Wednesday, September 26, 2018

ANWAR IBRAHIM: AGONG PUN DIHERET MENGHINA MAHKAMAH


1. Cita-cita besar DS Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri masih jauh walaupun ada yang berpendapat beliau telah melangkah sebelah kaki ke Seri Perdana. Belum pasti bila, Tun M telah menjanjikan tempat tersebut dalam masa dua tahun. Tetapi itu hanyalah janji dan berbagai perkara boleh berlaku dalam masa terdekat. Tindakan Tun Mahathir tidak dapat dijangkakan. Apapun boleh berlaku dan berubah. Jadi DS Anwar jangan terlalu awal pasang angan-angan.

2. Dalam politik segalanya mungkin. Dalam duduk berangan-angan mahukan kerusi nombor satu itu, kejutan mungkin berlaku dan kerusi itu dapat pada orang lain. Anwar pernah melaluinya dahulu, ketika berangan-angan demikian rupa, beliau dikejutkan dengan pendakwaan liwat pada tahun tersebut hinggakan kerusi itu jatuh ke tangan orang lain.

3. Sekarang Anwar diberi pengampunan penuh yang melayakkan dirinya bergiat terus dalam politik sebaik keluar dari tirai besi. Jika tidak ia pasti mengambil masa beberapa tahun pula baru boleh cebur diri semula dalam arena politik tanahair. Jadi pengampunan itu tidaklah disalahertikan pula. Ianya 'pengampunan' bukannya 'pembersihan'. Liwat tetap berlaku dan hukuman tidak bersalahan lagi. Cuma diampunkan sepenuhnya hanya untuk kepentingan politik semata-mata.

4. Kerana itu tak payahlah berceramah ke segenap pelosok tanahair menyatakan diri dianiaya dan diri tidak bersalah. Salah telah dibuktikan dengan beberapa saksi, Ada mangsa dan melalui perbicaraan beberapa tahun. Bagaimana mungkin anda ingin menukar sejarah menyatakan anda tidak bersalah? Jika dilakukan juga begitu, menghina mahkamahlah namanya. Menghina mahkamah adalah satu kesalahan berat.

5. Tidak mungkin anda mahu menyatakan bahawa saksi tidak benar, hakim menipu dan peguam serta pendakwaraya ahanya berlakon. Itu tidak boleh sama sekali. Dan yang anehnya orang boleh percaya bahawa Agong tahu dia tidak bersalah. Kenapa harus diheret Agong untuk menghina mahakamah, menghina hakim dan pendakwaraya sereta saksi?

6. Salah tetap salah. Anwar harus ingat dia diberi pengampunan penuh bukan pembersihan dari tuduhan.

7.Sekian. Adios!

Thursday, September 13, 2018

PENGADIL KFA: SAYA HARUS UNDUR DIRI?


1. Harap-harap ini adalah entri terakhir mengenai perkara ini walaupun ternyata ia tidak dapat dipisahkan dari ingatan seumur hidup. Sampai bila-bila soal pengadil bolasepak akan sentiasa bermain dalam fikiran saya ini. Ternyata tidak boleh melupakan segala pahit dan manis selama berkecimpung dalam bidang ini. Namun oleh kerana sudah berada di dalam Jawatankuasa Pengadil KFA buat kali ketiga ini, sukar juga untuk tidak bercakap mengenainya tetapi saya mesti cuba. Insyaallah!

2. Rupanya sesiapa sahaja yang berada di sini, sama sahaja. Biar siapa pun keadaannya tetap serupa di mana semuanya menjadi boneka dan menurut sahaja apa-apa yang diputuskan oleh pihak tertentu tanpa melihat lebih jauh mengenai sesuatu perkara. Malah semuanya tidak boleh ditegur dan dikritik atau diminta penjelasan. Dan melakukan sedikit teguran, dianggap membantah. Tetapi kadang-kadang ada perkara yang perlu ditegur dan diberi idea penambahbaikkan.

3. Akibat teguran demi teguran yang saya berikan, AJK yang lain melihat dari sudut negatif sahaja tanpa melihat rasional teguran-teguran tersebut. Dan implikasi dari teguran saya itu beberapa rakan baik mengalih pandangan mereka dan menjauhkan diri dari saya. Teman-teman rapat yang selalu berbual dan berinteraksi melalui mesej dan telefon terus menyepi dan tidak lagi 'bermesra' seperti selalu. Yang baiknya saya usah memberi teguran dan idea jika saya tahu inilah akibatnya. Saya hilang kawan-kawan rapat hasil dari apa yang saya komen mengenai keputusan mereka.

4. Baru-baru ini sumber dari Jawatankuasa Pengadil KFA telah memutuskan untuk mencalonkan beberapa nama kepada FAM bagi menduduki senarai Penilai Pengadil FAM dan saya merasai nama-nama tersebut dibuat secara tergesa-gesa tanpa perbincangan dan tidak memenuhi kriteria yang saya fikirkan. Itu sahaja perselisihan pendapat antara saya dengan beberapa AJK yang lain. Saya memikirkan tentang rasional pemilihan nama-nama itu yang saya dapati tidak mewakili lanskap pengadil Kedah Darulaman.Nama-nama yang disenaraikan itu hanya merangkumi daerah Kota Setar dan Kuala Muda sahaja. apa hal dengan daerah yang lain.

5. Jika Sungai Petani sudah ada Zaber Morad, kenapa mahu diberi juga kepada Shahimi. Dan di Kota Setar sudah ada Rahim dan Dahri kenapa mesti masukkan nama Haslimi lagi? Itu sahaja yang menjadi bahan pemikiran saya yang tidak pandai menilai kebolehan orang lain. Apa hal dengan daerah Kubang Pasu dan Kulim yang ada ramai pengadil negeri dan juga Kebangsaan. Daerah Yan tidak payah difikirkan kerana memang tiada langsung pengadil negeri apatah lagi pengadil kebangsaan. Begitu juga dengan Padang Terap, Langkawi dan Pendang serta Bandar Baru.

6. Saya berada dalam senarai AJK sebagai pengerusi kebajikan pengadil, lalu saya berbicara untuk melihat kebajikan pengadil diambil kira juga dalam pencalonan tersebut. Tetapi pihak jawatankuasa salah anggap dan mengandaikan saya berkecil hati kerana nama saya tiada dalam senarai tersebut. Itu silap. Saya sedar siapa diri saya dan saya tidak akan menerima pencalonan tersebut buat masa ini dan selamanya.

7. Jadi jika semua pihak tidak berpuas hati dengan komen dan kritik yang saya buat, sila singkirkan saya untuk kali ketiga atau biar saya saja yang undur diri. Silalah! Kepada teman-teman yang terasa selepas kritik dan teguran saya ini, saya minta maaf. Ampunkan saya kerana menimbulkan masalah itu.

Adios!

Sunday, September 9, 2018

PENGADIL KFA: SEBUAH KENANGAN MENGUSIK JIWA


1. Bila berbicara tentang pengadil bolasepak KFA, terimbas kembali beberapa kenangan yang terusik di jiwa. Bak kata orang, biar seceria manapun manusia, ada kalanya memungkinkan sesuatu akan mengusik perasaannya. Biar sesederhana manapun, pasti keinginan untuk dihormati dan dihargai itu ada bermain di jiwanya. Begitulah saya yang tentunya seperti manusia biasa yang lain juga. Ada kenangan dan ada juga rasa terkilan dan terasa di hati.

2. Hari ini apabila mendapat pesanan dari sahabat tentang bidang pengadilan bolasepak di KFA, perasaan seperti ulang tayang cerita lama yang dimainkan puluhan tahun yang silam. Cerita yang sama betapa kita dilupakan orang dan tidak dikenang langsung untuk dibawa berbincang walaupun ianya perlu perbincangan. Dan hari ini mengembalikan ingatan dan harus diingat bahawa ini adalah kali ketiga saya menerima kejutan yang serupa.

3. Sebelum pergi lebih jauh, biar saya imbas kembali apa yang telah berlaku pada satu ketika dahulu hinggalah membawa ke hari ini. Dan selepas itu biarlah orang menilai sejauh mana ingatan dan penghargaan yang patut diperoleh bagi kepuasan diri sebab saya juga manusia seperti orang lain. Tentulah tidak patut saya mengungkit perkara yang telah lepas tetapi apakan daya lagi, itulah sahaja jalan yang sehabis lembut untuk didedahkan tentang perkara yang menghantui saya selama ini.

4. Bermula ketika tahu 1986 selepas lulus dan menjadi Pengadil Kebangsaan, saya diminta oleh Khalid Ariffin (Allahyarham) membantu beliau menjelajah ke daerah-daerah untuk memberi kursus kepada bakal-bakal pengadil. Ketika itu saya berada di dalam senarai AJK dan sering terlibat mengadili perlawanan di negeri Kedah dan FAM. Di waktu yang sama terutama ketika En. Md Isa Abu Seman menjadi Setiausaha JK Pengadil, saya sering diminta membantu dari aspek perlantikan dan taklimat kepada para pengadil dalam sesuatru kejohanan.

5. Kadang-kadang perkara ini berlanjutan hingga lewat malam. ada waktu pula saya terpaksa membawa anak-anak yang masih kecil kerana tiada sesiapa di rumah. Namun kerana kepercayaan yang diberikan, saya gagahkan juga hadir untuk menguruskan perkara-perkara pengadilan itu. Tetapi apa yang saya terima selepas itu amat mengecewakan saya.Dan saya merasa seolah-olah saya tidak dihargai.

6. Suatu hari dalam tahun 1998, Encik Sivamuni dari SP menghatar SMS menyatakan dia dipilih oleh KFA dan dilantik menjadi Match Inspector (sekarang dipanggil RA). Berita itu mengejutkan saya kerana selain menjadi pengadil kebangsaan, tiada pun sedikit sumbangan beliau kepada KFA dan saya juga memikirkan atas dasar apa beliau dipilih sedangkan pengadil ketutunan India tidak sampai pun sebelah tangan pada ketika itu. Sedangkan saya yang terlalu banyak dan komited dengan sumbangan kepada KFA tidak berada dalam radar pengurusan KFA. Namun perkara itu tidak melunturkan semangat saya untuk berbakti kepada KFA. Saya terus membantu dan masih juga AJK Pengadil KFA.

7. Kemudian sekali lagi saya dianiaya oleh pihka Pengurusan KFA. Pada tahun 2000 lebih kurang, ketika saudara Md Isa menjadi Pegawain Pembangunan Pengadil, saya diarahkan untuk hadiri taklimat Venue Coordinator (VC) di Wisma FAM, Ketika itu saya mempunyai masalah kewangan dan ahli keluarga tidak sihat pula langsung membuat saya berat hati mahu pergi. Tetapi setelah dijanjikan bahawa semua perbelanjaan ditanggung, saya pergi juga dengan En Zaber Morad dan kami hadir dalam taklimat tersebut yang diadakan hanya selama 2 jam. selepas itu kami pulang tanpa dibayar sesen pun oleh FAM

8. Di KFA saya bertanya pihak pengurusan pada ketika itu dan Setiausaha Kehormat Puan Salomi telah meminta saya menulis tuntutan secara rasmi kepada KFA dan saya menurut arahan beliau. tetapi bermula dengan surat tersebut, akhirnya saya disingkirkan dari menganggotai Jawatankuasa Pengadil pada masa itu dan selepas itu saya tidak pernah dilantik menjadi VC dalam apa-apa pertandingan di KFA dan di tempat-tempat lain. Tuntutan yang saya buat juga tidak dilayan sehingga ke hari ini. Semuanya telah menjadi sejarah dan sekarang VC menjadi satu pos penting dalam segmen perlawanan bolasepak di KFA.

9. Dan sekarang semuanya berulang. Tentulah saya terasa bila saudara SU Jawatankuasa Pengadil mengirim pesanan kepada saya tentang cadangan beberapa nama untuk dihantar kepada FAM sebagai calon RA dan sebagainya, Saya terasa bukan kerana nama saya tiada dalam senarai 5 calon itu tetapi kerana keputusan penting begitu tidak dibuat dalam mesyuarat. Ia disenaraikan dan meminta pengakuan setuju atau tidak. Itu yang buat saya terasa. Jika boleh perkara begini dibuat dalam satu mesyuarat kerana kita mestilah melihat latarbelakang calon itu dari segi kriteria dan juga apa-apa sumbangan yang telah diberikan kepada KFA. Mungkin ini sebagai satu cara kita membalas jasa kerana orang yang berjasa jika tidak dibalas dengan baik, ia akan jadi seperti yang saya alami.

10. Diharap pihak yang berkenaan akan dapat mengambil ingatan tentang perkara ini.

ADIOS!


Sunday, September 2, 2018

KFA TIDAK PERNAH BELAJAR DARI KESILAPAN LALU



1. Semalam 01 September 2018 adalah hari bersejarah bagi para pengadil yang berdaftar di bawah Jawatankuasa Pengadil KFA bagi tahun 2018 dan juga hari malang bagi mereka. Sesudah puas berusaha dan bergelut untuk lulus ujian kecergasan tahunan, mereka dimalukan pula oleh segelintir pengadil yang degil dan tidak mahu mendaftarkan diri dengan badan induk bolasepak negeri itu. Sesudah berjaya dalam ujian tersebut, mereka mengharapkan akan mendapat peluang dilantik mengadili mana-mana perlawanan bolasepak yang dianjurkan di bawah naungan KFA. Malangnya perkara itu tidak berlaku.

2. Serentak dengan penganjuran ujian kecergasan oleh Jawatankuasa Pengadil KFA itu, satu pertandingan bolasepak diadakan di kawasan tidak jauh dari Alor Setar iaitu pertandingan Futsal Piala Menteri Besar. Alangkah janggalnya bila Menteri Besar yang menjadi Presiden KFA boleh meluluskan dan hadir untuk menyaksikan perlawanan futsal tersebut yang tentunya diadili oleh para pengadil yang tidak terlibat dengan Ujian Kecergasan yang dianjurkan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh beliau sendiri.

3. Tentulah para pengadil yang terlibat dengan ujian kecergasan ini terasa ke tulang hitam betapa mereka tidak dihargai sebaliknya diberi tugas kepada individu-individu yang ingkar, tidak mematuhi peraturan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengadil KFA. Mereka ini pula adalah individu-individu yang lebih mementingkan wang dan kemudahan yang lain.

4. Sepatutnya Menteri Besar sebagai Presiden KFA hendaklah peka kepada keadaan dan hendaklah ambil maklum aktiviti yang dibuat oleh jawatankuasa di bawahnya daripada mementingkan perlawanan futsal tersebut. sepatutnya Menteri Besar selaku Presiden KFA hendaklah mengutamakan para pengadil yang mengikuti Ujian Kecergasan ini yang diadakan bagi menilai tahap kecergasan pengadil KFA sendiri.

5. Sampai bila perkara sebegini akan terus berlaku di KFA? Tentulah akan terus terjadi andainya yang bertukar hanyalah Presiden dan para exco yang dipilih ketika pemilihan, tetapi para pegawai yang mendapat elau, gaji dan kemudahan lain masih juga orang lama yang diketahui tidak dapat menjalankan tugas dengan betul dan berprestasi tinggi. Selagi para pegawai ini dikekalkan, selagi itulah keadaan tidak akan berubah.

6. Menteri Besar selaku Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Kehormat dan juga exco yang lain tentulah maklum bahawa pegawai-pegawai inilah juga yang menyebabkan Kedah atau pasukan Helang Merah gagal mengambil bahagian dalan kejohan AFC yang lalu. Begitu juga dengan penganjuran Liga 5 yang KFA gagal menganjurkannya kerana pegawai-pegawai eksekutif dan bukan eksekutif tidak menjalankan tugas mereka. Jadi selepas ini jika ada apa-apa yang kurang, Presiden KFA tidak payah menuding jari kepada sesiapa. Salahkan diri sendiri sahaja yang tidak peka kepada hal-hal seperti ini.

7. Saya bersimpati dengan para pengadil yang mengambil bahagian dalam Ujian Kecergasan semalam. Seramai 104 orang termasuk seorang pengadil wanita mengambil bahagian. Bermula dari yang muda dalam usia 15 tahun hinggalah kepada yang paling berusia 55 tahun menjalani ujian tersebut yang bermula jam 7.00 pagi. Mereka datang dari seluruh pelosok negeri termasuk dari Langkawi dengan perbelanjaan sendiri. Bayangkanlah berapa banyak perbelanjaan mereka dan jam berapa mereka bertolak dari rumah? Yang datang dari Langkawi tentulah tiba sehari sebelumnya dan bayangkan mereka terpaksa menginap di hotel dengan perbelanjaan sendiri.

8. Namun segala pengorbanan itu sia-sia sahaja akibat dari tindakan penganjuran Futsal Piala Menteri Besar yang tidak menggunakan khidmat mereka sebaliknya menggunakan khidmat pengadil yang tidak berdaftar dan ingkar dengan peraturan yang ditetapkan Jawatankuasa Pengadil KFA yang berada di bawah pengurusan Menteri Besar sendiri sebagai Presiden KFA. Semuanya jadi janggal sekali. Sepatutnya penganjuran tersebut tidak diluluskan andainya semua pihak peka dan sedar fungsi setiap jawatankuasa di KFA. Jangan-jangan Jawatankuasa Pertandingan KFA sendiri tidak tahu tentang penganjuran pertandingan tersebut, hanya Menteti Besar sahaja yang tahu.

9. Saya bersimpati dengan anda semua, para pengadil terutama yang berusaha lulus dalam ujian kecergasan tersebut. Tetapi apa boleh buat, mereka memegang dayung dan perahu milik mereka. Kita sebagai penumpang terima hakaikat bahawa kita tidak diperlukan pada masa ini. Insyaallah nanti pihak pengurusan dan Jawatankuasa Pengadil KFA yang baru ini akan mengambil tindakan yang perlu.

10. Bagi pihak pengurusan pula khasnya Datuk Seri Presiden serta YB Asmirul sebagai Setiausaha Kehormat haruslah memandang serius perkara ini. Lihatlah Ketua Pegawai Eksekutif yang dilantik dahulu bukannya orang bolasepak. Begitu juga Pegawai Eksekutif yang sudah beberapa musim di pejabat KFA tetapi peningkatannya tiada juga. Jadi apa tunggu lama-lama.

Sekian. Terimakasih.
ADIOS!