1. Langkah
persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memperkenalkan logo baru sebagai salah satu
langkah penjenamaan semula pasukan bolasepaknya harus disambut baik oleh semua
pihak yang mencintai pasukan tersebut. Ini bukanlah kali pertama logo persatuan
itu ditukar. Dahulupun pernah berlaku semasa bolasepak Malaysia melangkah ke
era Semi-Pro lebih satu dekad yang lalu. Ketika itu tiada pihak yang menentang
atau bercadang memboikot pasukan kesayangan mereka.
2. Biarlah
KFA menguruskan persatuan dan juga pasukan asalkan ia kembali menjadi pasukan
yang sukar ditandingi. Biarlah Kenari diganti dengan Helang. Biarlah Alamanda
diganti dengan Tangkai Padi. Ia akan tetap menjadi pasukan yang dipuja dan
disegani. Asalkan slogan Biar Jasa Jadi Kenangan masih berkumandang. Asalkan
warna keramat Hijau Kuning masih menjadi kebanggaan.
3. Biar
apapun, sejarah penciptaan logo sebelum ini harus diingat. Jangan terlalu
diperlekeh seolah-olah ia dihasilkan sekadar mahu mencipta logo. Ia ada mesej
tersendiri yang orang tidak faham. Kata-kata Datuk Othman Aziz tentang lakaran
Bunga Alamanda yang dikaitkan dengan status ‘Mat Bunga’ dalam pasukan bolasepak
Kedah sebagai satu usaha menjatuhkan air muka Allahyarham Datuk Ahmad Basri
Akil selaku individu yang beetanggungjawab dalam penghasilan logo lama itu.
4. Mungkin
Datuk Othman tidak sedar atau tidak tahu langsung siapa kumpulan yang mencipta
logo tersebut. Sebagi individu yang terlibat dalam penghasilan logo lama
tersebut, saya amat terkilan dengan kenyataan Datuk Othman Aziz dalam Utusan
Malaysia baru-baru ini.
5. Semasa
berbincang untuk menghasilkan logo itu, sesudah diputuskan pemilihan warna
Hijau-Kuning sebagai warna rasmi pasukan, kami memutuskan pula elemen yang
patut dimasukkan di dalam logo tersebut. Semua Ahli Majlis ketika itu mahu elemen
padi dikekalkan tetapi Datuk Ahmad Basri mencadangkan bunga alamanda kerana
alamanda sentiasa berwarna hijau dan kuning berbanding padi yang warnanya tidak
menentu, ada ketika hijau dan ada ketika ia kuning. Akhirnya semua yang
terlibat termasuk Datuk Radzi Bashir, Datuk Shukri Hashim dan beberapa orang
yang lain bersetuju dengan cadangan itu.
6. Malah
pemakaian 11 garis sempadan bentuk logo itu melambangkan sebelas daerah di
negeri Kedah dengan mengambil kira daerah kecil Pokok Sena sebagai satu daerah.
Tidak terlintas langsung status ‘Mat Bunga’ yang Datuk Othman Aziz suarakan.
Jadi berhati-hatilah membuat kenyataan agar tidak menyentuh mana-mana pihak.
Malah dengan logo yang dikatakan tidak bermaya itu juga pasukan Kedah Berjaya
melakar sejarah kebangkitan yang hebat dalam kancah bolasepak Malaysia.
No comments:
Post a Comment