Friday, December 25, 2015

SENANGNYA MENCARI WANG DI MALAYSIA

1. Mencari rezeki halal bukan perkara yang mudah bagi orang Malaysia tidak kira apa bangsa dan etniknya. Rezeki yang halal dan penuh barkah bukanlah senang digenggam. Kita harus mencari pekerjaan dan pekerjaan itu pula tentulah dari saluran yang betul dan halal. Barulah rezeki itu mendapat berkat dalam hidup kita. Dan rezeki itu pula kita kongsikan bersama anak isteri dan kaum keluarga. Kadang-kadang sahabat handai juga boleh tumpang gembira dengan rezeki kita itu.

2. Lain halnya dengan orang luar. Mudahnya mereka mendapat wang dari simpati orang ramai khasnya rakyat Malaysia sendiri. Berpakaian dan menampilkan diri dan wajah yang alim dan warak, tunggulah di simpang-simpang jalan dan di tempat tumpuan orang ramai, dalam sekejap waktu sahaja tabung mereka pasti terisi dengan jumpah yang memberangsangkan.

3. Tengahari tadi Jumaat 251215, saya melihat sendiri betapa warga asing ini bergegas turun masjid sebaik sahaja selesai salam solat Jumaat dan berdiri di pintu pagar masjid dengan memegang sekeping gambar dan sedikit risalah. Di sampingnya juga ada sebuah beg derma yang akan digunakan untuk mengisi wang derma.


4. Apabila orang ramai mula turun dari masjid selepas selesai doa oleh tuan imam, pemungut derma ini menadah begnya kepada orang yang lalu lalang. Dan ada antara orang ramai yang lalu itu amat pemurah menghulur derma dengan senyum di bibir tanda keikhlasan masing-masing.


5. Mudahnya mereka mendapat wang. Entah berapa jumlahnya tidak dapat dipastikan. Dan rakyat Malaysia yang datang bersolat pula begitu pemurah serta banyak wang. Sebelum itu sudah menderma dalam tabung masjid, sekarang menderma pula untuk orang ini. Entah datang dari mana dan kebenaran siapa, tak ada siapapun peduli.

6. Itulah! Mudahnya mencari wang di Malaysia. Dan pemurahnya rakyat Malaysia!

No comments:

Post a Comment