Pembangunan Pengadil. Setiap aktiviti yang hendak dijalankan, PPP ini melebihi semua kuasa jawatankuasa sedangkan PPP hanyalah seorang individu yang peranannya hanyalah tempat Jawatankuasa merujuk beberapa perkara berbangkit tentang mutu pengadilan.

Apa yang berlaku sekarang, bukan jawatankuasa yang tidak boleh menjalankan tugas tetapi mesti menunggu lampu hijau dari PPP. Ujian Kecergasan yang sepatutnya dijalankan pada bulan April 2016 terpaksa ditangguhkan kerana kesibukan PPP dan komitmen beliau dalam masalah yang lain. Apa salahnya jika ujian kecergasan itu diteruskan di bawah pengawasan jawatankuasa pengadil yang ramai dari menunggu ‘seorang’ PPP yang tidak ada masa?
Siapa yang ikut siapa sebenarnya?

Kami (saya) sebagai Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA rasa amat terkilan dengan situasi begini. Yang menjadi peroalan sekarang adakah jawatankuasa ini berada sebagai satu unit dalam program pemangunan pengadil? Atau PPP berada sebagai satu unit Jawatankuasa pengadil? Perkara ini perlu dipastikan terlebih dahulu kerana dalam pertandingan-pertandingan bolasepak di bawah kelulusan KFA, sepatutnya Unit Lantikan yang memilih dan melantik pengadil bertugas dan menjelaskan apa-apa bayaran elaun kepada pegawai bertugas.

Apa yang berlaku sekarang sangat berlainan dan bertentangan dengan prinsip sesebuah pertubuhan. Sudahlah jawatankuasa ini tidak mempunyai setiausaha, semua aspek tugas hanya mendapat arahan daripada PPP. Setiausaha Kehormat pula sering berurusan terus dengan PPP tanpa melalui atau merujuk kepada ahli jawatankuasa terlebih dahulu.

Apa yang dibimbangkan adalah apabila kerja dilakukan oleh ‘seorang’, dan SU Kehormat pula hanya berurusan dengan ‘seorang’, kemungkinan berlaku perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Kita bimbang jika ada apa-apa tindakan yang bermotifkan dendam dan irihati.

Pihak pentadbiran dan juga Majlis KFA khasnya Setiausaha Kehormat perlulah memperhalusi perkara ini untuk kebaikan bersama.


Sekian. Terima kasih.

Monday, May 30, 2016

APA SAKITNYA ORANG INI?

Pada hari Sabtu 28 Mei 2016 kira-kira jam 8.45 hingga 9.00 malam di Plaza Tol Sungai Petani Selatan, berlaku satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan. Sukar hendak digambarkan dan payah juga hendak diceritakan dalam bahasa yang sopan. Situasi yang dihadapi sangat sukar difikirkan akan berlaku di depan mata kepala sendiri. Namun demi menjaga maruah bangsa dan agama biarlah di ceritakan seringkas yang boleh agar semua pihak dapat memahami apa yang berlaku. Cuma satu soalan ingin saya lemparkan iaitu “Apakah Sakitnya Orang Ini?”

Ketika sedang bersiap untuk ke kenderaan selepas solat, meluru seorang lelaki Cina pertengahan usia, kira-kira 50an tahun terus ke dalam surau di situ lalu membuka seluarnya dan terus duduk di tempat mengambil wuduk dan membuang air besar. Bayangkan situasi ketika itu. Apa yang harus anda lakukan andainya berlaku di depan mata anda?

Selesai dia menunaikan hajatnya saya menegur perbuatannya yang saya anggap mencabar agma Islam dan bangsa Melayu sekaligus. Sudahlah ‘melepas’ di tempat terbuka dia mencemar pula tempat ibadat orang Islam. Dia member jawapan yang langsung tidak masuk akal. Katanya dia tidak nampak papantanda surau dan tidak tahu di mana letaknya tandas. Saya hampir bertindak kasar terhadapnya kerana tentu sekali dia tidak bodoh dan masakan tandas di rumahnya macam tempar wuduk di situ.
Akhirnya sesudah melepaskan geram dengan memarahi beliau, saya mengarahkan dia membersihkan semula tempat tersebut namun kesan baunya sukar hendak hilang dengan mudah.

Apa yang hendak difokuskan di sini ialah sikap bangsa lain terhadap sensitiviti  bangsa dan agama yang lain. Wajarkah seseorang berlainan agama pergi buang air besar di tempat ibadat agama yang lain? Malah jika orang Islam sendiripun berkelakuan begitu di surau berkenaan, dia pasti dicerca dan dimarah malah mungkin menerima pukulan dan sebagainya.

Malah saya percaya jika kejadian ini diviralkan dengan gambar-gambar, tentu akan terarah kepada situasi yang lain pula. Dan andaian tentang sabotaj terhadap sesuatu kaum mungkin ada kebenarannya. Jadi berwaspadalah dengan tindakan kita.


Peliharalah keharmonian dan usahlah bertindak bodoh seperti itu. Pihak Plaza Tol tersebut pula sepatutnya menyediakan perkhidmatan pengawal bagi menjaga situasi seperti ini kerana ketika peristiwa itu berlaku tiada seorangpun pengawal atau pegawai Plus yang berada di sekitar kawasan tersebut.

Saturday, May 21, 2016

KFA: BILA MAHU BELAJAR DARI KESILAPAN?




Separuh musim telah berlalu dan Helang Merah berjaya menempatkan diri dalam kelompok yang boleh dibanggakan walaupun baru semusim kembali ke Liga Super. Tempat ke lima atau enam memang boleh dibanggakan. Rata-rata para peminat melihat perkembangan ini secara positif dan sentiasa memberikan sokongan. Biarpun beberapa tindakan pihak pengurusan persatuan dan pasukan bertindak di luar jangkaan peminat, namun sokongan tidak beralih, malah semakin padu dengan harapan Helang Merah akan terbang lebih tinggi.

Namun begitu KFA masih juga tidak mahu belajar dari kesilapan-kesilapan mereka untuk lebih bersedia pada masa hadapan. Beberapa tindakan dilihat sebagai ‘syok sendiri’ dan sering melupakan sumbangan yang diberikan pihak-pihak lain. Mungkin pihak pengurusan mengandaikan perkara-perkara tersebut sebagai remeh dan tidak boleh mengggugat pencapaian pengurusan dan pasukan.
Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan dan jika hal-hal begini dibiarkan berlarutan, usah terperanjat nanti pada suatu hari KFA akan berdepan dengan masalah. Masalah-masalah ini mungkin akan menjejaskan kebangkitan pasukan Helang Merah sendiri dan juga beberapa masalah lain yang menggugat pencapaian persatuan sendiri.

Baru-baru ini KFA mengadakan Malam KFA yang bertujuan meraikan pencapaian dan juga kejayaan pasukan Helang Merah dan KFA sendiri mengharungi masalah pengurusan dan juga penajaan. Dan dalam sambutan malam itu ramai pihak yang dijemput termasuklah Ahli-ahli Majlis, beberapa jawatankuasa dan pihak yang terlibat dengan kebangkitan Helang Merah. Namun begitu ada juga pihak-pihak yang tidak menerima jemputan walaupun turut menyumbang ke arah yang sama.

Jawatankuasa Pengadil tidak langsung dijemput. Mungkin pada pandangan pihak penganjur, jawatankuasa ini tidak penting, lalu terus dilupakan. Hanya Pegawai Pembangunan Pengadil sahaja yang dijemput seolah-olah beliau seorang sahaja yang menyumbang ke arah pembangunan pengadil di negeri Kedah ini. Barangkali sumbangan jawatankuasa ini tidak mencapai piawai yang ditetapkan. Dan pihak jawatankuasa pengadil menerima dengan hati terbuka. Walaupun tidak dijemput, program tetap diteruskan.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang pelik dihadapi. Selama saya berada di dalam jawatankuasa ini,  pengerusinya tidak hadir bermesyuarat dan ia hanyalah dikendalikan timbalannya. Apatah lagi Setiausaha Kehormat KFA, lagi susah hendak nampak batang hidungnya, langsung tidak ambil tahu. Mengenali ahli jawatankuasa pun tentulah tidak. Ini membuatkan Jawatankuasa ini susah menjalankan program.

Jawatankuasa Pengadil ini juga tidak mempunyai seorang setiausaha untuk mencatat setiap perancangan dan keputusan yang dibuat. Walaupun kami tyelah merancang dan memutuskan beberapa perkara penting, ia hanyalah tersimpan di ingatan masing-masing. Hal ini amat menyulitkan kerana tidak ada catatan rasmi.

Jawataankuasa yang hadir bermesyuarat pula tidak pernah dibayar sebarang elaun termasuk tambang perjalanan dari rumah ke Stadium Darulaman. Bayangkanlah berapa belanja jika seseorang datang dari Kulim semata-mata untuk bermesyuarat? Dahulu, ketika saya menganggotai jawatankuasa ini pada era 80an hingga 2000, pihak pengurusan membayar elaun perjalanan yang boleh menampung sedikit perbelanjaan.


Jadi KFA haruslah belajar dari perkara-perkara ini agar tidak tersilap langkah.

Friday, May 13, 2016

PECAT JURULATIH: EPISOD MALANG BOLASEPAK NEGARA


Baru dua hari selepas Datuk K. Rajagobal meninggalkan Sarawak, hari ini K. devan pula meletak jawatan jurulatih bolasepak Kelantan. Masuk yang ini sudah lima orang jurulatih bolasepak negara menerima nasib yang sama iaitu meninggalkan jawatan mereka atau direhatkan. Dengan mengambil kata yang lebih tepat mereka dipecat dari tugas jurulatih.

Alasan yang diberikan begitu mudah. Kegagalan mereka membawa pasukan masing-masing memenangi perlawanan liga menyebabkan persatuan bolasepak terlibat hilang keyakinan terhadap kemampuan jurulatih-jurulatih tersebut. Para peminat pasukan juga memberi tekanan yang serupa kepada jurulatih-jurulatih malang ini. Bermula dengan Ahmad Yusof sejak perlawanan pertama lagi, disudahi dengan K. Devan semalam.

Tetapi benarkah jurulatih yang menyebabkan pasukan tidak boleh menang? Bagaimana dengan pemain dan juga pengurusan? Dan wang ringgit juga patut dilihat sebagai faktor naik turunnya sesebuah pasukan, bukan jurulatih semata-mata. Episod duka ini pasti tidak akan berakhir andainya kalah dan menang menjadi kayu pengukur, bukannya pencapaian dan semangat juang yang telah ditunjukkan diambil kira.

Lihat saja liga Perdana Inggeris, jurulatih hebat tidak menjamin menangnya sesebuah pasukan. Pasukan Lecister yang tidak dikenali tiba-tiba muncul juara meninggalkan pasukan yang lain yang lebih terkenal dan mempunyai pula jurulatih yang lebih ternama. Kalau ikut trend di Malaysia, sudah lama mereka dipecat atau direhatkan.

Jadi adalah lebih baik jika mereka diberi peluang. usah ada campurtangan pihak pengurusan. jurulatih harus diberi kebebasan memilih pemain untuk membentuk pasukan. apa yang mereka boleh lakukan jika itu saja pemain yang ada. Beri masa dan peluang sebaiknya untuk jurulatih mencari pemain yang difikirkan boleh dibentuk untuk pasukannya bukannya melatih pemain-pemain yang sudah dipilih oleh orang lain.

Pemain juga haruslah menanam rasa hormat kepada jurulatih. rasa hormat ini boleh menjadi tonik untuk bermain dengan lebih baik dan dapat mengikut arahan-arahan yang diberikan.

Saturday, May 7, 2016

PENAJA BUKANLAH PEMILIK

Memang sudah diagak, penajaan yang hendak dibuat adalah gimik semata-mata. Sedang peminat Helang Merah ternanti-nanti penampilan ‘Terlajak Laris’, Datuk Aliff Shukri secara rasmi, tiba-tiba terlajak terus. Banyak pihak memberi berbagai andaian kenapa penajaan tidak diterima KFA dan kebanyakannya memberi fakta yang belum tentu benar. Masing-masing memantulkan pendapat yang ada logiknya tetapi ramai juga yang mengaitkan ‘penyakit lena’ presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah sendiri.

Apapun, masing-masing mempunyai hak untuk memberi pandangan tetapi adalah lebih patut kita menjaga bahasa kita dari mengaitkan perkara ini dengan peribadi sesiapa sahaja termasuklah peribadi Datuk Ahmad Bashah yang belum pasti kebenarannya.

Yang penting pihak yang menaja hendaklah memahami bahawa mereka bukanlah pemilik. Bila sesebuh pasukan itu ditaja seseorang, orang itu bukanlah memiliki pasukan itu. Lalu jika kita bukan pemilik, mengapa harus kita mahu berbuat sesuka hati. Lihatlah apa yang berlaku di Kelantan. Penaja kelihatan ‘lebih sudu dari kuah’.
Jika betul-betul mahu ‘mewarnakan’ sesebuah pasukan ataupun, jadilah pemilik pasukan itu. Buat macam Datuk Noordin yang terus membeli dan memiliki kelab Bari di Italy. Bila kita jadi pemilik, apa yang kita buat tak akan ada sesiapa boleh mengganggu apa yang kita hendak buat.

Berbalik kepada pasukan Helang Merah yang setakat ini masih tidak menerima tajaan The Herbs, Datuk Aliff Shukri usahlah terkilan atau marah-marah kerana hak KFA adalah jelas untuk menolak tajaan tersebut jika ada perkara-perkara yang tidak dapat ditunaikan daripada 49 syarat yang digariskan olehnya. Tindakan Datuk Aliff untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap KFA adalah langkah yang bagus untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

Biar mahkamah yang tentukan kedudukan siapa benar dan siapa tidak benar dari masing-masing dalam kalangan kita membuat berbagai andaian yang hanya berlandaskan nafsu.

Cuma ada baiknya difikirkan sejenak kedudukan perkara ini. Biarpun pembangunan yang dicadangkan atas tanah yang menjadi isu dalam masalah ini atas dasar usahasama, kita harus ingat bahawa KFA dan kerajaan negeri adalah dua entiti yang berlainan. Biarpun ditadbir oleh orang yang sama, Presiden KFA tidak boleh bertindak sesuka hati bagi pihak kerajaan negeri.

KFA adalah hanya sebuah persatuan bolasepak yang dikendlikan Presiden dan Ahli Majlis manakala kerajaan negeri pula di bawah pentadbiran Menteri Besar dan anggota Exco. Jadi Datuk Ahmad Bashah bertindak betul menolak penajaan tersebut memandangkan syarat yang diletakkan akan menyebabkan beliau dilihat melangkaui kuasa yang ada padanya.


Fikirkanlah bahawa penaja bukanlah pemilik. Jika ada wang dan kita hendak berbelanja untuk orang lain makan, belanja sajalah tanpa meletakkan syarat untuk mendapat balasan. 


Thursday, May 5, 2016

PERSATUAN SUKAN: BUKAN PENTAS RAJA DAN AHLI POLITIK

Membaca luahan rasa tokoh bolasepak Negara Datuk Peter Velappan dalam ruang Sukan Utusan Malaysia keluaran Sabtu 23 April 2016 yang lalu mengingatkan saya pada tulisan saya melalui blog Madisyak.blogspot.com pada 25 September 2015 mengenai perkara yang sama. Perkara yang saya tuliskan benar-benar serupa dengan apa yang disarankan Datuk Peter Velappan iaitu persatuan-persatuan sukan bukan pentas untuk kerabat diraja dan ahli-ahli politik. Tetapi apa yang saya tuliskan itu tidak diberi perhatian langsung kerana kedudukan saya sebagai orang biasa berbanding dengan Datuk Peter seorang tokoh bolasepak.

Di bawah ini saya turunkan semula apa yang telah saya tuliskan itu.

Selepas Malaysia ataupun Harimau Malaya mengakhiri kempen kelayakan Piala Dunia dan juga Piala Asia dengan keadaan yang amat memalukan, berbagai kritikan dan pandangan diutarakan orang ramai dan juga tidak ketinggalan para pakar bolasepak yang muncul tiba-tiba bagai cendawan.  Kebanyakan pendapat dan kritik itu menjurus kepada kelemahan FAM. Kononnya FAM tidak melakukan apa-apa pembaharuan dan pembangunan sehingga tahap bolasepak di Malaysia semakin menjunam dari  setahun ke setahun.

Jika dahulu Malaysia setaraf dengan Jepun dan Korea, malah gergasi Asia itu sendiri bermain dalam keadaan sukar bila berhadapan dengan Malaysia ketika itu, sekarang tidak lagi. Malah Malaysia bakal menjadi pasukan belasahan jika berjumpa di padang dan negara itu tidak lagi berminat menjadikan Malaysia sebagai pasukan memanaskan badan apatah lagi untuk perlawanan persahabatan. Mereka  telah jauh meninggalkan Malaysia.

Hal ini berlaku bukan kepada bolasepak sahaja malah sukan-sukan yang lain pun menghadapi masalah yang sama. Lee Chong Wei belum ada pengganti. Rabuan Pit belum ada pengganti. Rekod Nashatar Singh belum dapat dipecahkan.  Lihat juga apa yang terjadi kepada sukan hoki. Tetapi tulisan ini tidak mahu menyentuh perkara-perkara itu malah tumpuan hanyalah difokuskan kepada bolasepak kerana inilah sukan nombor satu di Malaysia.

Semua yang berlaku ini gara-gara persatuan Sukan dikendalikan oleh Raja dan juga ahli-ahli politik. Raja-raja, termasuk putera-putera raja dan juga ahli-ahli politik amat tidak sesuai menggalas tugas tersebut kerana masa mereka terhad dan banyak perkara lain yang perlu ditumpukan.  Raja-raja harus sedar bahawa bukan sukan sahaja ‘rakyat’ mereka. Tumpuan harus diberi kepada perkara-perkara lain juga, bukan sukan sahaja.

Selama 31 tahun Sultan Ahmad Shah menerajui FAM, apa perubahan positif yang ditonjolkan selain dari prestasi pasukan menurun tahun demi tahun. Dahulu baginda dilantik menggantikan Tan Sri Hamzah Abu Samah kerana minat yang ditunjukkan baginda, dalam keadaan Malaysia di ranking yang sama dengan Korea dan Jepun. Sejak itu ianya turun sedikit demi sedikit sehingga terjadi seperti sekarang.

 Kita tidak payah menyesal kerana kita yang membiarkan keadaan ini berlaku. Semua pegawai tidak berani menegur ataupun pegawai-pegawai di FAM juga seperti baginda, hanya berada di situ kerana minat ataupun kepentingan yang lain. Kalaupun ada yang berani menegur, teguran tidaklah selantang mana kerana teringatkan nasib yang menimpa Datuk Ahmad Basri Akil dari Kedah yang kuat mengkritik FAM. Begitu juga dengan nasib Datuk Seri Annuar Musa suatu ketika dahulu.

Ahli-ahli politik juga serupa. Baik jangan melibatkan diri dengan pengurusan persatuan. Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan juga para menteri cubalah jangan mencampuri pimpinan persatuan bolasepak mana-mana negeri. Tanggungjawab anda semua terlalu banyak, bukan bolasepak sahaja. Anda semua kenalah menguruskan seluruh rakyat. Itulah yang lebih utama. Jika terlalu berminat, jadilah seperti Sultan Kedah yang sanggup berjalan kaki ke Stadium Batu Kawan kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Ataupun berilah sumbangan dana untuk persatuan yang diminati. Itu adalah lebih baik dari menjadi bahan cemuhan di padang dan juga stadium.

Saya ambil contoh Persatuan Bolasepak Negeri Kedah. Bermula dari presiden hinggalah kepada beberapa Ahli Majlis, terdiri dari ahli-ahli politik. Presiden adalah Menteri Besar sendiri. Setiausaha Kehormat juga ahli politik iaitu Exco negeri. Pengerus-pengerusi jawatankuasa juga terdiri dari ahli politik. Contohnya Pengerusi Jawatankuasa Pengadil adalah Anggota Parlimen. Mereka ini semua tiada masa untuk  bertugas dalam pengurusan malah untuk menguruskan mesyuarat jawatankuasa mereka sekalipun.

Kalau sentiasa tiada masa, bagaimana tumpuan hendak diberikan kepada bolasepak dan persatuan amnya. Selama lebih seminggu saya berusaha untuk menemui Setiausaha Kehormat KFA. Saya terpaksa meminta bantuan Exco yang lain tetapi gagal juga. Akhirnya saya hubungi wakil beliau dan wakil tersebut berjanji akan menentukan satu tarikh dan masa untuk pertemuan tersebut tetapi malangnya sehingga hari ini sudah lebih seminggu tergantung begitu sahaja. Mesej sms dan whatsapp saya kepada wakil dan kepada YB  sendiri tidak berjawab.


Lalu saya membuat kesimpulan bahawa orang-orang politik dan berkepentingan usahlah memimpin persatuan sukan. Perkara penting yang boleh diselesaikan dalam beberapa jam boleh berpanjangan hingga beberapa hari. Dan apabila nasi sudah menjadi bubur, barulah kita menyesal tak sudah.

Saturday, April 30, 2016

BOLASEPAK NEGARA SEMAKIN MEMALUKAN

Sedar tak sedar Liga M sudah sampai separuh jalan. Tinggal separuh lagi untuk mengetahui siapa juara dan siapa tersingkir ke Liga Perdana. Perebutan Piala FA juga sudah memasuki peringkat separuh akhir. Bukan berapa lama lagi, kancah Piala Malaysia pula akan dimulakan. Apapun keputusannya nanti, kancah bolasepak Malaysia sedang melalui episod lucu dan memalukan.

Fasa pertama kisah lucu bermula dengan langkah merehatkan jurulatih. Beberapa orang sudah menjadi mangsa. Episod ini dimulai dengan Terengganu menyingkirkan Ahmad Yusof apabila pasukan Penyu tewas dalam perlawanan pertama. Bijaknya PBNT menilai kebolehan jurulatih hanya dengan melihat perlawanan pertama sahaja. Langsung tidak beri peluang.

Lepas itu diikuti pula pasukan Pahang. Walaupun jurulatih tidak direhatkan tetapi bantahan dan kritikan peminat dan pegawai membuatkan jurulatih itu minta berhenti dan turun pangkat menjadi penolong. Jurulatih Kelantan hampir menerima nasib yang serupa sehingga penajanya terpaksa memberi katadua.


Begitu juga pasukan-pasukan yang lain termasuk Sarawak. Mangsa terbaru adalah jurulatih Pulau Pinang yang tiba-tiba direhatkan walaupun pasukan itu berjaya bersaing dengan pasukan yang lain, Cuma tidak menang sahaja.

Soalnya apakah kemenngan yang menentukan seseorang jurulatih itu bagus atau tidak bagus? Nampaknya mereka membuat tindakan yang tidak munasabah apabila setiap kekalahan diletakkan atas bahu jurulatih semata-mata. Bagaimana dengan pemain sendiri? Tidak mungkin persembahan pemain di dalam padang seperti boneka wayang kulit yang digerakkan oleh Tok Dalang.

Lihat sahaja Terangganu, selepas mendapat jurulatih baru, tidak menang juga mereka. Begitu juga dengan pasukan pulau Pinang dan Pahang. Nasib mereka juga tidak menentu walaupun mendapat sentuhan jurulatih baru.

Jika diperhatikan, Sarawak sepatutnya berda di kedudukan yang lebih baik kerana Rajagobal adalah bekas jurulatih kebangsaan. Begitu juga dengan Perlis. Dollah Salleh adalah jurulatih yang disegani dan berwibawa.

Demikian juga dengan pihak penaja pasukan-pasukan tertentu. Walaupun sudah banyak wang yang dilaburkan, mereka haruslah sedar bahawa penaja bukanlah pemilik sesebuah pasukan. Apa yang berlaku terhadap pasukan bolasepak Kelantan amatlah memalukan. Penaja usahlah meletakkan terlalu banyak syarat dan meminta yang bukan-bukan. Duduk di bangku pemain simpanan bukanlah hak eksklusif penaja. Tambahan pula aktif dengan gerak tari di padang sangatlah memalukan lebih-lebih lagi di pihak pasukan negeri Serambi Mekah pula.

Belum ada lagi pasukan di dunia ini yang memberi begitu banyak ruang penaja menentukan semua perkara hatta menukarkan warna stadium kepada warna korporatnya. Hanya berlaku di Malaysia. Begitu juga dengan beraksi di bangku simpanan, hanya di Malaysia ada begitu.


Alangkah malunya!

Wednesday, April 27, 2016

YAN DAERAH MEMBANGUN?


Tahniah diucapkan kepada penduduk daerah Yan. Anda akan mendapat layanan istimewa apabila meletak kereta di tempat-tempat tertentu mulai bulan Julai 2016 ini. Tahniah juga kepada Majlis Daerah Yan kerana berani membuat pembaharuan dengan mengenakan caj yang tersebut. Bukan perkara mudah melaksanakan langkah proaktif ini terutama apabila semua sedia maklum bahawa daerah ini bukanlah sebuah daerah yng pekannya sesak dan besar.

Di peringkat awal ini memanglah akan ada suara-suara bantahan dan keluhan rasa tidak puas hati. Lama kelamaan ia akan menjadi sesuatu yang biasa dan bantahan semakin menurun sedikit demi sedikit. Perkara baharu dan remeh begini memang menyusahkan pada peringkat awal tetapi semua itu menjadi biasa di telan masa.

Cuma yang menjadi persoalan, di mana tempat-tempat yang dicadangkan akan dikenakan caj itu? Yan bukanlah kawasan yang besar sangat dan hanya mempunyai beberapa pekan kecil yang sering menjadi tumpuan ramai khasnya pengguna yang meletak kenderaan. Pekan yang besar sikitpun hanyalah Yan Kechil, Guar Chempedak, Sungai Limau dan Singkir. Pekan Yan sendiripun tidaklah sebesar dan sesesak mana untuk dikenakan caj meletak kenderaan.

Sudah pasti pihak berkuasa akan mengenakan caj ini di tempat-tempat strategik seperti di gadadan bank-bank dan pejabat Tabung Haji. Dan mereka harus ingat bahawa di sinilah tumpuan orang-orang kampung berurusan. Berbaloikah mereka dikenakan caj?

Lagi seperkara yang menjadi persoalan adalah nilai yang akan dicaj. Berapa ringgitkah yang akan dikenakan apabila orang ramai meletak kenderaan. Tentulah pihak majlis Daerah akan berbelanja besar menyediakan lot-lot meletak kereta di tempat-tempat tumpuan di pekan-pekan kecil ini. Kemudian pihak majlis juga akan melantik entah berapa ramai pegawai penguatkuasa bagi memantau dan meletakkan caj pada setiap kenderaan. Dan belanja mengupah pegawai-pegawai ini lebih besar dari hasil kutipan caj yang dikenakan. Alangkah ruginya!

Sebenarnya semua ini tidak perlu. Entah siapalah yang bermimpi dan terbuka hati membuat cadangan ini? Apakah peranan ahli-ahli majlis yang dilantik bagi menjaga kebajikan rakyat jika perkara seremeh ini tidak dibincangkan secara rasional? Sebenarnya banyak lagi perkara lain perlu diberi perhatian, bukan caj yang tidak sebanyak mana ini yang mesti difikirkan.

Pihak Majlis Daerah janganlah terlepas pandang beberapa perkara yang sekian lama menjadi rungutan orang ramai yang semuanya masalah setempat yang ditagih untuk keselesaan dan penduduk di daerah ini juga. jika setakat memikirkan caj letak kenderaan sahaja, tentulah peranan ahli-ahli majlis tidak berbaloi.


Masalah gerai buah-buahan di pekan Guar Chempedak sudah masuk lebih 10 tahun gagal ditangani.
Dari semasa DUN Guar Chempedak dimenangi BN, kemudian PAS dan berbalik kepada BN, keadaan tetap sama malah lebih kritikal lagi seolah-olah mereka ini RAJA sehingga tiada siapa dan tiada kuasa boleh memperbetulkan sikap mereka. Peniaga-peniaga ini meletak barang-barang mereka bermula dari tapak Koperasi Pekan Rabu hingga menutup terus laluan pejalan kaki serta lorong pertama jalanraya di hadapan. Kemudian ditambah pula dengan kenderan pembeli yang diletak di lorong kedua jalanraya itu. Hanya selorong sahaja yang boleh digunakan.


Selesaikan masalah ini dahulu, barulah fikirkan caj meletak kereta!

Ada pekedai yang menggantung barang-barang mereka memenuhi ruang pejalan kaki sehingga menyusahkan orang ramai. Para pejalan kaki terpaksa menggunakan jalanraya untuk melalui tempat-tempat tersebut. Lihatlah di pekan Yan Kecil. Mungkin kerana peniaga ini berbanga Cina, lalu tindakan tidak diambil pihak penguatkuasa manakala peniga buah-buahan berbangsa Melayu dipindahkan ke gerai baru atas alasan mengganggu jalan. Dan mereka dipindahkan pula ke tempat yang langsung tidak strategik iaitu tempat yang menjadi pilihan terakhir untuk orang lalu-lalang.

                                     
                                 (Kedai ini membina pagar besi di laluan orang berjalan kaki)

Ada pula peniaga di Guar Chempedak langsung tidak mengambilkira sensitiviti orang ramai, terus menutup kakilima kedai dan ruang pejalan kaki dengan pagar besi. Dan pagar ini terus tidak dibuang kerana peniaga ini meletakkan barang niaga miliknya. Orang ramai yang hendak lalu-lalang di kawasan ini mahu tidak mahu mesti menggunakan jalanraya di hadapan kedai tersebut. Semua orang boleh melihat kedai ini bertentangan dengan simpang masuk ke LUTH Guar Chempedak. Perkara ini lebih penting dari memikirkan masalah caj letak kenderaan.

(Kabarnya di kawasan LUTH dan Bank Islam inilah salah satu kawasan yang akan dikenakan caj letak kereta yang dicadangkan selain dari kawasan CIMB Guar Chempedak).

Jadi pihak Majlis Daerah haruslah membaiki perkhidmatan Penguat Kuasa memantau masalah-masalah ini yang sekian lama menghantui rakyat dari memikirkan untuk menyusahkan dan membebankan rakyat sekali lagi.

Thursday, April 21, 2016

PENGADIL BOLASEPAK KFA: KURSUS KHAS UNTUK MEREKA


Akhir-akhir ini situasi yang melanda institusi pengadilan bilasepak di KFA amatlah kritikal dan memungkinkan pada satu ketika nanti negeri Kedah khasnya KFA terus kempunan dengan tiadanya wakil ke peringkat kebangsaan di FAM apatah lagi di FIFA. Malah pada masa sekarangpun masih tidak ada pengadil yang benar-benar bagus mewakili negeri Kedah di peringkat kebangsaan dan pada satu hari nanti langsung tidak ada seorangpun yang layak sebagai pengadil kebangsaan sekiranya tiada satu langkah diambil dari sekarang oleh pihak pengurusan KFA khasnya Jawataankuasa Pengadil  badan itu.


Suatu ketika dahulu Kedah boleh berbangga dengan adanya Ismail Junid kerana pernah muncul sebagai pengadil kebangsaan dari Kedah hingga ke peringkat FIFA. Beliau seterusnya dilantik duduk dalam barisan jawatankuasa pengadil di FAM. Kemudian muncul pula Balasundram dari Kulim yang juga berstatus FIFA yang boleh dibanggakan anak negeri kerana sering diberi tugas mengadili perlawanan-perlawanan penting di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Sesudah itu muncul pula kumpulan yang lain terdiri dari Khalid Ariffin, Othman Abdullah dan mohamad Md Jano. Dari kumpulan ini hanyalah Khalid Ariffin yang dilihat menyerlah berbanding yang lain. Keadaan ini ditambah pula dengan kemasukan Hamzah Mohamad dari Melaka yang bertukar kerja ke negeri Kedah dan Hamzah berjaya bersama Khalid mepromosikan bidang pengadilan ini sehingga dapat menambahkan bilangan pengadil kebangsaan sekitar tahun 1986 hingga 1990 dengan kemunculan beberapa orang lagi seperti Ismail Bakar, Sivamuni, Mohsin Mansor, Devudu dan beberapa orang lagi yang terlalu panjang untuk disenaraikan.

Kemasukan Ahmad Khalidi Suphian menghangatkan lagi bidang pengadilan bolasepak Kedah. Keupayaan beliau beraksi hingga ke peringkat antarabangsa amat membanggakan biarpun kerap dilanda kontroversi. Beliau beberapa kali mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia dan perlawanan antarabangsa dengan keupayaan yang lestari. Tidak lupa juga nama seorang lagi pengadil kebangsaan di era yang sama termasuk Mohd Salleh Chin Abdullah dari Bedong, Kedah.


Selepas itu para pengadil dari Kedah hilang begitu sahaja akibat masalah prestasi dan juga masalah disiplin dalam kalangan mereka sendiri. Dan jika KFA tidak berbuat sesuatu yang proaktif, keadaan akan menjadi lebih buruk lagi. Kemungkinan Kedah ketandusan pengadil pada suatu hari nanti.

Sebenarnya bukanlah pengadil-pengadil dari Kedah tidak bagus tetapi tiada asuhan dan bimbingan yang berterusan untuk mereka. Sepatutnya pihak bertanggungjawab di KFA merancang sesuatu agar mereka tidak tenggelam tetapi sebaliknya semakin menyerlah. Asuhlah mereka ini agar dapat beraksi dengan lebih baik dan berwibawa dan sentiasa dihormati.


Atas rasa tanggungjawab inilah Jawatanakuasa Pengadil KFA hari ini mengambil langkah untuk mengadakan Kursus Pengadil Berpotensi. Selain dapat mengumpulkan mereka dan memberikan beberapa 'ilmu', dapatlah juga pihak Jawatankuasa mengenali mereka dengan lebih dekat dan menyelami keperibadian dan menghubung silaturahim dalam kalangan pengadil-pengadil ini.

Semoga dengan penghayatan dari kursus ini, satu semangat baru dan azam yang lebih tinggi dapat dibina dalam kalangan mereka yang berpotensi ini.

Insyaallah!


Thursday, April 14, 2016

KFA: TAKUT PISANG BERBUAH DUA KALI

Tiba-tiba hari ini aku terima mesej dari orang di KFA, meminta bantuan aku menyediakan satu kertaskerja yang berkaitan dengan kursus pengadil berpotensi di setiap daerah di negeri Kedah ini. Peruntukan sudah ada, cuma menanti kertas kerja yang lengkap bagi membolehkan program dilaksanakan duakali sebulan. kedengarannya begitu hebat dan peruntukan pun begitu memberangsangkan. 

Dan ketika itu kebetulan aku sedang membelek album lama yang ada koleksi foto ketika bertugas mengadili suatu perlawanan pada tahun 2000 dahulu. Ketika itu pasukan Pilihan Yan melawan pasukan artis Malaysia di padang SMK Dulang.


 Bidang pengadilan bolasepak memang tidak dapat dilupakan. Hoki ditinggalkan, bola baling ditinggalkan, bola lisut ditinggalkan. Tumpuan hanyalah kepada bolasepak. untuk itu aku harus banyak berterima kasih kepada Allahyarham Khalid Ariffin yang menanamkan ilmu ini di dalam jiwa sehingga berjaya ke peringkat kebangsaan di FAM pada tahun 1986. Akhirnya kerana beberapa masalah peribadi, aku tinggalkan 'padang bola' pada tahun 1997.


sepanjang berkhidmat, berbagai sumbangan diberikan kepada KFA khasnya di dalam bidang pengadilan. Apabila bolasepak Malaysia memasuki era Semi-pro, aku dan dua sahabat yang lain iaitu Ismail Bakar dan G. Devudu secara rasmi dikategorikan sebagai pengadil kebangsaan dan kebetulan pula aku sendiri dilantik menduduki barisan Ahli Majlis KFA dan juga Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA.

Sepanjang berada di KFA, aku sering diminta menjalankan kursus-kursus untuk bakat-bakat baru di seluruh negeri Kedah. Malah terlibat juga dengan tanggungjawab perlantikan pengadil bagi liga-liga tertentu. Ada pula waktunya sering diminta menyediakan bahan untuk beberapa keluaran Buletik Hijau Kuning yang diterbitkan pada era tersebut. kadangkala sehingga lewat malam baru dapat pulang ke rumah. Waktu itu tidak pernah terlintas rasa penat dan bebanan tugas sedikitpun.


Akhirnya sesudah masa berlalu dan KFA sudah ada orang baru, aku dilupakan begitu sahaja. Mungkin orang lain lebih bijak bermuka-muka dan amabil kesempatan maka aku disingkirkan dari semua jawatan. KFA melantik pula beberapa orang yang sebelum ini tidak pernah berbuat apa-apa bagi meningkatkan organisasi pengadilan di KFA.

Sekarang mereka minta aku sediakan satu kertas kerja yang hampir serupa dulu. Dahulu aku telah sediakan kertas kerja yang lebih kurang serupa, Pengadil Remaja bunyinya. malangnya semasa pembentangan orang lain yang ambil kesempatan dan meletakkan namanya sebagai penulisnya. Aku tersingkir begitu sahaja.

Apakah kali ini akan berlaku seperti itu juga? Atau pisang mungkin berbuah dua kali. Sama-sama kita lihat nanti!

DITELAN MATI EMAK, DILUAH MATI BAPA

Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Benar seperti kata orang tua-tua. serba salah jadinya. Tidak dibuat nanti menyesal, bila dibuat nanti dipandang serong pula. 

Itulah yang berlaku di taman perumahan kami. Sesudah tinggal di siut selama lebih 30 tahun dan anak-anak semua sudah 'lepas rumah', baru terfikir hendak membina bonggol jalan di dalam taman. Untuk keselamatan budak-budak kecil. Kebetulan sekarang memang ada budak kecil iaitu cucu-cucu pula sesudah anak-anak berumahtangga.


Malang tidak berbau, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa saja. Malahtelahpun berlaku. anak seorang jiran yang baru berusia 5 tahun dilanggar kereta yang lalu di hadapan rumah ketika budak-budak sedang bermain. Nasib baik juga tidak parah, cuma luka dan calar sedikit saja.

Bagi mengelakkan kejadian berulang, kami memutuskan untuk membina bonggol jalan bagi memperlahankan sedikit kenderaan yang lalu. Hanya untuk peringatan agar tidak ada yang memecut laju. Langsung tidak ada niat menyekat mana-mana pihak menggunakan jalan tersebut.


Tanpa mengira penat dan tenaga yang semakin berkurangan, kami teruskan 'projek' tersebut. Tidak cukup waktu siang, kami teruskan pada waktu malam asalkan ia siap dan boleh digunakan esok pagi. Selama dua hari kami bertungkus-lumus memerah keringat, akhirnya ia siap juga. Alhamdulillah!


Malangnya niat baik ini disalah-ertikan. Orang dari taman yang satu lagi tidak mengerti dan menganggap kami mahu menutup laluan mereka. Mereka salah anggap. bukan itu maksud kami.


Apapun, biarkan. asal anak cucu kita selamat!


Wednesday, March 30, 2016

PENJENAMAAN SEMULA BANK SIMPANAN NASIONAL


Telah menjadi lumrah dan perkara biasa sesebuah agensi dan juga sesebuah badan berkanun dibuat pada jangka masa tertentu dengan mengambilkira keperluan semasa dan juga faktor usia sesebuah agensi itu. Itulah yang berlaku dengan bank milik agensi kerajaan iaitu Bank Simpanan Nasional. Semua orang mengalu-alukan langkah penjenamaan semula itu demi memperteguhkan dan mempopulerkan bank tersebut sesudah sekian lama bertapak di negara ini.

Akhirnya proses penjenamaan semula itu dilaksanakan dengan belanja yang bukan sedikit malah merangkumi jutaan ringgit juga. Semua orang menanti dan ingin melihat perubahan yang dicanangkan oleh pihak pengurusan bank tersebut. Rupa-rupanya perubahan tersebut hanyalah pada warna dan juga penggunaan huruf jawi melambangkan BSN. Itu saja perubahan yang dibuat dan dibanggakan sangat itu.

Amatlah mengecewakan hasilnya. Penggunaan huruf jawi bagi menggantikan bunyi BSN sangat tidak sesuai malah menjadi bahan jenaka orang ramai sahaja. Lebih baik menggunakan “Ba Sin Nun’ daripada huruf ‘Ba ya, Alif ya sin, Ain ya nun’. Lain sekali bunyinya daripada huruf asal BSN. Mungkin lebih menyerlah jika ditulis sepenuhnya Bank Simpanan Nasional dengan huruf jawi daripada menulis singkatannya yang lain sekali bunyinya.


Walau apapun komen ini, semuanya telah tertulis dan telah melalui beberapa penelitian sebelum ini. Mungkin saya silap dan kurang ilmu tentang huruf jawi tetapi apa yang nyata singkatan huruf jawi itu sentiasa menjadi bahan jenaka ramai orang. Kata mereka BSN sudah menjadi  ‘Bi Is Ain’ dalam huruf jawi.


Entahlah.

BIAR JASA JADI KENANGAN

Selepas sekian lama berdiam diri, barulah kini bekas-bekas pemain Helang Merah ataupun dulunya terkenal dengan panggilan Kenari dan juga Hijau-Kuning bersuara. Entah untuk apa sebenarnya, tiada siapa tahu kerana baru sekarang diungkit semuanya. Cuma KFA sahaja yang mempunyai jawapan untuk merungkai situasi ini agar tidak menjadi bisul yang akan memuntahkan nanah pula.

Walau apapun jawapannya nanti, keluhan dan rungutan ini ada bebarnya. Pengurusan KFA memang melupakan mereka malah beberapa kumpulan yang lain lagi, tidak sepadan dengan cogankata 'Biar Jasa Jadi Kenangan' yang dilaungkan KFA sejak sekian lama walaupun orang yang mencetuskan idea laungan itu sudahpun lama meninggal dunia.


Hanya beberapa orang sahaja bekas pemain yang seangkatan kumpulan yang 'membangunkan' bolasepak negeri Kedah era tersebut yang masih memainkan peranan dan masih aktif sama ada sebagai jurulatih, pegawai dan juga beberapa bidang lain di KFA. Sebagai contoh, Tan Cheng Ho,  Khamal Idris Ali, Mohamad Ramli, Radhi Md Din dan seorang dua lagi, masih berperanan di KFA. Bekas pemain yang lain menyepi dan tidak dipedulikan seperti yang didakwa. Entah apakah langkah KFA selepas ini untuk mengenang kembali mereka yang berjasa ini agar sesuai dengan moto yang dilaungkan.


Akirnya memang jasa menjadi kenangan. hanyalah setakat kenangan, tidak lebih dari itu. Kalau pandai bermuka-muka dan ada pengaruh dan wang, kita akan disanjung dan diangkat ke atas. Kalau anda tidak ada apa-apa dan tidak suka menonjolkan diri, usah harapkan apa-apa dari KFA. Bak kata Norazam Ishak, tiket pun disuruh kita beli. Itulah hakikat sebenarnya.


Hal ini samalah dengan nasib yang menimpa bekas-bekas pengadil bolasepak KFA serta beberapa bekas pegawai, terus dilupakan begitu sahaja. Dahulu ketika Anuar Morad masih bertugas sebagai Setiausaha kerja KFA, beliau berusaha mendapatkan pas-pas percuma untuk bekas-bekas pengadil ini terutama yang masih memberi sumbangan kepada Jawatankuasa Pengadil. ada antara mereka ketika aktif dulu sentiasa menyumbang bakti dengan mengadakan kursus dan latihan kepada para pengadil baru serta terlibat secara langsung dengan Lembaga Pengadil pada masa dahulu.

Ambil contoh Ismail Bakar dari Sungai Petani dan Devudu dari Kulim. Apa penghargaan untuk mereka sedangkan mereka adalah kumpulan kedua Pengadil Kebangsaan dari KFA selepas Khalid Ariffin, Hamzah Mohamad dan Osman Abdullah. Saya sendiri yang bersama mereka menjadi Pengadil Kebangsaan di samping menjadi Ahli Majlis serta duduk dalam Jawatankuasa Pengadil pada era tersebut dilupakan begitu sahaja.

Sekarang wajah-wajah ini terus dilupakan. Sebaliknya yang sering mendapat perhatian adalah mereka yang pandai bermuka-muka dan mengambil kesempatan. Yang diberi tempat dan keistrimewaan adalah beberapa orang yang langsung tidak pernah terlibat dengan program-program pembangunan pengadil pada masa lalu dan sekarang.

Ada baiknya jika KFA mengimbas kembali dan mengenang jasa-jasa orang yang dilupakan ini. Janganlaha sekadar menjadi kenangan tetapi haruslah diberi juga sedikit penghargaan buat mengenang jasa mereka. Tidak rugipun kalau bekas pemain dan pengadil serta pegawai ini diberi pas percuma.

Itulah KFA!

Friday, March 25, 2016

BAHASA YANG DATANG BERMUSIM

Setiap kali pertandingan  Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri diadakan beberapa ayat biasa yang kita akan dengar dari para pemimpin negara dan juga siapa saja yang membuka acara adalah seperti berikut:

-          1. Keupayaan Bahasa Melayu berkembang subur di peringkat global tidak dapat disangkal lagi.
-         2.  Bahasa Melayu bukan bahasa yang boleh diperkecilkan peranan dan pengaruhnya.
-         3.  300 juta orang menjadi penutur Bahasa Melayu di seluruh dunia.
-          4. Terdapat 129 pusat pengajian di seluruh dunia menawarkan kursus Pengajian Melayu di 40 buah negara.

Hebatnya bahasa Melayu. Inilah yang didedahkan setiap kali di upacara perasmian dan juga resepsi pertandingan tersebut. Dan kita pula, setiap kali menanti apakah tindakan selanjutnya yang akan dimainkan pihak berkaitan dengan bahasa kebangsaan negara ke  arah memartabatkannya di peringkat negara dan juga global.

Rasanya di 2016 ini juga akan berlalu begitu sahaja. Sebaiuk selesai petandingan PABM ini, semuanya akan kembali kepada asalnya sehinggalah bulan Oktober ini apabila datang pula Bulan Bahasa Kebangsaan. Ketika itu sekali lagi kita digulakan lagi dengan ‘kehebatan’ bahasa Melayu yang kita cintai ini.

Langsung tidak ada satupun langkah yang diambil bagi merealisasikan harapan meletakkan bahasa Melayu di persada selain menjadi gimik dan sekadar disajikan janji-janji kosong oleh pihak-pihak pemimpin dan juga DBP. Kata orang “Pi mai pi mai, tang tu juga”. Bahasa Inggeris juga yang diagung-agungkan.

Dalam kebanyakan acara, para pemimpin lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris untuk menyatakan sesuatu biarpun mesej yang hendak disampaikan adalah untuk orang Melayu dan juga rakyat Malaysia sendiri. Apa gunanya pelancaran ‘Memorial Tun Razak’  di buat dalam bahasa Inggeris sepenuhnya sedangkan ia ditonton khalayak rakyat Malaysia sendiri? Pemipin sendiri tidak peka dan tiasa rasa sensitif terhadap perasaan orang Melayu.


Dan kita tunggu tahun hadapan pula bila tiba musim pertandingan PABM, apakah irama yang serupa akan dimainkan. Sama-sama kita tunggu setahun lagi.

Thursday, March 10, 2016

BOLASEPAK MALAYSIA: BETULKAH JURULATIH BERSALAH?

Sejak bermulanya sepakmula Liga Malaysia baru-baru ini hingga ke hari ini ada saja berita tentang kemelut manusia yang dipanggil JURULATIH. Ada-ada saja beberapa nama jurulatih yang disebut-sebut gagal menjalankan tugas dengan baik. Ada juga berita tentang seorang dua jurulatih yang bakal direhatkan dan diganti dengan jurulatih yang lain.

Begitulah bolasepak dan orang yang terlibat dengannya sama juga seperti bola. Sentiasa berputar turun naik, tidak tentu arah. Dan jurulatih yang dilihat bagus hari ini belum tentu bagus esoknya. Malah belum tentu bagus selamanya. Mungkin nasibnya baik musim ini, pada musim hadapan barangkali kecundang. Seperti juga bola itu sendiri, belum tentu di mana pusatnya.

Tetapi benarkah jurulatih tertentu memainkan peranan menaikkan prestasi sesebuah pasukan? Kalau dilihat sejarah bolasepak negara dan juga dunia, jurulatih hanyalah merencana tetapi pemain yang mewarnakan kegemilangan dan jurulatih hanya menumpang gahnya sesebuah pasukan.

Satu ketika dulu, Datuk Ahmad Shafie begitu hebat membimbing pasukan Kenari sehingga beberapa kali ke perlawanan akhir Piala Malaysia sehingga menjadi juara. Kerana kebolehananya itu dia diangkat menjadi jurulatih pasukan kebangsaan untuk bebrapa musim sehingga akhirnya kembali ke pangkuan Kenari. Dan kali kedua bersama kenari, beliau menemui kegagalan.

Begitu juga jurulatih kebangsaan Datuk Rajagobal. Jurulatih berwibawa seperti beliau boleh gagal membimbing Sarawak. Apa pula terjadi kepada Azrai khor? Begitu hebat membimbing Kenari sehingga juara berganda beberapa kali, akhirnya gagal juga di peringkat kebangsaan dan di beberapa negeri. Ahmad Yusof sudah merasainya apabila direhatkan oleh pasukan Penyu (Terengganu). Dan sekarang dalam senarai penyingkiran sudah ada beberapa nama jurulatih seperti Ahmad Shaharuddin Rosdi yang meletakkan jawatan di Pahang, K. Devan di Kelantan, Syamsul Saad di Perak serta Datuk Rajagobal sendiri di Sarawak.

Sebenarnya di Malaysia tercinta ini, faktor pemain sendiri yang menjadi punca merosotnya prestasi beberapa pasukan. Jika pemain tidak suka pada mana-mana jurulatih, macam-macam cara boleh dibuat untuk menjatuhkan jurulatih itu. Ini disokong pula dengan faktor wang yang ditaburkan kepada pemain. Kenari pernah turun dari Liga Super ke Liga Perdana angkara janji wang ringgit yang tidak tertunai. Tanyalah JDT berapa banyak wang yang mereka ada? Tidak hairanlah kejayaan demi kejayaan mereka kecapi.

Baru saja memasuki empat perlawanan kita sudah membuat andaian-andaian negatif tentang jurulatih. Masih jauh lagi perjalanan liga, masih banyak perlawanan yang harus ditempuh. Dan kalau kita asyik  memikirkan Kelantan harus menang, maka Kedah yang patut kalah? Bagaimana pula nanti petemuan antara Kedah dengan JDT? Masakan dua-dua pasukan akan memang. Salah satu pasukan mesti kalah dan yang kalah tentunya bukan kerana kelemahan jurulatih semata-mata.

Bersikap adillah terhadap para jurulatih. Beri peluang sewajarnya kerana mungkin pada perlawanan yang lain prestasi pasukan akan meningkat. Bagaimana jika bertukar jurulatih nasib pasukan masih juga serupa? Tentu kena tukar jurulatih lagi. Apa kesudahannya?


Di Malaysia, jurulatih yang paling selamat tentulah Datuk Ong Kim Swee sebab dia ada ONG.