Friday, July 31, 2015

CERITA LAMA TAPI IDEA TETAP SAMA



Esok kami akan bermesyuarat di sini. Sesudah masuk kembali dalm AJK, ini kali kedua datang bermesyuarat. Entah apa yang hendak dibincangkan masih tidak jelas tetapi satu perkara yang pasti adalah tentang senarai muktamad pengadil bolasepak negeri Kedah bagi tahun 2015 ini. Dan pada pertengahan bulan Ogos ini akan dilaksanakan Ujian Kecergasan untuk mereka bagi melayakkan diri mengadili pertandingan-pertandingan KFA.

Dahulu kami juga melalui saat-saat yang begitu. Tetapi aku lebih beruntung kerana ketika yang sama duduk sebagai Ahli Majlis dan AJK Pengadil KFA. Satu kedudukan yang unik sambil pada masa yang sama sering dilantik bertugas samada di KFA atau mana-mana stadium seperti arahan FAM.

Ketika kali pertama mewakili KFA ke Wisma FAM bersama Khalid Ariffin (Allaahyarham), Hamzah Mohamad (Allahyarham), G. Devudu dan Ismail Bakar, kami terkedu dan malu untuk mengeluarkan barang-barang dari dalam beg. Apa tidaknya, melihatkan rakan-rakan dari negeri lain terutama dari Selangor dan negeri-negeri Pantai Timur berdiri segak pada perjumpaan pertama dengan para pegawai FAM. Mereka lengkap dengan pakaian seragam track top dan track bottom bersama kasut berjenama. Rupanya mereka dibekalkan oleh FA negeri mereka sebelum datang. Termasuklah beg dan peralatan yang lain.

Kami berlima hanya berpakaian lama yang kami gunakan di Kedah. Tidak terkata malunya kami yang begitu lusuh dan buruk. Sudahlah tidak seragam seperti mereka, tiada beg khas yang kami bawa. Pakaian seragam pengadil juga masih jenis kain, bukan t-shirt hitam seperti mereka. Ketika itu FAM belum memberi apa-apa. Mereka masih boleh berharap kepada FA negeri masing-masing. Alangkah segan dan malunya kami pada waktu itu.

Jadi ketika mesyuarat nanti diharap ada ahli yang membangkitkan perkara ini. Bukannya berapa orang pun yang akan pergi ke FAM. Biarlah mereka pergi dan boleh berbangga mewakili negeri Kedah bukannya membawa hal masing-masing. Kalau dulu KFA memberi alasan mereka akan diberi pakaian oleh FAM jadi FA negeri bolehlah lepas tangan. Diharap hal ini tidak berulang.

Mereka juga patut dibekalkan dengan sedikit wang tambang seperti pengadil dari negeri lain. Kalau FAM juga membayarnya, biarlah sebagai rezeki tambahan untuk mereka. Kita harus ingat bahawa mereka mewakili FA negeri Kedah. Elok mereka, eloklah negeri Kedah. 

Selamat bermesyuarat.

KEMALANGAN MAUT: SIAPA YANG HENDAK DIPERSALAHKAN?

Soalan yang amat mudah. Siapa yang patut dipersalahkan setiap kali berlaku kemalangan jalanraya. Tidak kira kemalangan biasa atau kemalangan yang membawa maut. Kemalangan jalanraya berlaku di mana-mana. Lebih-lebih lagi di musim perayaan tidak kira Hariraya untuk umat Islam, Tahun Baru Cina ataupun semasa perayaan Deepavali.  Malah ketika menuyambut cuti persekolahan juga kerap berlaku kemalangan jalanraya.


Setiap kali berlaku kemalangan, masing-masing menuding jari. Ada saja kumpulan atau orang yang menjadi kambing hitam dipersalahkan sebagai penyebab berlakunya tragedi. sehinggakan besi pengadang jalan minta digantikan kononnya kalau tidak ada besi itu di sisi jalan, tentu mangsa tidak menemui ajal. Begitu pantas menghukum dan membuat rumusan.

Kemudian ada pula yang memberi cadangan agar besi pengadang jalan itu dibuang dan digantikan dengan pengadang konkrit kononnya boleh mencegah kemalangan maut. Entah di mana diambil rasionalnya kononnya pengadang konkrit tidak menusuk mangsa tetapi hanya memberi hentakan ke badan mangsa. Betulkah boleh menghindarkan kemalangan maut? Betulkah pengadang besi itu memang bersalah.


Tetapi bila kereta terbabas dan melanggar pokok dan menyebabkan kematian, adakah pokok pula hendak dijadikan kambing hitam? Mungkin ada cadangan selepas ini supaya dibuang pokok-pokok di tepi jalan agar perjalanan tidak membimbangkan pengguna jalanraya. Entah ini pula akan dicadangkan; buang pokok di tepi jalan.


Itulah realitinya di Malaysia. Pemandu tetap tidak bersalah biarpun 90 peratus kemalangan adalah akibat kecuaian pemandu sendiri.Faktor lain seperti keadaan jalanraya hanyalah 10 peratus. Pemandu selamat, tidak melakukan kesalahan walaupun secara terang-terang merekalah yang sebenarnya bersalah.

Memandu secara melulu dan laju tanpa memikirkan orang lain menjadi punca utama sebenarnya. Itu tidak difokuskan. Kebanyakan kemalangan berpunca dari sikap pemandu sendiri, tiada kena mengena dengan pengadang jalan atau pokok-pokok di tepi jalan. Bila terlalu laju tentulah tidak dapat mengawal pemanduan dengan pantas. Silap sedikit sahaja akan membawa padah.

Itulah yang sebanrnya. lantas timbullah kata-kata Hati-hati di Jalanraya, Biar lambat Asal Selamat dan berbagai-bagai lagi.

Selamat memandu!

Monday, July 27, 2015

MENCURI TIDAK SALAH, TANGKAP PENCURI YANG SALAH

Pada masa ini pencuri ada di mana-mana , baik di kampong atau di kota. Pantang ada ruang dan tidak kira masa dan di mana, kecurian tetap berlaku. Bukan sajaja kerana kecuaian mangsa tetapi kadang-kadang kecurian berlaku kerana nasib malang mangsa. Kadang-kadang kecurian boleh menyebabkan mangsa mengalami cedera atau pernah juga hilang nyawa. Semua ini nak disalahkan siapa?

Berbagai cara sudah dibuat, berbagai langkah juga sudah diambil, namun petaka itu tetap juga berlaku dan menghantui masyarakat. Di kampung cara di kampung dan di kota cara di kota. Pendek kata langsung tidak boleh alpa.

Di tempat saya sendiri juga kecurian sering berlaku. Hinggakan pisang di pokok tidak sempat betul-betul tua dan masak. Ayam di reban juga pernah jadi mangsa. Motosikal dan basikal usah cerita, setiap hari ada laporan kepada Tok Ketua.

Yang peliknya akhir-akhir ini si pencuri yang sering di bela sedangkan mangsa langsung tidak dapat berbicara. Sudahlah hilang harta benda, mereka tidak dibela. Kadang-kadang mangsa yang barangnya dicuri ditahan dan dibicarakan pula. Ada juga mangsa yang dihadapka ke mahkamah dan tidak kurang pula yang dinista dan didenda.

Kita lihat contoh yang terbaru, kejadian yang menimpa pencuri lembu. Bila mereka ditahan tuanpunya lembu dan penduduk kampung, akhirnya orang yang menangkap mereka yang didakwa. Sedangkan yang mencuri siap cari peguam pula mendakwa pemilik lembu dengan alasan terlalu kejam. Sudah tentulah mereka bertindak begitu akibat dari perasaan geram. Siapqa yang tidak geram kalau lembu asyik hilang?

Penduduk kampung tentu sudah lama memerhati dan gelagat pencuri. Takkanlah saja suka-suka tangkap orang dan pukul puas-puas, kemudian beri makan tahi lembu pula. Yang menjadi perbualan sekarang bukan lagi kes curi lembu tetapi kes beri makan tahi lembu. Akhirnya pencuri lembu terlepas dari hukuman sebab tidak ada lembu pada waktu itu dan pemilik lembu dan rakan-rakannya pula didakwa dan dihukum kerana tahi lembu mereka sendiri.

Bukankah itu sesuatu yang melucukan?

Teringat saya beberapa tahun lalu bila beberapa orang pekerja dari Bangladesh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh seorang pemuda yang masuk ke kediaman mereka melalui siling dengan tujuan mencuri. Mereka didapati bersalah dan dihukum mati.


Kejadian yang berlaku terhadap ‘pencuri lembu’ ini sangat unik. Tiada lembu yang ditemui dan belum pernah ada aduan tentang kehilangan lembu. Maklumlah, lembu bukannya boleh dimasukkan ke dalam poket dan ia benda hidup. 

Sekarang kes curi lembu ditutup, sebaliknya kes memukul pencuri lembu pula diketengahkan. Yang paling sensasi ialah kes pencuri lembu disumbat dengan najis lembu. Hebatnya bumi ini. Pencuri tak salah, tuan lembu pula yang jadi lembu.

Tuesday, July 21, 2015

BAHASA MELAYU: SEMUANYA TERLETAK PADA HATI


1. Memahami Bahasa Melayu bukannya susah. Bertutur dengan bahasa itu juga bukannya payah. Soalnya mahu atau tidak. Yang penting suka atau tidak dengan bahasa itu. Yang menjadi payah sebab hati tidak suka dan diri merasa tidak mencintainya sama sekali. Dan yang tidak disangka-sangka adalah kerana tidak mahu menghormati bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi negara. Itu saja. Semuanya terletak pada hati. Kalau hati tidak cinta dan tidak suka, semua Nampak payah dan kelihatan buruk sahaja.

2. Jika anda pernah menjejakkan kaki di Tanah Suci samada di Madinah atau Mekah, malah di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jedah lagi, bahasa Melayu sentiasa bergema di telinga. Ada sahaja orang-orang asing menggunakan bahasa itu biarpun untuk menunjuk jalan dan menyambut mesra ketibaan kita. Di mana mereka belajar bahasa Melayu? Di situ tidak ada sekolah yang mengajar Bahasa Malaysia atau bahasa Melayu. Tanpa pendidikan khas bahasa itu, mereka mampu bertutur dengan kita dengan bahasa yang begitu asing bagi mereka.

3. Orang-orang asing di Arab Saudi khasnya di Jedah, Mekah dan Madinah ini sering teruja bila tahu kita datang dari Malaysia. Bagi mereka Malaysia sangat unik dengan rakyatnya yang baik dan mesra. Lalu mereka buka hati mereka untuk lebih mengenali kita dengan belajar bertutur bahasa Melayu agar lebih mudah berkomunikasi. Yang penting mereka menjadi semakin rapat dengan kita. Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain di Masjid Nabawi dan Juga Masjidil Haram, orang-orang asing ini sering cuba berkomunikasi dengan orang Malaysia dengan bahasa Melayu walaupun baru beberapa hari berada di situ.

4. Semuanya terletak pada hati. Biarpun apa saja niat mereka, yang penting mereka cepat belajar dan cepat pula menguasai bahasa kita yang pada pendapat mereka amat mudah dipelajari. Dalam masa yang singkat sahaja mereka mampu bercerita tentang tempat-tempat ziarah yang sering dikunjungi ketika berada di Tanah Suci. Dan setengahnya pula pandai berbahasa Melayu kerana faktor perniagaan. Para peniaga di Mekah dan Madinah boleh dikatakan semuanya boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu.

5. Hal ini berbeza dengan rakyat kita sendiri di Malaysia. Ada orang yang langsung tidak tahu dan tidak memahami bahasa Melayu sedangkan sudah puluhan tahun berada di sini malah ada yang dilahirkan di sini puluhan tahun lalu. Mereka ini tidak ada rasa cinta terhadap bahasa itu lalu tidak berusaha untuk belajar menguasainya. Kalau ada usaha ke arah mempelajari dan mengamalkannya setiap waktu, paasti dapat dikuasai dengan senang. Pendatang asing yang berada di sini baru beberapa bulan sahaja boleh melakukannya, tentu tidak mungkin kita yang bertahun-tahun tinggal di bumi tercinta ini tidak boleh. Semuanya terletak pada hati!

.

Sunday, July 19, 2015

PENGADIL KFA: SINOPSIS DIRI


1. Berjuang dalam pembangunan pengadil bukanlah perkara baru bagi saya. Ia telah tertanam dalam jiwa sekian lama, semenjak muda belia lagi. Ketika pulang dari KL pada tahun 1975, saya terlibat secara tidak sengaja dalam bidang ini. Saudara Khalid Ariffin yang ketika itu merupakan seorang pengadil kebangsaan dan memegang tampuk jawatankuasa pengadil KFA membawa saya menyaksikan beliau bertugas di satu perlawanan liga tempatan bersama dua penjaga garisan pada waktu itu. Perlawanan akhir itu diadakan di padang SK padang Durian, Pendang.

2. Persembahan beliau mengadili perlawanan akhir itu membuka hati saya untuk beraksi setidak-tidaknya biar bersama beliau tetapi waktu itu ilmu saya dalam bidang ini tidak lengkap dan tidak meyakinkan orang lain dan juga diri sendiri.

3. Sesudah mendalami ilmu dan berasa yakin, mula memegang bendera dan wisel dalam beberapa liga kampung dan perlawanan pertama bertugas sebagai pengadil adalah antara pasukan Silat Gayung dengan pasukan Kuntau Jawa Padang Lumat di Padang Awam Guar Chempedak. Beergaduh sakan mereka petang itu dengan Cikgu Majid Gayung dibuang padang. Itulah pengalaman paling perit ketika memulakan tugas di Gurun pada waktu itu. Ketika itu hanyalah berstatus Kelas 3 negeri.

4. Selepas mengambnil peperiksaan pengadil kebangsaan pada tahun 1985 dan lulus cemerlang, saya dan dua orang yang lain mula terlibat dengan kumpulan pengadil kebangsaan yang lain. Kami mula beraksi secara amali di peringkat kebangsaan dalam perlawanan peringkat umur. Akhirnya sesudah dua tahun menjalani amali, kami ditauliahkan sebagai pengadil kebangsaan sepenuhnya dan diberi lencana FAM dengan rasminya.

5. Kali pertama bertugas sebagai pembantu pengadil dalam perlawanan Liga Semi-pro antara Perlis dan Perak di Kangar memberi pengalaman yang amat berguna. Petang itu kami di hantar polis peronda hingga ke Air Hitam, Kedah kerana penonton buat kacau akibat tidak puas hati dengan keputusan pengadil Hamzah Mohammad pada waktu itu. Bermula dari situ saya membina diri untuk terus menjadi pengadil yang disegani di peringkat FAM dan juga di negeri Kedah sendiri.

6. Sedikit sebanyak saya berjaya juga bertapak di FAM selama 10 tahun dan berhenti pada tahun 1996 kerana faktor usia. selepas itu terus berkhidmat di belakang tabir dengan mencurah ilmu kepada pengadil-pengadil baru dan juga membuat penilaian kepada pengadil bertugas bagi meningkatkan prestasi mereka.

7. Sumbangan yang masih kental dalam ingatan ialah perjuangan mendapatkan elaun  pengadil bertugas bagi liga berpusat secara harian. Sebelum ini pegadil bertuga dibayar mengikut tugasan sahaja iaitu jika dilantik bertugas baru diberi elaun. Ini menyebabkan ada antara pengadil yang hanya diberi elaun untuk sekali bertugas kerana prestasinya menimbulkan masalah. Jadi datang dari jauh meninggalkan anak isteri hanya mendapat elaun setakat RM30 atau RM50 sahaja. Bayangkan jika pertandingan itu berlangsung di Langkawi. Jadi dengan pemberian elaun harian setiap pengadil akan mendapat elaun samada bertugas atau tidak sesudah dilantik ke satu-satu pertandingan.

8. Saya tidak pasti samada amalan ini masih terus dilaksanakan atau sudah berubah kepada kaedah yang lain. biar apapun kaedahnya, biarlah kebajikan pengadil diutamakan.


JK PENGADIL KFA: APA SANGATLAH DAPAT DISUMBANGKAN

1. Bulan puasa telah berlalu dan hari ini demam Hari Raya masih belum kebah. Lalu teringat pula komitmen dengan Jawatankuasa Pengadil KFA yang baru dianggotai semula setelah sekian lama mengundurkan diri. Janjinya selepas hari raya aktiviti akan berjalan. Macam-macam program bagi meningkatkan prestasi dan juga bilangan pengadil bolasepak dari Kedah Darul Aman direncanakan sebelum puasa lagi pada mesyuarat pertama dulu.


2. Melihat pada senarai AJK yang dilantik untuk tahun 2015/16, tidak ada orang lain yang lebih senior. Lalu fikiran pun terbayangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum mengundurkan diri kira-kira 8 tahun yang lalu. ada peristiwa membuat kita serik mahu bersama seperti dulu, dan ada juga peristiwa yang membuat kita rasa terkilan sama sekali.

3. Kali pertama menganggotai jawatankuasa ini kira-kira tahun 1986 ketika saudara Khalid Ariffin masih ada dan menjadi setiausaha. Semuanya berjalan lancar kerana kebetulan waktu itu saya juga menganggotai KFA sebagai Ahli Majlis. Dan pada waktu yang sama saya juga disenaraikan sebagai Pengadil Kebangsaan untuk Liga Semi-pro yang berjalan pada tahun-tahun selepas itu.


4. Selepas Khalid tiada dan tidak lagi terlibat dengan pengadilan, Hamzah mohammad (Allahyarham) pula menjadi pengerusi dan saudara Md Isa menjawat jawatan setiausaha. Beberapa tahun selepas itu berlalu dengan baik dan hubungan saya dengan mereka berjalan dengan sempurna. Saya sering dilibatkan dengan program-program pembangunan pengadil dan sering dibawa ke merata tempat untuk menyampaikan ilmu kepada para pengadil baru. Saudara Md Isa juga pada masa itu menjawat jawatan Pegawai Pembangunan Pengadil KFA dan saya sering membantu beliau dalam banyak aspek termasuk pembangunan dan perlantikan pengadil bertugas dalam liga-liga Kedah. Kadang-kadang hingga lewat malam meninggalkan anak-anak yang masih kecil untuk hadir membuat perlantikan bagi perlawanan esoknya. Ada kalanya anak-anak terpaksa dibawa bersama kerana pada waktu tersebut isteri berkursus.

5. Saya pernah menyediakan satu kertaskerja mengenai Program Pengadil Remaja seperti yang diminta oleh saudara Hamzah. Akhirnya saudara Hamzah mengkhianati saya dengan membuang nama saya sebagai penulis kertaskerja tersebut dan menggantikannya dengan namanyasebagai penulis. Saya terlalu kecil hati bila mendengar sendiri beliau mebentangkan kertas kerja tersebut dalam satu mesyuarat Majlis KFA yang saya menjadi anggotanya. Akhirnya program itu mendapat perhatian dan satu Seminar Pengadil Remaja telah diadakan di Yan, Kedah dengan menjemput saudara Mohamad Nazri Abdullah (Allahyarham) sebagai penceramah utama.

6. Saudara Md Isa, PPP ketika itu juga telah melukakan hati saya membuat saya tawar hati untuk meneruskan khidmat saya sebagai JK Pengadil. Beliau melakukannya dua kali dan saya undur diri kerana beberapa sebab tersendiri. Dan saya menganggap semuanya sudah suratan dan ianya bukan rezeki saya.

7. Kali pertama saya merasa kecil hati bila suatu hari saudara Sivamuni menghantar pesanan ringkas melalui telefon saya memberitahu dia telah dilantik oleh FAM sebagai 'Match Commosioner'. Saya terfikir bahawa lantikan itu adalah cadangan KFA dan tentulah dari sumber JK Pengadil atau PPP. Saya yang bersusah payah saban waktu memberi bantuan dan sumbangan tentang kursus dan perlantikan, tetapi PPP hanya nampak saudara Siva yang langsung tidak terlibat dengan program pembangunan atau jawatankuasa pengadil untuk diberi tugas tersebut. Di mana sebenarnya maruah saya jika saya terus berkhidmat dengan KFA? Tetapi saya teruskan juga bertugas seperti biasa kerana mewngganggap itu bukan rezeki saya.  Dan selepas itu saya keluar dari menjadi anggota JK Pengadil.

8. Kali kedua yang membuat saya terus membuat keputusan berhenti bila pulang dari taklimat tentang venue di Kelana Jaya FAM. Bayangkanlah saya pergi memandu kereta dari Yan ke Kelana Jaya dengan meninggalkan anak-anak, pada hari Jumaat pula tanpa sesen pun dibayar oleh FAM ataupun KFA. Bila saya bangkitkan hal tersebut kepada saudara Md Isa, mudah saja jawapan beliau: Nanti diberi tugas, dapatlah bayarannya.

9. Saya panjangkan hal ini kepada Setiausaha Kehormat KFA pada waktu itu iaitu Puan Salomi melalui satu surat rasmi. Sampai ke hari ini, sesudah setiausaha bertukar ganti, saya masih tidak mendapat jawapan yang rasmi. Lepas itu saya terus berhenti dan mengundurkan diri.

10. Jadi, apa sangatlah yang dapat saya sumbangkan selepas ini kerana yang pasti sumbangan kita tidak akan dihargai dan diberi penilaian yang wajar. Cuma rasa cinta terhadap bidang ini membuat hati saya melonjak kembali dan harapannya agar tidak dikecewakan lagi.

Insyaallah!