Thursday, September 24, 2015

RAJA DAN ORANG POLITIK: BUANG MASA MEMIMPIN PERSATUAN SUKAN

Selepas Malaysia ataupun Harimau Malaya mengakhiri kempen kelayakan Piala Dunia dan juga Piala Asia dengan keadaan yang amat memalukan, berbagai kritikan dan pandangan diutarakan orang ramai dan juga tidak ketinggalan para pakar bolasepak yang muncul tiba-tiba bagai cendawan.  Kebanyakan pendapat dan kritik itu menjurus kepada kelemahan FAM. Kononnya FAM tidak melakukan apa-apa pembaharuan dan pembangunan sehingga tahap bolasepak di Malaysia semakin menjunam dari  setahun ke setahun.

Jika dahulu Malaysia setaraf dengan Jepun dan Korea, malah gergasi Asia itu sendiri bermain dalam keadaan sukar bila berhadapan dengan Malaysia ketika itu, sekarang tidak lagi. Malah Malaysia bakal menjadi pasukan belasahan jika berjumpa di padang dan negara itu tidak lagi berminat menjadikan Malaysia sebagai pasukan memanaskan badan apatah lagi untuk perlawanan persahabatan. Mereka  telah jauh meninggalkan Malaysia.

Hal ini berlaku bukan kepada bolasepak sahaja malah sukan-sukan yang lain pun menghadapi masalah yang sama. Lee Chong Wei belum ada pengganti. Rabuan Pit belum ada pengganti. Rekod Nashatar Singh belum dapat dipecahkan.  Lihat juga apa yang terjadi kepada sukan hoki. Tetapi tulisan ini tidak mahu menyentuh perkara-perkara itu malah tumpuan hanyalah difokuskan kepada bolasepak kerana inilah sukan nombor satu di Malaysia.

Semua yang berlaku ini gara-gara persatuan Sukan dikendalikan oleh Raja dan juga ahli-ahli politik. Raja-raja, termasuk putera-putera raja dan juga ahli-ahli politik amat tidak sesuai menggalas tugas tersebut kerana masa mereka terhad dan banyak perkara lain yang perlu ditumpukan.  Raja-raja harus sedar bahawa bukan sukan sahaja ‘rakyat’ mereka. Tumpuan harus diberi kepada perkara-perkara lain juga, bukan sukan sahaja.

Selama 31 tahun Sultan Ahmad Shah menerajui FAM, apa perubahan positif yang ditonjolkan selain dari prestasi pasukan menurun tahun demi tahun. Dahulu baginda dilantik menggantikan Tan Sri Hamzah Abu Samah kerana minat yang ditunjukkan baginda, dalam keadaan Malaysia di ranking yang sama dengan Korea dan Jepun. Sejak itu ianya turun sedikit demi sedikit sehingga terjadi seperti sekarang.

 Kita tidak payah menyesal kerana kita yang membiarkan keadaan ini berlaku. Semua pegawai tidak berani menegur ataupun pegawai-pegawai di FAM juga seperti baginda, hanya berada di situ kerana minat ataupun kepentingan yang lain. Kalaupun ada yang berani menegur, teguran tidaklah selantang mana kerana teringatkan nasib yang menimpa Datuk Ahmad Basri Akil yang kuat mengkritik FAM. Begitu juga dengan Datuk Seri Annuar Musa.

Ahli-ahli politik juga serupa. Baik jangan melibatkan diri dengan pengurusan persatuan. Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan juga para menteri cubalah jangan mencampuri pimpinan persatuan bolasepak mana-mana negeri. Tanggungjawab anda semua terlalu banyak, bukan bolasepak sahaja. Anda semua kenalah menguruskan seluruh rakyat. Itulah yang lebih utama. Jika terlalu berminat, jadilah seperti Sultan Kedah yang sanggup berjalan kaki ke Stadium Batu Kawan kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Ataupun berilah sumbangan dana untuk persatuan yang diminati. Itu adalah lebih baik dari menjadi bahan cemuhan di padang dan juga stadium.

Saya ambil contoh Persatuan Bolasepak Negeri Kedah. Bermula dari presiden hinggalah kepada beberapa Ahli Majlis, terdiri dari ahli-ahli politik. Presiden adalah Menteri Besar sendiri. Setiausaha Kehormat juga ahli politik iaitu Exco negeri. Pengerus-pengerusi jawatankuasa juga terdiri dari ahli politik. Contohnya Pengerusi Jawatankuasa Pengadil adalah Anggota Parlimen. Mereka ini semua tiada masa untuk  bertugas dalam pengurusan malah untuk menguruskan mesyuarat jawatankuasa mereka sekalipun.

Kalau sentiasa tiada masa, bagaimana tumpuan hendak diberikan kepada bolasepak dan persatuan amnya. Selama lebih seminggu saya berusaha untuk menemui Setiausaha Kehormat KFA. Saya terpaksa meminta bantuan Exco yang lain tetapi gagal juga. Akhirnya saya hubungi wakil beliau dan wakil tersebut berjanji akan menentukan satu tarikh dan masa untuk pertemuan tersebut tetapi malangnya sehingga hari ini sudah lebih seminggu tergantung begitu sahaja. Mesej sms dan whatsapp saya kepada wakil dan kepada YB  sendiri tidak berjawab.


Lalu saya membuat kesimpulan bahawa orang-orang politik dan berkepentingan usahlah memimpin persatuan sukan. Perkara penting yang boleh diselesaikan dalam beberapa jam boleh berpanjangan hingga beberapa hari. Dan apabila nasi sudah menjadi bubur, barulah kita menyesal tak sudah.

No comments:

Post a Comment