Langkah pihak berkuasa tempatan meluluskan sesuatu projek
perumahan memang sangat dialu-alukan terutama jika bermatlamat membantu
golongan pertengahan memiliki rumah sendiri. Tambahan pula buat masa ini pembinaan
tempat kediaman ataupun rumah mampu milik amat dinanti-nantikan oleh semua
lapisan masyarakat terutama pasangan-pasangan muda yang berhasrat memiliki
rumah sendiri.
Daerah Yan di negeri Kedah tidak ketinggalan melaksanakan
projek membina rumah. Buat masa ini sudah wujud beberapa taman perumahan terdiri
dari rumah-rumah mampu milik dan telah diduduki ramai golongan pasangan muda.
Dengan itu daerah Yan ini semakin pesat membangun dan member impak positif
dalam pengembangan ekonomi di daerah ini.
Salah satu projek perumahan yang baru dimulakan ialah projek
Taman Nusantara di Titi Bakong, Yan
berhadapan dengan taman perumahan yang sedia ada iaitu Taman Guru, Taman Pulau
bunting dan Taman Perumahan Awam. Taman perumahan ini telah wujud sejak puluhan
tahun dan dengan terbina nanti Taman Nusantara ini sudah tentulah Titi Bakong
ini akan menjadi sebuah pusat komuniti yang besar.
Apa yang hendak dibangkitkan di sini, biarpun pihak berkuasa
telah meluluskan pembinaannya, mereka haruslah memantau perkembangan projek
tersebut. Janganlah lepas selesai member kelulusan, pihak kotraktor dan pemaju
dibiarkan bertindak sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan masalah kepada
penduduk tempatan. Pihak berkuasa tempatan langsung tidak ambil peduli sama ada
pihak pemaju melaksanakan SOP bagi setiap pembinaan.
Didapati projek yang dijalankan oleh DXN Development Sdn.
Bhd. itu langsung tidak memasang dinding pengadang dan menyimbah air di tapak
pembinaan. Hal ini menyebabkan jalan dan perumahan penduduk di sekitar itu
dilitupi debu dan habuk. Ada waktu-waktu tertentu penduduk di taman perumahan
berhampiran tidak boleh membuka pintu dan tingkap, apatah lagi menyidai kain
baju. Habuk dan debu berterbangan memenuhi ruang taman perumahan dan juga
jalanraya.
Telah beberapa kali penduduk membuat aduan kepada pihak
pemaju tetapi tiada tindakan diambil. Laporan polis juga sudah dibuat tetapi
keadaan masih juga serupa. Lebih memburukkan keadaan, pada waktu-waktu
tertentu, kereta yang lalu lalang terpaksa memasang lampu kerana debu memenuhi
ruang jalanraya. Keadaan ini boleh
mengundang kemalangan jalanraya jika tidak diberi perhatian.
Diharap pihak berkuasa terutama Majlis Daerah Yan mengambil
inisiatif untuk mengarahkan pihak pemaju berbuat sesuatu bagi mengelakkan
perkara tersebut. Jangan nanti apabila nasi sudah menjadi bubur baru mahu
bertindak.
No comments:
Post a Comment