Sunday, July 19, 2015
PENGADIL KFA: SINOPSIS DIRI
1. Berjuang dalam pembangunan pengadil bukanlah perkara baru bagi saya. Ia telah tertanam dalam jiwa sekian lama, semenjak muda belia lagi. Ketika pulang dari KL pada tahun 1975, saya terlibat secara tidak sengaja dalam bidang ini. Saudara Khalid Ariffin yang ketika itu merupakan seorang pengadil kebangsaan dan memegang tampuk jawatankuasa pengadil KFA membawa saya menyaksikan beliau bertugas di satu perlawanan liga tempatan bersama dua penjaga garisan pada waktu itu. Perlawanan akhir itu diadakan di padang SK padang Durian, Pendang.
2. Persembahan beliau mengadili perlawanan akhir itu membuka hati saya untuk beraksi setidak-tidaknya biar bersama beliau tetapi waktu itu ilmu saya dalam bidang ini tidak lengkap dan tidak meyakinkan orang lain dan juga diri sendiri.
3. Sesudah mendalami ilmu dan berasa yakin, mula memegang bendera dan wisel dalam beberapa liga kampung dan perlawanan pertama bertugas sebagai pengadil adalah antara pasukan Silat Gayung dengan pasukan Kuntau Jawa Padang Lumat di Padang Awam Guar Chempedak. Beergaduh sakan mereka petang itu dengan Cikgu Majid Gayung dibuang padang. Itulah pengalaman paling perit ketika memulakan tugas di Gurun pada waktu itu. Ketika itu hanyalah berstatus Kelas 3 negeri.
4. Selepas mengambnil peperiksaan pengadil kebangsaan pada tahun 1985 dan lulus cemerlang, saya dan dua orang yang lain mula terlibat dengan kumpulan pengadil kebangsaan yang lain. Kami mula beraksi secara amali di peringkat kebangsaan dalam perlawanan peringkat umur. Akhirnya sesudah dua tahun menjalani amali, kami ditauliahkan sebagai pengadil kebangsaan sepenuhnya dan diberi lencana FAM dengan rasminya.
5. Kali pertama bertugas sebagai pembantu pengadil dalam perlawanan Liga Semi-pro antara Perlis dan Perak di Kangar memberi pengalaman yang amat berguna. Petang itu kami di hantar polis peronda hingga ke Air Hitam, Kedah kerana penonton buat kacau akibat tidak puas hati dengan keputusan pengadil Hamzah Mohammad pada waktu itu. Bermula dari situ saya membina diri untuk terus menjadi pengadil yang disegani di peringkat FAM dan juga di negeri Kedah sendiri.
6. Sedikit sebanyak saya berjaya juga bertapak di FAM selama 10 tahun dan berhenti pada tahun 1996 kerana faktor usia. selepas itu terus berkhidmat di belakang tabir dengan mencurah ilmu kepada pengadil-pengadil baru dan juga membuat penilaian kepada pengadil bertugas bagi meningkatkan prestasi mereka.
7. Sumbangan yang masih kental dalam ingatan ialah perjuangan mendapatkan elaun pengadil bertugas bagi liga berpusat secara harian. Sebelum ini pegadil bertuga dibayar mengikut tugasan sahaja iaitu jika dilantik bertugas baru diberi elaun. Ini menyebabkan ada antara pengadil yang hanya diberi elaun untuk sekali bertugas kerana prestasinya menimbulkan masalah. Jadi datang dari jauh meninggalkan anak isteri hanya mendapat elaun setakat RM30 atau RM50 sahaja. Bayangkan jika pertandingan itu berlangsung di Langkawi. Jadi dengan pemberian elaun harian setiap pengadil akan mendapat elaun samada bertugas atau tidak sesudah dilantik ke satu-satu pertandingan.
8. Saya tidak pasti samada amalan ini masih terus dilaksanakan atau sudah berubah kepada kaedah yang lain. biar apapun kaedahnya, biarlah kebajikan pengadil diutamakan.
No comments:
Post a Comment