Wednesday, May 20, 2015

DALAM BOLASEPAK USAH ADA PERASAAN DENDAM

1. Nasi sudah menjadi bubur. Kata sudah terucap. Hati yang mendengar sudah tercalar. Dan Presiden PBNT Wan Ahmad Nizam sudah member ‘nasihat’ kepada FAM agar mendengar suara puluhan ribu penonton daripada menerima keputusan seorang pengadil. Bodohnya kenyataan ini. Puluhan ribu pun kalau tidak betul, lebih baik dengar suara yang satu yang tepat dan betul.

2. Kemelut itu entah bila akan berakhir sedang FAM masih belum hilang gembira kerana presiden mereka berjaya menduduki barisan Exco FIFA. Itu yang lebih hebat nampaknya. Kepada pengadil  yang dilanda kotroversi ini saya ucapkan tahniah kerana Berjaya membuat keputusan yang betul pada ketika yang amat tertekan. Apa tidaknya, anda terpaksa membuat tiga keputusan yang berat pada ketika itu juga. Batalkan jaringan satu perkara, dua kad merah perkara yang berturutan.

3. Lalu saya teringat pada peristiwa 1986 ketika saya member kad merah kepada Ketua Pasukan Perlis, saudara Ibrahim Saad dalam satu perlawanan Perlis menentang Kedah di Stadium Darulaman. Ketika itu saya baru sahaja menjadi pengadil kebangsaan dan usia masih lagi muda. Stadium Darulaman masih lagi stadium yang lama, bukan yang ada sekarang. Tekanan perasaan amat tinggi dan saya tetap membuang padang ketua pasukan Perlis itu atas prinsip beliau telah melanggar Undang-undang 12.

4. Perasaan takut dan gentar pada penonton terutama penyokong Perlis amat tinggi pada ketika itu. Rasaa macam hendak lari pulang sahaja dan membuang semua peralatan pengadil. Ketika itu terasa kenapalah saya  memilih menjadi pengadil padahal banyak lagi kerja lain yang boleh dibuat. Dan selepas itu beberapa bulan tidak diberi tugasan di Kangar.

5. Hampir sebulan selepas itu, semasa tugasan mengadili pertandingan Piala Emas Raja-raja antara Kelantan dan Wilayah Persekutuan KL, saya diberitahu untuk hadir dalam satu perbicaraan kes  kad merah saudara Ibrahim Saad itu. Sekali lagi perasaan gementar menguasai diri kerana tentu akan berhadapan dengan pemain Perlis itu sekali lagi.

6. Rupanya dalam permainan bolasepak, kemarahan kita hanyalah pada waktu itu sahaja. Di waktu yang lain kita seperti orang lain juga, tiada perasaan dendam dan marah lagi. Saudara Ibrahim Saad dapat berbujal mesra dan sempat pula amengajak saya pulang bersamanya ke utara walaupun beliau didapati bersalah dan dihukum penggantungan selama 18 bulan. Dengar kabar beliau terus meninggalkan arena bolasepak selepas itu.

7. Itulah bolasepak sebenarnya!

8. Jadi orang dan peminat pasukan Terengganu bolehlah meniru sikap ketua pasukan Perlis ini. Usah simpan dendam kerana bolasepak adalah ‘sukan persahabatan’. Berfikirlah dengan waras dan matang. Usahlah tarik diri seperti kanak-kanak yang bermain dengan kawan-kawan mereka.

No comments:

Post a Comment