Sedar atau tidak, negeri Kedah merupakan salah sebuah dari
dua negeri yang ketandusan dan bermasalah dalam bidang pengadilan bolasepak.
Biarpun telah menjuarai kejohanan berprestij seperti Piala Malaysia, ketandusan
pengadil berwibawa adalah sangat ketara. Jumlah pengadil kebangsaan dari Kedah
adalah jauh lebih rendah bilangannya berbanding Kelantan, Perak dan Johor. Dari
segi penampilan pula, pengadil dari Kedah amat sedikit yang boleh diketengahkan.
Pulau Pinang yang lebih kecil dilihat berjaya menampilkan lebih ramai pengadil
berwibawa.
Apa sudah berlaku di KFA? Kalau dulu kita boleh berbangga
dengan beberapa pengadil kebangsaan dan FIFA, kini semuanya telah berakhir. KFA
terlalu asyik berbangga dengan kejayaan dan pencapaian pasukan sehingga mereka
lupa tentang bahawa peningkatan kepengadilan juga perlu seiring. Jangan terlalu
asyik membina pasukan dan membangunkan pemain sehingga mereka lupa bahawa
kedua-duanya adalah sama penting. Pembangunan pengadil tidak bolah diabaikan
begitu sahaja.
Perkara ini terjawab
apabila FAM mewujudkan jawatan Pegawai Pembangunan Pengadil di setiap negeri
yang tujuan asalnya adalah untuk menjalankan program-program mencungkil bakat
dan meningkatkan prestasi pengadil-pengadil. Sepintas lalu bolehlah dibuat
andaian bahawa bakat dan kebolehan seseorang dalam bidang ini tidak dibiarkan
begitu sahaja. Ada orang yang dipertanggungjawabkan mengasah bakat mereka iaitu
PPP yang dibayar elaunnya oleh FAM. Tetapi jika setakat menerima elaun tanpa
ada program yang berkesan, adalah sia-sia belaka. KFA haruslah ingat bahawa
jika tidak dipantau dan diselia dengan sewajarnya, kewujudan PPP adalah sia-sia kesudahannya.
KFA haruslah lebih matang menangani aspek ini sementelah
berada di era profesional ini. Masakan pihak pengurusan persatuan bolasepak
yang dihormati ini tercemar dengan sikap tidak munasabah yang ditunjukkan oleh
beberapa pegawainya sehingga memberi impak negative kepada persatuan. Masakan
boleh dibiarkan PPP membelakangkan Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri. PPP di
KFA trlah bertindak melampaui batas dengan tidak merujuk langsung kepada
Jawatankuasa Pengadil KFA malah tidak menghormati kewujudan ahli-ahli
jawatankuasa yang ada.
Pihak Pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah haruslah faham
bahawa PPP dan Jawatankuasa Pengadil adalah dua entiti yang berlainan.
Jawatankuasa Pengadil dilantik untuk berbincang dan merangka program-program
kepengadilan dan juga membuat keputusan atas sesuatu perkara manakala PPP
adalah entiti yang lain yang harus melaksanakan program pembangunan termasuk
yang diputuskan oleh jawatankuasa dalam mesyuarat mereka.
Apa yang berlaku sekarang tidak begitu.
Pegawai Pembangunan Pengadil secara bersendirian bertindak
membuat beberapa program dan keputusan tanpa memaklumkan jawatankuasa pengadil.
Beliau juga bertindak melantik pengadil-pengadil bertugas tampa mengambil kira
prestasi dan tahap pertandingan yang dijalankan. Hal ini menimbulkan rasa tidak
senang dalam kalangan pengadil-pengadil yang berdaftar dengan KFA.
Kita langsung tidak terfikir bagaimana pihak pengurusan
khasnya Setiausaha Kehormat terus menerima bulat-bulat perbuatan sebegini iaitu
membelakangkan sebuah jawatankuasa dan pihak jawatankuasa pula tertanya-tanya
bagaimana pihak KFA boleh menyalurkan peruntukan kepada aktiviti beliau tanpa
dimaklumkan kepada jawatankuasa.
Ada juga pihak yang melontarkan persoalan apakah KFA sudah
tidak lagi mempercayai atau tidak lagi mahu menggunakan khidmat ahli-ahli
jawatankuasa pengadil tersebut kerana sudah setahun tidak pernah dipanggil
bermesyuarat. Dan alasan yang diberikan sangatlah dangkal dan boleh dipertikaikan
iaitu PPP amat sibuk untuk bermesyuarat.
Pihak KFA haruslah melihat hal ini secara positif demi
kebaikan dan kecemerlangan persatuan sendiri. Jangan pula ada yang menyifatkan
seperti kata orang tua-tua, “Cerdik tidak boleh ditumpang, bodoh tidak boleh
diajar”.
No comments:
Post a Comment