Friday, April 24, 2015

BAHASA MELAYU: JANJI HANYA TINGGAL JANJI

1. Sudah agak lama tiada siapa yang memperkatakan tentang bahasa Melayu atau bahasa Malaysia ataupun bahasa kebangsan. Mungkin semua sudah jemu ataupun sudah tidak sensitif lagi tentangnya apabila teguran demi teguran seolah-olah mencurah air ke daun keladi dan mungkin juga seperti kata sesetengah orang apa yang dicakapkan seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Siapa lagi yang peduli apa akan jadi dengan bahasa rasmi negara ini biar apa namanya sekalipun?

2. Sudah berapa kali janji-janji ditaburkan. Sudah berapa kali ikrar dimeterikan namun bahasa kebangsaan tetap juga tidak dimartabatkan. Setiap kali melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan, menteri dan pihak berkaitan melafazkan macam-macam sumpah demi memartabatkan bahasa Melayu tetapi semuanya hanyalah janji kosong sahaja, sekadar memaniskan telinga orang yang mencintai bahasa. Akhirnya mereka sendiri yang tidak mahu menggunakan bahasa yang kononnya hendak dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia.

3. Para pemimpin itu sendiri yang tidak mahu menggunakan bahasa Melayu seolah-olah tidak yakin dan tidak percaya keupayaan bahasa itu biarpun berdepan dengan rakyatnya sendiri. Mereka seolah-olah malu menggunakan bahasa itu malah lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris dengan anganan dilihat lebih tinggi martabatnya berbanding orang lain.

4. Lihat saja melalui televisyen samada saluran kebangsaan atau saluran-saluran berbayar yang lain. Jika tiba slot ‘detikniaga’, pasti bukan berbahasa Melayu lagi seolah-olah bahasa itu tidak berguna langsung dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Malah hendak mengumumkan nasib pencarum KWSP yang menjadi isu hangat sekarang inipun, bahasa Inggeris juga yang digunakan mereka. Begitu juga sewaktu melancarkan program ‘Investment Malaysia’, tiada bahasa Melayu digunakan padahal yang hadir adalah semuanya syarikat Malaysia yang dikuasai juga oleh rakyat Malaysia.


5. Jadi di manakah bahasa Melayu hendak digunakan? Mungkin hanyalah di kedai-kedai kopi. Para pemimpin usahlah hanya pandai berjanji kalau tidak boleh ditepati. Akhirnya janji hanya tinggal janji.

Sunday, April 19, 2015

TEMPOH WAJAR YANG MACAM MANA LAGI?


1. FAM sebuah badan sukan yang bertanggungjawab dalam semua aspek permainan bolasepak. Bermula dengan pentadbiran, seterusnya mengenai pengurusan, penubuhan pasukan, latihan, kejohanan, kejurulatihan, pengadilan dan juga pembangunan bolasepak, semuanya berada di bawah tangan FAM. Hebat sekali dan sudah tentulah badan ini memerlukan kewangan yang bukan sedikit. Tetapi itu bukan masalah bagi FAM. 

2. Namun FAM tidak mahu belajar dari kesilapan-kesilapan lalu terutama dalam aspek penubuhan pasukan. Kelemahan menubuhkan pasukan terbaik semakin turun grafnya sehingga kedudukan negara dalam arena bolasepak antarabangsa kian menurun dari setahun ke setahun. baru-baru ini jatuh ke tangga 164 malah lebih rendah dari negara Asean yang lain.

3. Apa sudah jadi?

4. Pertukaran demi pertukaran jurulatih tidak membawa sinar kepada FAM malah semakin menjunam 'ranking'nya. Apa tidaknya, lihat saja sekarang. Dolah Salleh tidak berupaya mengembalikan kegemilangan apatah lagi meningkatkan 'ranking' itu. malah setiap kali berlaku pertukaran jurulatih, benda yang sama juga diperkatakan, "Berilah masa", "Berilah peluang" kepada jurulatih baru itu.

5. Akhbar hari ini mendedahkan perekara yang serupa. Kita diminta memberi masa yang lebih panjang kepada Dolah Salleh melakukan persiapan pasukan. Lebih masa yangt bagaimana lagi? Beliau bukan orang baru dalam bolasepak. Beliau bukan sebulan dua menjadi jurulatih. Pengalaman yangf ada pada diri Dolah Salleh bukan sedikit. Kalau setiap kali dilantik jurulatih kita mesti beri masa membentuk pasukan, mencuba pemain baru, beri peluang atur strategi, sampai bila tahap bolasepak negara macam itu juga.

6. sepatutnya beliau sudah tahu mana pemain yang berpotensi. Beliau sudah patut masak dengan strategi dan beliau tentu sudah tahu macam mana hendak menggilap permainan. Begitulah sepatutnya jurulatih yang punya pengalaman. kalau setiap kali tukar jurulatih baru nak mengkaji pemain yang bagus, baru nak susun strategi dan mesti beri masa, siapapun boleh jadi jurulatih.

7. Percayalah, bolasepak Malaysia sebenarnya tidak perlu menunggu masa lagi. Dan jurulatih usah ambil terlalu banyak masa.

Thursday, April 16, 2015

MELAYU MEMANG BANGSA TAK TAHU MALU


Dua hari lepas keluar dalam Utusan Malaysia tentang gusarnya seorang berbangsa India melihat bangsa Melayu berpecah. Akibat serangan demi serangan Tun Mahathir terhadap DS Najib, India ini merasa bimbang bangsa Melayu akan lebih teruk berbalah dan berpecah kepada puak-puak tertentu. India tersebut adalah Senator S. Nalakarupan.

Bangsa lain pula ayang terasa susah hati melihat Melayu berbalah. Ada saja benda yang membuat pihak-pihak tertentu tidak berpuas hati dan memnajdikan ia punca untuk kata-mengata yang akhirnya tidak menguntungkan sesiapa.

Melayu masih juga tidak sedar, sudahlah dipisahkan dengan ideology politik yang bermacam-macam, dalam satu ideology pun masih nak berbalah tentnang fahaman yang berbeza pula. Ada saja benda hendak dijadikan modal ‘berkelahi’ sesama sendiri.

Alangkah baiknya pakat duduk elok-elok dan berbincang baik-baik. Dr Msepatutnya menjadi mentor dan sentiasa member nasihat bukan menghentam tak tentu arah dalam media yang terbuka. DS Najib juga harus merendah diri berjumpa dan meminta nasihat sebagai ‘mentee’.

Bertindaklah seolah-olah murid dan guru.


Melayu memang bangsa tak tahu malu.

Tuesday, April 14, 2015

ADAKAH MEREKA DIJAMIN SELAMAT?


Foto ini menjelaskan segala-galanya tentang kehidupan manusia dalam usaha mencari rezeki yang halal. Bayangkan berapa sangatlah pendapatan mereka sebagai pekerja mengumpul dan membuang sisa domestik di rumah-rumah taman perumahan. Pendapatan asas di tambah dengan elaun lebih masa dan apaa-apa elaun lagi, hanya mencecah seribu lebih sahaja. itulah wang titik peluh untuk dikongsikan dengan keluarga masing-masing.

Syarikat Environment-Idaman boleh menceritakan segala-galanya. Mereka yang membayar gaji dan mereka juga yang mengambil orang-orang ini berkerja.

Tetapi kalau begini keadaan kemudahan kerja mereka, di mana jaminan keselamatannya? Selamatkah mereka menaiki kenderaan begini sewaktu bertugas? Berdiri dan berpegang pada galangan besi di sisi lori tanpa pengadang atau sebarang pagar. Bayangkan apa akan terjadi andainya ketika ini ada yang sesak nafas ataupun lebih teruk lagi ada yang kena serangan jantung?

Pihak yang berkenaan khasnya syarikat Idaman ataupun Pihak Majlis Daerah (PBT) sepatutnya lebih perihatin menjaga keselamatan pekerja mereka. sediakan tempat duduk atau setidak-tidaknya pagar ataupun palang besi agar mereka tidak terjatuh. Malang tidak berbau dan apapun boleh berlaku pada bila-bila masa.

saya amat bersimpati dengan mereka tetapi apa boleh masyarakat buat selain meluahkan rasa bimbang dan menaruh harapan agar malang tidak berlaku. biarlah mereka selamat tetapi sebagaimana yang dikatakan tadi, "Malang Tidak Berbau".

Saturday, April 11, 2015

KHUTBAH ATAU CERAMAH POLITIK?

Jika kita hadir di mana-mana masjid menunaikan solat Jumaat, sudah semestinya bacaan khutbah tidak lepas dari pendengaran kita. Malah khutbah Jumaat boleh dianggap sebagai medan menyampaikan maklumat dan nasihat kepada hadirin dan sesiapa saja yang mendengarnya. Dan ketika hadirin yang dating memenuhi ruang masjid pastinya ingin mendengar sesuatu yang bernilai dalam suasana yang tenang dan damai.

Tetapi jika bacaan khutbah begitu kuat dan lantang sehingga membingitkan telinga sudah pasti tidak dapat mententeramkan hadirin. Khutbah yang disampaikan secara terjerit-jerit sudah pasti memberikan suasana tidak selesa pada para hadirin. Orang datang ke masjid untuk mendengar nasihat, maklumat dan ilmu, bukannya mahu mendengar ceramah politik yang tidak kena tempatnya.

Itulah yang berlaku di masjid Taman Semilang, Seberang Jaya Jumaat lalu (10.04.15). khatib terjerit-jerit menyampaikan ulasan peribadinya tentang  GST. Menurutnya kerajaan yang dipilih sebahagian rakyat telah berlaku zalim kerana melaksanakan GST ketika rakyat menderita kesusahan. Malah sepanjang khutbahnya, tidak ada ilmu untuk para hadirin selain fitnah dan persepsi. Khatib asyik mengutuk kerajaan dan pemimpin negara berlaku zalim dengan pembelian jet, BRIM yang terlebih bayar, kejatuhan nilai ringgit dan juga tentang kos dandanan rambut isteri seorang pemimpin.


Beliau langsung tidak peka tentang hadirin yang hadir ke masjid Taman Semilang, Seberang Jaya itu bukan semuanya ahli PAS atau PKR yang mahu mendengar fitnah dan persepsi. Malah bukan juga semuanya rakyat Malaysia untuk  disumbat telinga mereka dengan suasana politik tanahair. Dan khutbah itu pula lebih dari 30 minit lamanya tanpa memikirkan para jemaah yang akan balik bertugas di tempat kerja masing-masing.

Itulah najisnya politik. Tidak kira di mana, asyik mengotorkan pemikiran manusia. 

Friday, April 10, 2015

HIJAU KUNING DALAM INGATAN


Biarpun sudah belasan tahun meninggalkan padang bolasepak, Hijau Kuning tetap juga dalam ingatan. Ditambah lagi apabila baru-baru ini berpeluang memiliki senaskah 'Majalah Rasmi Bola Sepak Kedah Darul Aman' dari seorang kenalan, ingatan itu sangat mengesankan. Dahulu juga aku sendiri memang terlibat secara tidak langsung dalam pengeluaran majalah seperti ini. Tetapiu dahulu hanyalah 'Buletin KFA'. Isinya dan persembahannya tidak sebegini.

Arena Hijau Kuning ini ternyata lebih eksklusif dan lebih menarik. Apa tidaknya, dengan kemajuan teknologi digital dan juga perkomputeran sekarang, persembahan menjadi lebih mantap dan menarik dengan foto-foto dan rencana yang mengesankan. Dahulu kami hanya menaip dengan mesin taip dan kalau ada foto hanyalah dalam bentuk yang kurang menarik.

seperti biasa, ketika dalam Buletin KFA, saya hanya menulis fokus menarik dalam bidang pengadilan sahaja. Itupun bukannya ada dalam setiap keluaran. Dalam sebulan dua, mungkin sekali sebab pengeluaran buletin itu terhad dan dalam keadaan kekangan masa dan tugas yang lain. sejauh yang saya ingat, saya hanya menulis dan menyampaikan idea tetapi disiarkan atas nama Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA pada masa itu, Allahyarham Encik Hamzah.

Salah satu tulisan saya yang sangat saya ingati adalah tentang program 'Pengadil Remaja', dan isu ini pernah dibawa dalam mesyuarat majlis KFA dan pernah juga diadakan satu seminar di Yan, Kedah atas judul 'Seminar Pengadil Remaja'. Malangnya apabila idea ini dibawa ke FAM, ianya dibakulsamapahkan begitu sahaja.

Tetapi itu semua adalah kenangan. Ada banyak lagi perkara-perkara yang berkaitan yang orang tidak tahu. Mungkin saya boleh tuliskan di lain masa. Buat masa ini 'Arena Hijau Kuning' perlu disokong oleh para peminat pasukan Kedah Daru Aman. Sayangnya tiada langsung ruang untuki bidang pengadilan. Sekurang-kurangnya tuliskan sedikit berita tentang 'Manusia Berbaju Hitam' itu.

Sekian. jumpa lagi di lain masa.