Sejak Dato’ Seri Abdullah mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden dalam Perhimpunan UMNO Mac depan, negara dilanda sindrom menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan tersebut sehinggakan tidak ada berita lain yang disiarkan di dada akhbar. Media elektronik juga serupa. Slot Berita dan Buletin Utama TV3 habis 30 minit untuk itu sahaja.
Bermula dengan jawatan Presiden hinggalah ke jawatan yang lebih rendah, berbagai individu menawarkan diri bermula dari tokoh-tokoh ternama hinggalah kepada individu yang kurang dikenali memasuki perlumbaan mencatat nama sebagai calon. Berlaku juga permainan tarik tali antara mereka yang mahu mencuba nasib.
Terhenti seketika agenda pembangunan sumber negara oleh proses ini dengan usaha lobi-melobi dan sindir-menyindir. Yang peliknya ada juga calon yang tidak sepatutnya masuk bertanding turut menawarkan diri, untuk jawatan-jawatan yang tinggi pula. Setakat faktor kesetiaan kepada parti sahaja belum mencukupi untuk menawan perwakilan. Orang melihat sejarah kita.
Kalau alasan hendak membuat pembaharuan, siapa yang tak mau buat pembaharuan? Semua calon hendak berbuat perkara yang sama.
Tokoh-tokoh yang sudah ada rekod tidak baik tak payahlah nenawarkan diri. Begitu juga tokoh-tokoh yang sudah cukup lama dan ada masalah di negeri masing-masing sepatutnya tidak payah membuang masa memasuki gelanggang. Berilah peluang ini kepada tokoh lain yang lebih dikehendaki sekarang.
Jangan pula bila sudah memberi gelaran Datuk kepada Aktor Shah Rukh Khan sudah menganggap telah berjasa besar kepada masyarakat. Orang sekarang sudah pandai menilai kerja kita.
Kita tentu masih ingat kes wang RM2 juta di Australia beberapa tahun lalu. Begitu juga skandal gadis bawah umur di Melaka dulu. Bagaimana pula tokoh-tokoh yang mempunyai masalah sehingga dikenakan tindakan disiplin kerana Politik Wang. Rasanya tidak sesuai mereka ini menawarkan diri lagi.
Tidak hairanlah bila ada kedengaran sindiran-sindiran sinis dari orang-orang tertentu yang terkejut dengan kejutan yang dibuat mereka. Orang-orang kampung pun heran dan terkejut juga. Orang kampung sekarang bukan macam dulu lagi. Mereka tidak lupa sejarah dan sejarah tidak pernah menipu.
Apa-apa pun, selamat bekempen dan bertanding.
No comments:
Post a Comment