Monday, October 13, 2008

KENARI TERBANG TINGGI ( 2 )

(Surat ini dihantar oleh seorang yang saya kenali dan beliau meminta saya paparkan untuk bacaan umum)

Pulang dari Kuala lumpur hari ini, jalan sesak dengan kenderaan. Simpang siur jalan membuatkan saya hilang arah memandu mahu keluar dari Bandaraya. Ibu kota telah banyak berubah dan sistem jalannya tidak seperti dulu lagi. Satu jam lebih baru saya dapat keluar ke lebuhraya untuk pulang ke utara.

Teringat saya kepada peristiwa beberapa tahun dahulu sewaktu pulang dari Wisma FAM di Kelana Jaya sesudah menghadiri satu taklimat berkaitan dengan ‘venue’. Peristiwa itulah menjadi titik hitam dalam hubungan saya dengan KFA yang banyak berjasa kepada saya. Saya juga teringat sumbangan-sumbangan saya kepada KFA dan pasukan Kenari.

Secara kebetulan pula, sebaik sampai di Alor Star saya terserempak dengan En. Sharif yang menguruskan gelanggang futsal WNS di Kuala Sungai dekat Alor Setar. Setelah lama berbual dengan beliau baru saya tahu bahawa Shariff juga telah tidak lagi berkhidmat dengan KFA kerana beberapa hal peribadi.

Saya sendiri mempunyai masalah peribadi dengan pentadbiran KFA sebenarnya. Sudah bertahun-tahun saya memikirkan cara untuk bersemuka dengan beberapa pegawainya untuk menyatakan rasa terkilan saya dengan pihak-pihak berkenaan, tetapi sehingga sekarang saya tidak sampai hati berbuat demikan.

Selepas berborak dengan Shariff, bertambah kuat desakan hati saya untuk menyatakan perasaan tersebut kepada siapa sahaja kerana itulah sahaja cara yang boleh memuaskan hati saya.

Beberapa tahun lalu saya diarahkan oleh KFA menghadiri taklimat ‘Venue Cordinator’ yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya. Saya sebenarnya mempunyai masalah keluarga pada masa itu dan tidak berminat untuk pergi. Tetapi pegawai KFA berkenaan mengarahkan saya pergi juga kerana menurut beliau tidak ada orang lain yang boleh pergi dan nama saya sudah di’submit’ lebih awal kepada FAM.

Mahu tak mahu, pagi esoknya saya bertolak dengan memandu kereta menuju Kelana Jaya. Lagipun pegawai berkenaan memberitahu bahawa semua perbelanjaan ditanggung oleh FAM dan juga KFA kerana tugas ini adalah taklimat rasmi untuk kepentingan FAM juga.

Taklimat bermula pada pukul 3 petang selepas Solat Jumaat dan berakhir jam 5 petang. Selesai taklimat kami dijamu dengan sajian minum petang iaitu secawan teh dan dua jenis kuih. Selesai minum dan beramah mesra sebentar, saya mmandu untuk pulang ke Alor Setar. Ketika itulah saya terperangkap dalam kesesakan jalanraya di Bandaraya Kuala Lumpur.

Ketika itulah saya menghubungi pegawai KFA terbabit menerangkan bahawa FAM tidak membiaya apa-apa dan meminta semua perbelanjaan dibuat oleh KFA. Jawapan yang beliau berikan amat mengecewakan saya. Katanya, pemergian saya itu adalah atas perbelanjaan sendiri dan KFA hanya akan memberi tugas sebagai ‘Venue Cordinator’ bagi membolehkan saya mendapat elaun. Saya amat tidak bersetuju kerana seolah-olah saya ditipu oleh KFA.

Apabila pulang, saya membuat tuntutan demi tuntutan bagi mendapat kembali hak saya tetapi pihak KFA terus membisu. Janji tiggal janji. Dan akhirnya saya bosan mendengar alasan demi alasan sehinggalah sekarang peristiwa tersebut telah menjangkau tahun ke enam tanpa apa-apa perkembangan.

Sejak saya mempertikaikan perkara itu pada malam saya memandu pulang dari Kelana Jaya sampailah sekarang tidak ada satu pun tawaran bertugas sebagai ‘venue cordinator’ seperti yang dijanjikan. Sejak itu juga nama saya terus dipadamkan daripada senarai Ahli Jawatankuasa Pengadil Bolasepak Kedah. Saya tidak lagi dihubungi untuk bertugas melaksanakan kursus-kursus dan lain-lain aktiviti KFA.

Satu ketika dahulu saya adalah salah seorang Ahli Majlis KFA mewakili daerah saya. Saya juga menganggotai Jawatankuasa Pengadil KFA dan bekas Pengadil Bolasepak Kebangsaan. Dulu kalau tenaga saya diperlukan untuk sesuatu yang berkaitan dengan bolasepak negeri Kedah, saya sentiasa dihubungi.

Itulah KFA yang telah berjaya menjulang 3 piala selama 2 tahun berturut-turut.

1 comment:

  1. sedih di atas kejadian itu. tapi kalau berlaku di dalam pentadbiran KFA memang tidak terkejut. macam-macam boleh jadi dan diluar jangkaan kita. ada yang beli komputer riba tetapi bila berhenti kerja dengan KFA komputer itu turut diambilnya sekali. ada yang selit bayaran untuk diri sendiri dicelah nama pegawai dan pemain-pemain. harap sangatlah pengurusan baru bertindak bijak, telus dan mempunyai wawasan untuk mengembalikan maruah dan martabat KFA.

    ReplyDelete