Saturday, January 5, 2019
BEBERAPA KEGIATAN DAN KHIDMAT PENGADIL HARAM DI KFA
1.Dalam posting sebelum ini telah dinyatakan secara umum bagaimana boleh wujud jenis pengadil seperti ini. Selain dari individu itu sendirti yang memilih untuk bertindak demikian, KFA sendiri patut melihat apa-apa kesilapan dan silap strategi mereka dalam menangani masalah ini. Di samping itu juga , penganjur-penganjur pertandingan terlibat secara langsung menggalakkan lagi kemunculan kumpulan-kumpulan seperti ini yang menjadi barah dalam pengadilan bolasepak di Kedah.
2. Badan ataupun persatuan yang menganjurkan pertandingan bolasepak dan juga futsal di Kedah perlulah membantu Jawatankuasa Pengadil KFA dalam menangani masalah ini. Apa-apa perlawanan yang hendak diadakan termasuk perlawanan persahabatan, perlulah mereka rujuk kepada Jawatankuasa Pertandingan dan juga Jawatankuasa Pengadil KFA. Dari situ bolehlah mereka diberi khidmat pengadil yang bertauliah dan berdaftar. Jika mereka mengamalkan sikap ambil mudah dengan hanya menghubungi individu tertentu seperti yang diamalkan sebelum ini, itulah sahaja apengadil yang ada, Pengadil Haram ini. Jika apa-apa berlaku, bukanlah tanggungjawabKFA.
3. Bukanlah sesuatu yang susah untuk menghubungi KFA dalam masalah ini. Tulis sahaja surat kepada KFA atau hubungi mana-mana jawatankuasa yang ada. Ini tidak berlaku. Yang sering dihubungi adalah beberapa individu yang menjadi ketua kumpulan haram ini samada di Alor Setar bagi kawasan utara atau di Bedong bagi kawasan Selatan. ini bakal menimbulkan beberapa masalah dari segi mutu pengadilan kerana mereka tidak berdaftar dan tidak menghadiri taklimat serta menduduki ujian kecergasan tahunan.
4. Pegawai-pegawai di KFA sendiri juga berperanan untuk mencegah aktiviti kumpulan ini. Mereka tidak harus memberi kerjasama atau memberi peluang kumpulan ini menyuburkan khidmat seperti sekarang. Apa yang berlaku sebelum ini, pegawai di KFA sendiri yang tidak peka dengan matlamat dan kewujudan pengadil yang berkelayakan dan berdaftar dengan KFA. Lihat sahaja beberapa perlawanan persahabatan di Stadium Darulaman di waktu siang dan malam, pengadil haram inilah yang diberi tanggungjawab menjadi pengadil.
5. Sudah tentu ini melibatkan wang kerana lampu stadium digunakan. Maklumat yang sampai kepada saya, setiap pasukan yang mengambil bahagian dalam sesuatu perlawanan persahabatan dikenakan bayaran sebanyak RM600. wang ini tentulah diagihkan kepada kakitangan stadium dan juga para pengadil yang terlibat. Begitu juga suatu masa dalam tahun 2018 lalu petandingan Futsal Piala Menteri Besar diadakan di Titi Gajah. Pengadil-pengadil ini juga dilantik dengan bayaran yang lumayan. Dan yang peliknya Datuk Seri Mukriz sendiri merasmikan dan menyampaikan hadiah tanpa ia sedar ketika itu dia adalah Presiden KFA yang secara tidak langsung membelakangkan Jawatankuasa Pengadil KFA.
6. Selain dari itu ada beberapa pertandingan yang lain yang turut diberi tanggungjawab kepada pengadil-pengadil haram ini. Bukansahaja di Alor Setar teapi juga di tempat-tempat lain seperti di Baling, Kulim, Pendang dan juga di Guar Chempedak serta di Langkawi. Kegiatan pengadil haram ini sangat terbuka dan tiada langsung tindakan dibuat oleh KFA menyebabkan ia menjadi sebagai satu kegiatan yang mencabar Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri.
7. Liga Piala Timbalan Menteri di Guar Chempedak misalnya, kononnya pada mulanya menggunakan khidmat pengadil dari Persatuan Bolasepak Kuala Muda. Tetapi akhirnya sedikit demi sedikit pengadil-pengadil haram ini mengambil alih sehingga tamat pertandingan. Pertandingan bolasepak di Stadium Suka Menanti pada awal Disember lalu merebut piala ADUN Suka Menanti juga menggunakan khdmat kumpulan ini. Dan yang paling terbaru satu kejohanan Futsal Empat Penjuru yang dianjurkan oleh Perbadanan Stadium Negeri Kedah sebagai penutup tirai 2018 diberi tugas kepada kumpulan pengadil haram ini juga.
8. Tentulah tidak munasabah bila orang-orang yang terlibat dengan stadium dan KFA sendiri tidak dapat mengenali siapa yang patut dihubungi bila memerlukan pengadil bolasepak untuk pertandingan anjuran mereka. Banyak lagi pertandingan yang penganjurnya mengabaikan terus aspek perlantikan pengadil bertauliah untuk kejohanan anjurana mereka.
9. saya mengenali para pengadil haram ini secara peribadi, Berbagai alasan diberikan mereka yang menyebabkan mereka meneruskan aktiviti seperti ini. Saya juga mengenali ahli-ahli dalam Jawatankuasa Pengadil KFA. Dan saya juga mengenali beberapa pegawai di KFA. Namun apa yang boleh dibuat bagi membendung masalah pengadil haram ini? Ia melibatkan semua pihak dan Jawatankuasa Pengadil harus menerima hakikat bahawa pendekatan baru haruslah dibuat secara total. Mereka mesti berfikir dan bertindak di luar kotak walaupun terikat dengan dasar di FAM. Jabatan Pengadil di FAM tidak tahu perkara sebegini dan itu bukan masalah mereka.
10. Lalu bertindaklah sewajarnya untuk kebaikan semua pihak. Kita tentu tidak mahu Jawatankuasa Pengadil KFA hanya menjadi satu simbul tanpa berperanan membela nasib para pengadil di bawah jagaannya.
ADIOS!
No comments:
Post a Comment