Hari raya Aidilfitri sudah hampir seminggu berlalu, namun
kemeriahannya masih terasa terutama di kampung dan desa. Tidak kurang juga di
kota-kota dengan beberapa acara sambutan memeriahkan Syawal ini.
Tetapi suasana kemeriahan ini sedikit terjejas di taman
perumahan kami di Titi Bakong, Yan ini akibat kerenah dua orang anak jiran
membawa balik mercun dan membiarkan anak-anak mereka bermain sesuka hati tidak
kira siang atau malam. Suasana menjadi tidak tenteram kadang-kadang sehingga
larut malam dipenuhi dengan bunyi dentuman mercun yang bukan sedikit. Berdesing
telinga dan anak-anak kecil terganggu tidur mereka.
Kita sedar bahawa mercun adalah barang terlarang dan sesiapa
yang menjualnya akan berhadapan dengan tindakan pihak berkuasa. Namun oleh
kerana anak jiran-jiran ini adalah anggota polis yang pulang bercuti, mereka
bebas bermain sesuka hati seolah-olah pengharaman bermain mercun ini hanya
tertakluk kepada orang ramai sahaja, bukannya anggota polis. Entah dari mana
mercun-mercun ini dibeli siapa pun tidak tahu.
Ada waktunya bunyi dentuman yang kuat berlarutan hingga
tengah malam dan benar-benar mwengganggu ketenteraman taman perumahan kami. Ada
waktunya gegaran bunyi mercun mereka menyebabkan siren kereta berdekatan
berbunyi. Tapi siapa yang boleh menghalang anggota-anggota polis ini?
Mereka yang kita harapkan menguatkuasakan undang-undang, mereka pula yang mengabaikan undang-undang. Mereka seolah-olah berada di atas undang-undang!
No comments:
Post a Comment