Thursday, February 8, 2018

BIAR KUAH TUMPAH KE NASI

1. Perlantikan CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif KFA disambut baik ramai peminat bolasepak tanahair khasnya dari negeri kedah sendiri. Peminat Helang Merah merasakan pihak pentadbiran KFA kali ini lebih serius supaya tidak berulang sejarah hitam kegagalan beraksi diperingkat Asia gara-gara kerja sambil lewa para pegawainya. Seperti mendapat harapan baru, perlantikan tersebut dirasakan kena pada tempatnya bagi menyelesaikan beberapa kemelut pentadbiran KFA.

2. Salah satu aspek yang perlu mendapat perhatian CEO ini adalah tentang fungsi Jawatankuasa Pengadil yang kebelakangan ini dilihat tidak berjalan seperti yang sepatutnya. Ada individu di dalam senarai jawatankuasa tersebut mengambil kesempatan daripada hubungan akrabnya dengan SU Kehormat dan juga Presiden KFA mendominasi Jawatankuasa Pengadil KFA untuk kepentingan dirinya. Orang itu adalah Pegawai Pembangunan Pengadil yang dilantik KFA dan direstui FAM. Diharap CEO yang baru dilantik ini dapat memainkan peranan dan mengembalikan kedudukan JK Pengadil KFA di tempat sepatutnya serta meletakkan PPP sebagai entiti sokongan sahaja.

3. Jawatankuasa Pengadil dan Pegawai Pembangunan Pengadil adalah dua entiti yang tidak serupa walaupun kedua-duanya berkisar pada perkara yang serupa iaitu pengadil bolasepak. Walaupun berada di blok yang sama, tugas tetap tidak serupa. Inilah yang tidak difahami kebanyakan orang termasuk ahli jawatankuasa dan Pegawai Pembangunan Pengadil sendiri. Pada anggapan PPP, semua yang berkaitan dengan pengadil adalah di bawah kuasanya tanpa beliau menyedari bahawa beliau adalah ahli yang berada di bawah kuasa Jawatankuasa Pengadil. Dengan tiada kefahaman tersebut maka timbullah berbagai masalah dan pertelingkahan.

4. Hal ini sepatutnya sudah lama diperbetulkan oleh pihak yang bertanggungjawab terutama oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil sendiri ataupun SU Kehormat boleh menggunakan kuasanya member nasihat. Tetapi oleh kerana sekalipun tidak pernah hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengadil bagaimana Pengerusi hendak meneliti semua ini. Dan oleh kerana tiada setiausaha yang mencatat minit mesyuarat, bagaimana laporan mesyuarat akan samapai ke meja Setiausaha Kehormat. Lalu sekartang orang melihat apa yang berlaku sangat melucukan.

5. Program untuk pengadil sepatutnya diputuskan oleh Jawatankuasa, diputuskan oleh PPP. Peruntukan ribuan ringgit yang sepatutnya disalurkan melalui Jawatankuasa, diberikan kepada PPP. Dahulu tidak pernah berlaku jadual bertugas para pengadil untuk sesuatu pertandingan hanya dikeluarkan beberapa jam sebelum sepakmula, sekarang berlaku tanpa memikirkan komitmen lain yang perlu dilaksanakan oleh pengadil. Pengadil juga manusia mempunyai tanggungjawab yang lain. Bila sekali dipertikaikan, pengadil itu disenaraihitamkan.

6. Dahulu tidak pernah berlaku perkara sebegini. Belum pernah terjadi Jawatankuasa Pengadil tidak pernah bertemu atau bermesyuarat dalam jangkamasa yang panjang iaitu setahun dalam 2016. Bayangkan bagaimana program dijalankan dan bagaimana peruntukan disalurkan. Tentulah semuanya terarah kepada PPP kerana beliau merasakan beliau paling berkuasa dalam bidang pengadil tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Pengadil. Ini adalah gara-gara PPP dan Jawatankuasa Pengadil tidak memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing.

7. Sepatutnya perancangan dan sebarang program adalah dibawah kuasa dan tugas Jawatankuasa Pengadil yang diputuskan dalam mesyuarat. Begitu juga dengan hal-hal perlantikan pengadil untuk pertandingan di bawah KFA. Pegawai Pembangunan Pengadil pula adalah bertanggungjawab mengendalikan proses peningkatan pengadil dari aspek kecergasan dan pengetahuan pengadilan dan melaporkan kepada Jawatankuasa apabila diminta. Tetapi apa yang berlaku di KFA adalah sebaliknya. Jawatankuasa Pengadil dinafikan terus fungsinya manakala PPP melakukan semuanya secara “One Man Show” dengan meletakkan Jawatanakuasa Pengadil di bawah arahannya. Dan semua ini tidak boleh ditegur kerana bagi beliau setiap teguran itu sebagai tidak menurut kehendaknya dan orang yang membuat teguran menerima akibatnya. Inilah yang terjadi kepada Mohd. Dahri dan saya sendiri kerana sering mempertikaikan kredibiliti PPP ini.

8. Yang peliknya, apa yang berlaku ini seperti direstui pula oleh Setiusaha Kehormat, Dato’ Aminudin Omar dan Dato’ Seri Presiden sendiri atas kapasiti PPP ini kenalan baik mereka. Apa saja keputusan yang dibuat oleh PPP diterima bulat-bulat oleh SU Kehormat ini.

9. Perkara ini berlaku dengan jelas dari tahun 2015 hinggalah di awal tahun 2017 ketika saya masih berada di dalam Jawatankuasa Pengadil KFA. Tegasnya PPP sangat berkuasa melebihi Jawatankuasa Pengadil sehinggakan untuk mengadakan Ujian Kecergasan Tahunan mesti menunggu PPP ada kelapangan dan kerana terlalu sibuk pada 2016 langsung tidak diadakan ujian tersebut.
10. Atas cadangan PPP jugalah pada awal 2017, satu senarai Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA yang baru dibuat dan dipersembahkan kepada SU Kehormat. Tanpa usul periksa senarai itu diluluskan dan ditandatangani oleh SU Kehormat surat penamatan tugas beberapa AJK yang sepatutnya berakhir pada 2018.

11. Belum pernah terjadi PPP begitu tinggi kuasanya seperti yang berlaku di KFA. Lihatlah FA negeri-negeri lain waima PFA (Pulau Pinang) yang sekecil itupun pandai berorganisasi. Dan lihatlah setakat ini yang terbaik dilakukan oleh PAFA (Perak). Dan JK pengadil munkin tidak tahu bagaimana peruntukan untuk sesuatu program dipohon dan disalurkan. Tidak siapa yang ambil tahu, asal PPP membuat permohonan, ianya diluluskan.

12. Perkaraa-perkara yang beginilah yang perlu diperbetulkan oleh CEO yang dilantik ini bagi meningkatkan profesionalisma dan juga meningkatkan wibawa Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri. Tidak salah melantik Jawatankuasa Eksekutif menjadi pengerusi tetapi lantiklah Timbalan Pengerusi dalam kalangan bekas-bekas pengadil kebangsaan yang ada kerana mereka lebih tahu masalah pengadil. Biarlah kuah tumpah ke nasi supaya tidak membazir dan kena pada tempatnya.

Sekian sahaja. Terimakasih.

ADIOS!

1 comment: