Akhirnya Malaysia atau lebih
tepat Harimau Muda pulang awal dari temasya Sukan Asia di Incheon. Tidak dapat
disangkal sama sekali bahawa para pemain Harimau Muda memang tidak setanding dengan
pemain-pemain Arab Saudi yang ditentang dalam perlawanan terakhir kumpulan itu.
Tetapi bukan aksi perlawanan
itu yang penting sekarang. Apa yang perlu difikirkan adalah kebenaran teori
yang sering bermain di kepala penulis
bahawa belum ada pasukan yang kalah memuji pengadil perlawanan. Itulah yang
berlaku, selepas perlawanan tersebut, jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee terus
meletakkan kesalahan di bahu pengadil ekoran kekalahan pasukannya. Tanpa segan
dan malu beliau tidak mempertikaikan aspek lain tentang kekalahan itu.
Adilkah bagi pengadil
perlawanan tersebut? Sivakom Pu Udom tentunya pengadil terbaik dari Thailand. Betulkah pengadil bertindak salah? Malangnya, ‘Si
Baju Hitam’ itu tidak dapat menjawab kerana sebagai pengadil, beliau harus
mengunci mulut dari memberi sebarang komen atau membuat kenyataan membela
dirinya.
Pemain Malaysia, Zubir Mohd
Azmi sendiri memberi kenyataan lepas tangan sahaja. Menurutnya, dia sendiri
tidak tahu apa kesalahan yang dilakukannya sehingga mendapat kad merah itu. Kenyataan
itu dilihat seolah-olah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab langsung.
Begitulah dalam mana-mana
perlawanan sekalipun. Pengurus Manchester United pernah memarahi pengadil.
Pengurus Chelsea juga pernah berbuat demikian. Teori pasukan yang kalah tidak
akan member pujian kepada pengadil memang benar.
Tetapi pernahkah kita membaca
dan mentafsir Undang-undang XII permainan bolasepak yang dikeluarkan FIFA? Kalau
dikaji dan ditafsirkan secara waras, perbuatan Zubir selayaknya diberi kad
merah itu. Dalam insiden itu nampak jelas dia tidak berminat langsung dengan
bola tetapi sebaliknya lebih berminat kepada pemain untuk dikasari. Apa yang
dilakukannya sepatutnya diberi kad merah terus, bukan kad kuning kedua.
Dan seperkara yang orang tidak
pernah sedar ialah pengadil adalah orang yang paling hampir dengan setiap
insiden untuk membuat keputusan. Kita yang menjadi penonton dan pegawai hanya
berada di luar padang dan jauh dari insiden perlawanan.
Hayatilah Undang-undang XII.
No comments:
Post a Comment