Malam tadi jika mata ini masih terang, jika mata ini tidak rabun, slot Buletin Utama menyiarkan berita Tan Sri Muhyiddin Yassin beercakap bahasa Inggeris lagi semasa mengadakan sidang akhbar mengenai aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah. Beliau bercakap atas kapasiti sebagai Menteri Pelajaran Malaysia.
Inikah orangnya yang hendak memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia ini? Baru 1 Oktober lalu beliau melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Kuching, Sarawak, tak sampai sebulan entah berapa kali tidak mahu bertutur dalam bahasa Melayu. Kalau sudah teringin sangat hendak berbahasa Inggeris, tunggulah habis bulan Oktober ini. Dia juga yang beria-ia berucap hendak jadikan bahasa Melayu ini sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia, dia juga yang tidak mahu menggunakannya.
Bercakap dengan wartawan Malaysia sendiri, mengenai aktiviti sekolah-sekolah di Malaysia sendiri, kenapa perlu bercakap Inggeris? Apa kepentingannya? Hendak dunia tahu? Padahal ibu-bapa rakyat Malaysia sendiri yang melihat dan mendengar. Gunakan bahasa Melayu bukankah lebih baik?
Di hari yang sama Datuk Seri Utama Rais Yatim mengingatkan pihak swasta meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam aktiviti mereka, di hari itulah juga Timbalan Perdana Menteri mencemarkan kempen memartabatkan bahasa Melayu. Inilah sikap yang dikatakan 'cakap tak serupa bikin'.
Tidak dinafikan bahasa Inggeris itu penting. Tapi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan dalam kempen Bulan Bahasa Kebangsaan pula, tidakkah boleh pihak kerajaan sendiri menunjukkan contoh terbaik dengan melupakan Inggeris buat sementara? Jika ini tidak dapat dilaksanakan, sia-sia meminta orang lain berbuat demikian.
Inilah dikatakan ayam jantan, kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi!
No comments:
Post a Comment