Saturday, October 31, 2009

SEKOLAH SATU ALIRAN: BUAT DULU BARU TAHU



1. Kita tidak merasa hairan bila cadangan sekolah satu aliran tidak dipersetujui dua pertubuhan bukan Melayu iaitu Dong Zong yang merupakan Persekutuan Perrsatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia dan juga Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Kemudian MCA dan MIC menyusul membantah perkara yang sama.

2. Memang telah dijangkakan akan ada tentangan dari pihak-pihak ini. Mereka tetap mempetahankan budaya dan bahasa ibunda masing-masing tanpa memikirkan ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Lihatlah apa yang berlaku kepada cadangan Sekolah Wawasan yang diilhamkan semasa era Tun Mahathir dahulu, adakah dapat dilaksanakan?

3. Idea Sekolah Wawasan dahulu tidak meminggirkan bahasa ibunda masing-masing. Mereka boleh teruskan dengan aliran masing-masing tetapi berada di bawah pentadbiran pentadbiran yang sama. Para pelajar dari berbagai bangsa dan aliran ditempatkan di satu sekolah di bawah satu pentadbiran. Itupun mendapat tentangan sehingga kerajaan terpaksa melupakan terus Sekolah Wawasan tersebut.

4. Sekolah satu aliran ini juga tentulah akan ditentang golongan ini kerana hanya aliran bahasa kebangsaan sahaja yang digunakan, tidak ada lagi SJK Cina dan Tamil. Bahasa ibunda hanyalah dipelajari sebagai satu matapelajaran sahaja. Jadi penolakan oleh persatuan-persatuan dan parti-parti politik ini memang telah dijangkakan.

5. Bila wujud sekolah satu aliran sudah pasti Dong Zong dengan sendirinya tidak wujud lagi. Dan mereka yang berkepentingan dalam persatuan ini akan kehilangan pengaruh dan populeriti. Begitu juga dengan Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Mana ada Guru Besar sekolahTamil lagi bila ada sekolah aliran kebangsaan. Mereka akan kehilangan kedudukan dan jawatan.

6. Amaran Samy Vellu ‘…jangan menjolok sarang tebuan’ perlu dilihat sebagai langkah memikat semula hati kaum India berpihak kepada MIC. Tetapi sebenarnya masalah perpaduan nasional semakin meruncing sekaran adalah hasil system yang dibantah itu juga.

7. Selama 53 tahun kita mengamalkan sistem pelbagai aliran, hasilnya hubungan antara kaum hanya nampak elok pada kulitnya sahaja. Semua ini berpunca dari pelbagai kaum yang tidak mahu berkorban. Semua kaum ingin mengekalkan status bahasa ibunda masing-masing lantas tidak mahu menerima bahasa kebangsaan. Selama 53 tahun, Samy Vellu masih tidak fasih menggunakan bahasa Melayu. Itulah hasil pendidikan berbagai aliran seperti yang dikehendaki beliau.

8. Jika pendidikan satu aliran, penggunaan satu bahasa diberatkan dan komunikasi satu bahasa yang mudah difahami menjadi faktor utama ke arah perpaduan di negara ini. Di samping itu kita tidak lupa tentang budaya dan bahasa ibunda mereka. Hal ini harus disedari MIC dan juga MCA. Cuba dahulu baru tahu!

9. Teruskan sahaja hasrat menjadikan sekolah satu aliran ini. Pada peringkat permulaan, memanglah kita akan menghadapi berbagai masalah termasuk rasa tidak puas hati dan masalah ‘tebuan’ yang diperkatakan Samy Vellu itu. Lama-kelamaan saya percaya ianya akan dapat diterima umum.

10. Thailand boleh melakukannya. Indonesia juga boleh melakukannya. Malaysia yang berslogan “Malaysia Boleh” kenapa tidak boleh melakukannya?

BIAR YANG LAYAK SAHAJA BERCAKAP MENGENAINYA



1. Hahahahaha! Hahahahaha!

2. Saya mulakan dengan ketawa besar untuk rencana ini. Apa tidaknya, amat melucukan. Sedar atau tidak, isu ini amat memerlukan kita berfikir sejenak; Betulkah apa yang dikatakan orang ini?

3. Untuk itu, saya petik berita dari Akhbar Berita Harian edisi jumaat 30 Oktober 2009 untuk rujukan anda:

“KUALA LUMPUR: Malaysia dengan kerjasama Sweeden bakal mengadakan pertunjukan fesyen busana Muslim di Monte Carlo, Monaco, tahun depan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata pertunjukan fesyen busana Muslim itu adalah landasan utama bagi memperkenalkan Malaysia sebagai negara Islam selain bertujuan mengutip dana untuk disalurkan pada tabung kebajikan. …………………………Kata Datin Seri seterusnya; “Pendekatan memperkenalkan Islam melalui pertunjukan fesyen adalah strategic kerana ia mampu membuka mata masyarakat luar berhubung etika pakaian umat Islam”…………

4. Memang tidak dinafikan bahawa pertunjukan tersebut amat baik sebagai langkah memperkenalkan fesyen wanita muslim. Ia pernah dibuat di Indonesia. Malah Dubai pernah menganjurkannya.

5. Tujuannya juga amat baik iaitu untuk memperkenalkan fesyen wanita Muslim dan tentang etika berpakaian umat Islam. Tetapi layakkah Datin Seri Rosmah bercakap mengenai etika berpakaian umat Islam? Layakkah Datin Seri Rosmah berbicara tentang cara berpakaian wanita Muslim?

6. Beliau sendiri tidak menampakkan ciri-ciri berpakaian yang beliau mahu perkenalkan kepada masyarakat luar. Barangkali akan kelihatan janggal apabila nanti beliau berucap melancarkan pertunjukan fesyen tersebut di khalayak ‘dunia’ sedangkan cara beliau berpakaian tidak seperti yang diucapkan.

7. Rasanya lebih baik diserahkan tugas bercakap mengenai perkara ini kepada isteri Timbalan Perdana Menteri yang saya rasa memenuhi cirri-ciri yang dimaksudkan. Tidak semua perkara hanya satu orang boleh buat. Biar orang yang lebh sesuai bercakap dan berbuat perkara yang sesuai dengan dirinya.

8. Itulah yang membuat saya ketawa besar!

Friday, October 30, 2009

DEDAHKAN DEMI NEGARA

Sejak bertahun-tahun yang lalu lagi, apabila timbul cerita sengketa dalam Pakatan Rakyat, tidak terlepas fokus utama kepada Parti Keadilan Rakyat yang diterajui Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Fokus tentunya lebih berpusat kepada Penasihat parti itu, Anwar Ibrahim. Kalau dinilai kembali semua kontroversi yang melibatkan PKR, sudah tentu Anwar menjadi watak utama dalam cerita-cerita tersebut.

Sejak PRK Permatang Pauh lagi, sebaik sahaja kempen Anwar bermula, tokoh-tokoh yang tidak sehaluan dengan Anwar muncul seorang lepas seorang. Bermula dengan saudara Ezam Mohhd. Noor, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, diikuti pula S. Nallakarupan yang merupakan teman baik Anwar satu ketika dahulu.

Kedua-dua tokoh ini begitu lantang menyatakan mereka tahu segala rahsia Anwar tetapi tidak pernah dedahkan rahsia-rahsia tersebut. Sampai hari ini, tiada siapa pernah mendengar rahsia itu terpacul di mana-mana. Rakyat yang tidak tahu menahu ternanti-nanti bila rahsia-rahsia tersebut hendak dibongkar.

Dahulu Dr Chandra Muzaffar pernah bertindak serupa, meninggalkan PKR dan selepas it uterus mengkritik Anwar. Beliau juga mengetahui banyak perkara tentang Anwar tetapi tetap membisu seribu bahasa. Tidak pernah terpacul dari mulutnya cerita-cerita sedemikian.

Ezam pernah menyatakan bahawa beliau mahu membongkar segala rahsia besar Anwar apabila tiba masanya. Masa PRK Permatang Pauh beliau berkata begitu juga. Tapi apakah rahsia Anwar itu? Sampai hari ini sudah lebih satu tahun, tak ada juga rahsia tersebut didedahkan.

Yang kita tahu, Anwar masih mengepalai Pakatan Rakyat dengan didokong PAS dan DAP dan beliau semakain ‘galak’ menghuru-harakan negara dengan mengkritik semua perkara baik dan buruk yang keluar dari hasil tangan Najib.

S. Nallakarupan juga pernah mengeluarkan kenyataan demikian tetapi semacam tidak serius.Kata beliau negara ditimpa mala petaka jika Anwar menjadi Perdana Menteri. Tentu kita mahu tahu apa maksud beliau dengan kata-kata tersebut.Tetapi sampai sekarang beliau tidak menghuraikannya.

Beliau juga pernah berkata bahawa ada rahsia di sebalik mengapa terdapat pemimpin dalam PKR yang dilihat mendapat layanan istimewa Anwar. Beliau akan mendedahkannya apabila tiba masanya.

Tapi bila masa yang dimaksudkan Nallakarupan itu? Tunggu sampai negara ini punah dan kacau-bilau baru hendak dedahkan? Jika betul ada rahsia dan rahsia itu adalah sesuatu yang benar, dedahkan sahaja supaya semua rakyat tahu apa yang sebenarnya. Kenapa harus bermain teka-teki dan membiarkan rakyat tertanya-tanya.

Dedahkan rahsia-rahsia tersebut sebelum terlambat. Sebelum nasi menjadi bubur. Dedahkan demi negara tercinta.

Thursday, October 29, 2009

CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Malam tadi jika mata ini masih terang, jika mata ini tidak rabun, slot Buletin Utama menyiarkan berita Tan Sri Muhyiddin Yassin beercakap bahasa Inggeris lagi semasa mengadakan sidang akhbar mengenai aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah. Beliau bercakap atas kapasiti sebagai Menteri Pelajaran Malaysia.

Inikah orangnya yang hendak memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia ini? Baru 1 Oktober lalu beliau melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Kuching, Sarawak, tak sampai sebulan entah berapa kali tidak mahu bertutur dalam bahasa Melayu. Kalau sudah teringin sangat hendak berbahasa Inggeris, tunggulah habis bulan Oktober ini. Dia juga yang beria-ia berucap hendak jadikan bahasa Melayu ini sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia, dia juga yang tidak mahu menggunakannya.

Bercakap dengan wartawan Malaysia sendiri, mengenai aktiviti sekolah-sekolah di Malaysia sendiri, kenapa perlu bercakap Inggeris? Apa kepentingannya? Hendak dunia tahu? Padahal ibu-bapa rakyat Malaysia sendiri yang melihat dan mendengar. Gunakan bahasa Melayu bukankah lebih baik?

Di hari yang sama Datuk Seri Utama Rais Yatim mengingatkan pihak swasta meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam aktiviti mereka, di hari itulah juga Timbalan Perdana Menteri mencemarkan kempen memartabatkan bahasa Melayu. Inilah sikap yang dikatakan 'cakap tak serupa bikin'.

Tidak dinafikan bahasa Inggeris itu penting. Tapi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan dalam kempen Bulan Bahasa Kebangsaan pula, tidakkah boleh pihak kerajaan sendiri menunjukkan contoh terbaik dengan melupakan Inggeris buat sementara? Jika ini tidak dapat dilaksanakan, sia-sia meminta orang lain berbuat demikian.

Inilah dikatakan ayam jantan, kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi!

Wednesday, October 28, 2009

BOLASEPAK: UNDANG-UNDANG HENDAKLAH DITAFSIR DENGAN BETUL

1. Akhir-akhir ini sering terdengar keluhan orang ramai tentang mutu pengadilan bolasepak, baik di arena tempatan mahupun di arena antarabangsa. Keluh-kesah orang tentang mutu pengadilan ini seolah-olah tiada penghujung. Yang terbaru adalah kritikan pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson selepas pasukannya tewas kepada Liverpool beberapa hari lepas.

2. Pada kebiasaannya, yang mengkritik dan menyatakan rasa tidak puas hati ini adalah dari pasukan yang kalah. Berbagai sumpah seranah dihamburkan apabila pasukan piulihan mereka mengalami kekalahan. Ada-ada saja yang pengadil buat tidak betul. Belum pernah dengar lagi pasukan yang menang mengkritik mutu pengadilan. Bagi saya, pengadil bolasepak adalha contoh ‘manusia berani’, berani membuat keputusan spontan tanpa penasihat dan buku rujukan di padang permainan.

3. Yang sebenarnya bukan semua orang memahami undang-undang permainan ini dalam erti kata yang sebenarnya. Semua orang bijak dan dapat faham apabila membaca naskah undang-undang tersebut. Tetapi berapa orang yang dapat mentarsirkannya sepertimana berlaku di dalam padang? Semasa berkursus dan mengambil ujian pengadil kebangsaan dahulu, ada beberapa orang peguam dan doktor berjaya lulus dengan cemerlang tetapi tidak berjaya menjadi pengadil disebabkan tafsiran undang-undang tidak dapat dihayati dengan baik.

4. Memahami undang-undang amatlah mudah. Tetapi menghayati dan memahami tafsirananya membuat orang keliru yang mana betul dan yang mana salah. Jadi memahami tafsiran undang-undang lebih penting daripada memahami undang-undang itu sendiri. Setakat memahami undang-undang sahaja tidak memadai tetapi orang ramai dan juga para pengadil sendiri mesti memahami tafasirannya untuk menjadi lebih beretika semasa mengkritik.

5. Contoh terbesar masa ini ialah kes ‘bola merah’ yang menyebabkan Liverpool tewas kepada Sunderland baru-baru ini sehingga pembaling bola merah itu diancam bunuh oleh penyokong Liverpool. Jika tafsiran undang-undang permainan dapat dihayati dengan betul oleh pengadil dan orang ramai, ia tidak menjadi suatu isu.

6. Tetapi penghayatan tentang tafsiran Undang-undang 10 (Cara Menentukan Jaringan) dalam buku undang-undang permainan bolasepak dan panduan universal yang dikeluarkan FIFA tidak dibuat dengan betul, maka jaringan itu dikira sebagai gol. Seluruh dunia mengiktiraf sebagai satu jaringan tetapi sebenarnya gol itu tidak boleh dikira jika dihayati betul-betul.

7. Di Malaysia juga tidak kurang kritikan serupa ini Cuma para pengurus dan jurulatih tempatan seolah-olah takut menyuarakan rasa kurang senang terhadap mutu pengadilan itu, bimbang tindakan FAM yang menanti mereka jika ianya diluahkan terus-terusan. Ini juga adalah disebabkan kurangnya ilmu tentang tafsiran undang-undang itu.

8. Di pihak FAM pula seolah-olah tidak berbuat apa-apa untuk menangani kegelisahan orang ramai terutama penyokong-penyokong fanatik sesebuah pasukan seterusnya memperbaiki apa yang dikritik ramai. Dan orang ramai membuta tuli mengkritik tanpa mengambil inisiatif menghayati undang-undang permainan agar kritik yang dilemparkan lebih berasas.

9. Sampailah masanya FAM mengorak langkah mengadakan satu ruang di akhbar-akhbar arus perdana untuk membicarakan undang-undang permainan bolasepak agar difahami orang ramai. Semoga dengan memahami undang-undang itu, kuranglah kritik terhadap para pengadil. Semoga dengan cara ini juga dapatlah orang ramai memahami undang-undang permainan nombor satu dunia ini. Setakat menyediakan buletin FAM, berapa kerat sangat orang yang membacanya.

Sunday, October 25, 2009

BAJET

1. Tidak berminat langsung membicarakan ‘BAJET’ yang baru diumumkan Perdana Menteri. Ramai sangat orang lain sudah membincangkannya dalam media, samada media cetak atau elektronik. Pakar-pakar belaka yang memberi pendapat dan pandangan. Cukuplah mereka saja yang berbincang dan memuji dan mengkritik.

2. Apa yang hendak disebutkan di sini adalah tentang perkataan ‘BAJET’ itu. Entah apa bahasa yang digunakan, tiba-tiba muncul perkataan itu? Hendak dikatakan bahasa Inggeris, ejaannya macam Melayu. Hendak dikatakan perkataan bahasa Melayu, bunyinya Inggeris.

3. Ada perkataan BELANJAWAN digunakan BAJET!

3. Inilah sikap para pemimpin kita pada masa ini. Bukan tidak ada bahasa Melayu yang membawa makna yang serupa, tetapi sudah menjadi seperti satu dasar, perkataan Inggeris juga menjadi pilihan. Hendak menampakkan ‘melayu’ ‘BUDGET’ diubah menjadi BAJET. Sifat orang Melayu terasa hina menggunakan perkataan Melayu. Bila gunakan perkataan Melayu seperti hilang ‘glamor’. Terasa lekeh kalau menggunakan ‘BELANJAWAN’.

4. Inilah penyakit para pemimpin Melayu. Entah apa yang hendak diperjuangkan. Entah kepada siapa hendak dimegahkan sedangkan yang mendengar dan melihat semuanya rakyat Malaysia. Belanjawan itu juga untuk rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tnetu lebih faham apa maksud ‘belanjawan’ daripada ‘ bajet’. Orang-orang kampung lebih faham perkataan Melayu daripada perkataan Inggeris.

5. Malam ini, 25 Oktober 2009, Tan Sri Muhyiddin bercakap Inggeris lagi dalam siaran Berita di TV. Itulah orangnya yang mahu memartabatkan bahasa Melayu seperti yang beliau sendiri sebutkan semasa pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Serawak pada 1 Oktober 2009 lalu.

6. Datuk Liew Tiong Lai, Menteri Kesihatan juga berbahasa Inggeris, padahal bahasa Melayu beliau adalah antara yang terbaik bagi kaum bukan Melayu dewasa ini. Kenapa lebih cenderung berbahasa Inggeris?

7. Belum sampai sebulan bulan bahasa dilancarkan, para pemimpin termasuk yang mengepalai pelancaran tersebut terus tidak mahu menggunakan bahasa Melayu yang beliau suruh orang ramai gunakan. Sampai bila pun bahasa Melayu akan terpinggir jika pemimpin sendiri ‘cakap tak serupa bikin’. Tidak usah hendak berpura-pura, sebenarnya para pemimpin tidak sayang bahasa Melayu lagi.

DENDAM TUAN GURU

1. Apabila Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat serius mahukan satu Muktamar Agung Khas PAS segera diadakan, saya tidak melihatnya dari sudut parti itu dilanda krisis kepimpinan yang serius seperti anggapan kebanyakan orang. Walaupun kemungkinan krisis itu benar, saya melihatnya dari sudut yang lain.

2. Gesaan Tuan Guru itu saya pandang sebagai mesej betapa berdendam dan bencinya Tuan Guru kepada UMNO. Beliau benar-benar ‘berkerat rotan berpatah arang’ dengan UMNO yang sama sebangsa dengannya. Kemarahan dan kebencian ini semakin menjadi-jadi sehingga sanggup melabel UMNO sebagai ‘parti sesat’ yang tidak membawa ke syurga.

3. Pintu rundingan dengan parti Melayu terbesar itu (UMNO) ditutup terus dan tidak ada sebarang muzakarah lagi kerana bagi beliau parti UMNO tidak berlandaskan Islam dan tidak berjuang untuk menegakkan agama Allah. Gagasan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan seperti cadangan presiden PAS, Haji Hadi Awang ditendang terus dari perbincangan.

4. Berpegang dari perkara itulah juga gesaan Muktamar Agung Khas ini dilontarkan beliau dan tidak ada ruang untuk bertolak ansur lagi walaupun menurut Haji Hadi beliau akan mendengar sendiri pendirian Nik Aziz itu. Tuan Guru berharap muktamar itu dapat membersihkan PAS dari semua nafas-nafas yang mahu menjalin kerjasama dengan UMNO. Beliau mahu muktamar itu menentukan nasib tiga pemimpin yang beliau dapati bermasalah.

5. Begitulah dendam Tuan Guru sehinggakan apa saja yang berkaitan dengan UMNO harus disingkirkan. Pemimpin yang mencadangkan gagasan Kerajaan Perpaduan harus dibuang. Pmimpin yang cenderung berbaik-baik dengan UMNO harus dibuang juga kerana UMNO tidak memperjuangkan Islam kononnya. Muktamar itupun mahu diadakan semata-mata hendak membersihkan PAS dari pemimpin-pemimpin yang pernah cuba berbaik-baik dengan UMNO.

6. Tetapi Tuan Guru Nik Aziz lupa bahawa Melayu yang berada dalam UMNO itu semuanya Islam. Islam seperti Islam PAS juga., menyembah Tuhan yang sama, Allah Subhanahuwata’ala. Sama-sama bersembahyang sehari lima waktu.

7. Namun begitu pada masa yang sama, Tuan Guru sanggup pula berkerjasama dengan DAP yang terang-terang tidak Islam dan meolak sebarang usaha ke arah negara Islam. Sanggup pula beliau mengikat persahabatan dengan PKR yang terang-terang didominasi kumpulan Hindraf yang telah diharamkan yang nyata hanya berjuang untuk kepentingann individu tertentu dan untuk kaum India semata-mata.

8. Tuan Guru juga sanggup lebih ‘mempercayai’ ayat-ayat Quran yang disampaikan politikus berbangsa Cina dan India ini daripada ayat-ayat Quran yang dibaca orang-orang UMNO. Malah Tuan Guru merestui semua kerjasama dengan DAP dan PKR tanpa menoleh ke belakang lagi, tanpa memandang lagi pelaksanaan hukum hudud yang menjadi teras perjuangan asal PAS satu ketika dulu.

9. Begitulah tebalnya kemarahan Tuan Guru kepada UMNO sehingga tiada maaf lagi sehingga beliau pernah mengungkapkan bahawa UMNO bukan parti yang membawa para penyokongnya ke syurga. Yang akan ke syurga hanya yang menyokong PAS.

10. Jika begitu, nampaknya para pendokong dan penyokong PAS sama ada dari PAS, PKR dan DAP berpeluang baiklah dapat memasuki syurga berbanding dengan pendokong dan penyokong UMNO.

Thursday, October 22, 2009

MEREKA TIDAK NAMPAK ATAU SENGAJA TUTUP MATA?



1. Semua orang sedar dan tahu. Orang berjalan kaki sedar. Pemandu kereta juga sedar. Penungang motosikal juga melihatnya. Tetapi bagaiamana Majlis Daerah Yan tidak nampak perkara ini? Bagaimana mereka tidak tahu tentang hal ini sedangkan saban hari meeka melalui jalan ini?

2. Inilah yang menjadi persoalan ramai orang sejak beberapa bulan yang lalu di pekan Guar Chempedak. Ia berlarutan sekian lama, menyebabkan lalu-lintas di sini sering terganggu. Kemalangan juga kerap berlaku. Jalan sesak setiap hari terutama pada waktu tengahari dan petang.

3. Itupun masih tidak dapat disedari Majlis Daerah Yan yang berpegang kepada slogan ‘Daerah Pelancongan, Daerah Bersih’. Ini pun tidak dapat dilihat MDY sejak tahaun lepas lagi. Perkara begini menimbulkan tanda-tanya adakah mereka tidak nampak atau sengaja menutup mata, sengaja tidak mahu melihatnya? Tidakkah merasa malu kepada pelancong atau orang luar yang berkunjung ke daerah pelancongan ini?

4. Peniaga-peniaga dibiarkan meletakkan barang niaga masing-masing di atas jalan menyebabkan jalan semakin sempit. Pejalan kaki mengalami kesukaran takut diseret kereta yang datang dari belakang kerana terpaksa menggunakan laluan kereta untuk melalui kawasan ini.

5. Hal ini ditambah lagi dengan pemandu yang sengaja meletak kenderaan di atas jalanraya semasa turun membeli barang. Ini tidak termasuk lagi lori-lori berhenti memunggah barang betul-betul di atas jalanraya keranan bahu jalan juga sudah ditakluki para peniaga.

6. Kenapa hal ini dibiarkan? Pihak berwajib sepatutnya telah lama bertindak mengarahkan para peniaga ini mencari tempat lain selain jalanraya. Pihak polis yamg bertanggungjawab tentang lalulintas diharap dapat mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu yang sengaja berhenti mengganggu lalu-lintas di situ.

7. Yang menghairankan, tidak sampai satu kilometer dari situ terdapat Pasar Tani dan Pasar Borong yang canggih dan serba moden. Bukankah di situ lebih sesuai peniaga-peniaga itu ditempatkan?

8. Sampai hari ini para pengguna jalanraya masih tertanya-tanya apakah peranan MDY sehingga tidak mempedulikan rungutan orang ramai. Apa yang menyebabkan para peniaga ini terlalu istimewa sehingga dengan rakus menguasai kawasan ini?

9. Siapa yang sepatutnya bertindak?

Wednesday, October 21, 2009

BULAN BAHASA 'ALA MALAYSIA'

1. Apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin melanarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Kuching, Sarawak pada 1 Oktober lalu, dapatlah dianggap betapa seriusnya kerajaan mahu memartabatkan bahasa Melayu. Sesuailah dengan termaktubnya ia dalam perlembagaan sebagai bahasa rasmi negara Malaysia.

2. Setelah 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, kita masih tercari-cari formula bagaimana hendak memperkasakan bahasa Melayu di tanah airnya sendiri. Kononnya bahasa Melayu adalah bahasa keempat terpenting di dunia dituturkan jutaan manusia terutama di negara-negara rumpun Melayu. Kononnya juga bahasa itu hendak dimartabatkan sebagai bahasa dunia dan bahasa ilmu.

3. Alangkah ironinya dan rakyat Melayu menanti-nanti bila saatnya ‘impian’ itu termakbul. Ditambah pula dengan kesungguhan kerajaaan terhadapnya yang dilihat dari nada ucapan dan majlis-majlis yang diadakan berkaitan dengan bahasa akhir-akhir ini, sangat memberangsangkan. Tetapi itulah sahaja yang disajikan kepada kita kerana akhirnya semua berbalik kepada asal.

4. Alangkah sedihnya, Bulan Bahasa hanya sekadar ‘dilancarkan’, beritanya menghangatkan akhbar-akhbar esoknya dan lepas itu pada hari yang sama semua pihak berbalik kepada amalan yang biasa. Bulan Bahasa Kebangsaan seolah-olah hanuya sekadar memenuhkan takwim semata-mata. Lebih ironi dikatakan ‘gimik’ semata-mata. Sambutan bulan bahasa benar-benar ‘ala Malaysia’. Riuh sehari, kemudian semua pihak lupa peranan yang patut dimainkan untuk merealisasikan impian menjadikan bahasa Melayu bahasa dunia dan bahasa ilmu.

5. Para pemimpin tetap juga dengan kebiasaan, masih menggunakan bahasa Inggeris walaupun dalam acara-acara rasmi di Malaysia atau semasa sidang akhbar dengan wartawan Malaysia saendiri. Para korporatis dan para ilmuwan tetap juga tidak mahu menggunakan bahasa Melayu walaupun bahasa Inggeris yang dituturkan agak tergagap-gagap.

6. Tidak ada satupun aktiviti memenuhkan Bulan Bahasa Kebangsaan itu yang boleh dibanggakan. Tidak ada juga komitmen yang menuju kea rah memartabatkan bahasa Melayu seperti yang diperkatakan selain menyerahkan kepada DBP dengan janji memberi kuasa yang lebih kepada badan itu.

7. Sepatutnya semua pihak memainkan peranan masing-masing kerana usaha ini melibatkan semua peringkat dan golongan rakyat. Bermula dari para pemimpin sampailah kepada rakyat jelata hendaklah serius menggunakan bahasa Melayu dalam sebarang aktiviti.

8. Ada beberapa saranan yang boleh diaplikasikan sebagai menggambarkan kita menyambut bulan bahasa yang baru dilancarkan. Walaupun agak keterlaluan tetapi hanya untuk bulan ini sahaja dalam setahun.

8.1. Para pemimpin hendaklah berhenti bercakap bahasa yang lain selain bahasa Melayu. Sebarang ucapan, taklimat dan surat menyurat dibuat menggunakan bahasa Melayu juga.

8.2. Siaran TV dan radio hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya termasuk iklan-iklan dan berita kecuali program-program import. Berita Tamil. Manderin dan Inggeris hendaklah dihentikan buat sementara. Rakyat kaum-kaum ini tentu faham sebarang maklumat dalam bahasa Melayu sekiranya selalu terdedah dengan bahasa tersebut.

8.3. Rakyat dari kaum-kaum yang lain mestilah sanggup berkorban sedikit mengenai bahasa ini kerana bumi ini akhirnya menjadi bumi kita bersama, sepatutnya kita menggunakan bahasa yang sama.

8.4. Rakyat Melayu sendiri mestilah jangan merasa sangsi lagi dan sentiasa berusaha menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Berhenti mengamalkan ‘bahasa rojak’ yang dituturkan selama ini.

9. Jika ini dapat kita lakukan, barulah orang nampak kita serius dengan apa yang kita katakan. Orang nampak kita bukan main-main, kata dikota. Apa yang berlaku sekarang, selepas bulan bahasa dilancarkan, kita terus ghairah menggunakan bahasa Inggeris. Apa yang disarankan hanyalah untuk bulan bahasa ini iaitu bulan Oktober sahaja. Memang bahasa Inggeris itu penting, tetapi apa salahnya bahasa Melayu diletak di persada paling atas selama sebulan sahaja dalam setahun?

10. Lama kelamaan, rakyat dari segenap lapisan menjadi biasa dengan penggunaan bahasa Melayu. Rakyat akan tahu setiap kali tiba bulan Oktober, bahasa Melayu tetap di hati walaupun pada bulan-bulan yang lain bahasa Melayu ini tidak dipedulikan.

11. Indonesia boleh melakukan terhadap bahasa Indonesia. Thailand boleh melakukan terhadap bahasa Thai. Kenapa Malaysia tidak boleh? Semuanya terletak pada kita.

12. Sekarang ini kita tidak lebih seperti ayam jantan, kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

Monday, October 19, 2009

DEWAN ULAMA UMNO

1. Perhimpunan UMNO sudah pun berlalu pergi. Rumusan-rumusan ke arah perubahan serta usaha memperkasakan UMNO telah dibahaskan dengan ucapan-ucapan yang berdegar-degar. Bingit dan menggamatkan sebagaimana lazimnya dengan pantun dan seloka, dengan nada dan irama bahasa, dengan ketawa dan jenaka. Dan sebagaimana biasa kononnya ahli-ahli semakin matang berbahas tapi orang lihat seperti para badut dalam sarkas.

2. Salah satu rumusan yang menarik adalah cadangan menubuhkan Dewan Ulama. Walaupun kemurnian penubuhannya amat nyata, tetapi ramai yang masih tertanya-tanya tentang fungsinya. Adakah ia sama dengan Dewan Ulama PAS? Adakah fungsinya hanya menghimpunkan pemikiran ulama-ulama yang ada di dalam UMNO kemudian membuat rumusan mengikut acuan UMNO? Beranikah Dewan Ulama ini memperbetulkan atau menegur segala yang tidak ‘islamik’ yang muncul dalam parti?

3. Jangan pula semata-mata hendak mengikut parti lain yang mempunyai Dewan Ulama, maka UMNO juga hendak menubuhkan dewan yang serupa, tetapi fungsinya entah apa-apa. Kalau dewan itu ditubuhkan sekadar hendak meniru orang lain, tanpa ada apa-apa matlamat, lebih baik tidak usah. Buat diketawakan orang.

4. Ada beberapa andaian telah diperkatakan tentang peranan Dewan Ulama UMNO ini. Cuma disangsikan, dapatkah mereka melakukan perkara-perkara berikut sebagai satu langkah perubahan dalam UMNO. Kita bukan mahu UMNO berubah penampilan dengan berketayap putih atau berjubah labuh seperti kalangan ahli PAS. Kalau perkara asas inipun tidak dapat dilakukan, lebih baik lupakan saja hasrat tersebut. Buang masa sahaja.

4.1. Tentang menutup aurat

Perkara ini menjadi tunjang dalam proses perubahan yang patut menjadi peranan Dewan Ulama. Dapatkah dewan ini memastikan tentang perkara ini akan menjadi ia lebih dihormati. Dapatkah dewan ini mengubah wanita dan puteri UMNO memakai tudung sebagai satu cara menutup aurat wanita? Walaupun perkara ini dianggap kecil, tetapi itulah yang menjadi fokus masyarakat umum. Buat masa sekarang, tidak menutup rambut adalah sesuatu yang amat janggal dalam kalangan wanita Islam. Dapatkah Dewan Ulama UMNO menyedarkan ahli dan para isteri mereka tentang perkara ini?

4.2. Tentang rasuah

Dapatkah dewan ini memperkasakan ahlinya terutama para pemimpin supaya merasa jijik dengan amalan rasuah yang menjadi bualan semua orang akhir-akhir ini? Sedikit sebanyak isu rasuah telah mencalarkan reputasi UMNO sejak sekian tahun kebelakangan ini. Walaupun ada individu telah diisytihar sebagai bersih, tetapi kesan rasuah amat dalam parutnya. Lantaran itu bila calon yang menang dalam PRK Bagan Pinang agak kurang dihormati.

4.3. Tentang generasi muda

Berupayakah dewan ini mengubah persepsi generasi muda mendokong budaya Islam dan mengalihkan perhatian mereka daripada mengagungkan budaya Barat yang ternyata melemahkan jatidiri mereka? Dapatkah dewan ini menyahut cabaran bahawa anak muda telah berubah ke arah lebih Islamik sejak menjadi anggota atau menjadi penyokong UMNO seperti yang disebut Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam kolumnya dua minggu lalu?

5. Jika perkara-perkara semudah ini tidak dapat dilakukan, jika selepas ada Dewan Ulama, masih juga dengan kerja-kerja yang sama seperti hari ini, lebih baik jangan ditubuhkan Dewan Ulama seperti yang dicadangkan nanti orang ketawa kepada UMNO. Apa yang akan dianggap adalah tidak lebih sebagai gimik sahaja untuk menyedapkan hati orang mendengar. Cakap berdegar-degar, balik kampung perangai macam itu juga, tidak berubah.

6. Nanti kata orang UMNO tak ubah seperti ayam jantan, ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Wednesday, October 14, 2009

PERUMAHAN GURU: SATU PEMBAZIRAN KERAJAAN


(Inilah antara kompleks yang dimaksudkan. Terbiar dan usang. Sakit mata memandang)


1. Langkah kerajaan melalui Kementerian Pelajaran (dahulu disebut Kementerian Pendidikan) menyediakn rumah untuk guru-guru amatlah dihargai dan dialu-alukan. Malangnya projek perumahan tersebut yang telah siap beberapa tahun lalu dianggap membazir sahaja dan tidak relevan dengan keadaan masa sekarang.

2. Ini barangkali disebabkan lambatnya pihak kementerian dan kerajaan khususnya bertindak memenuhi permintaan kaum pendidik yang amat memerlukan rumah satu ketika dahulu bagi melancarkan tugas yang memerlukan mereka tinggal berhampiran sekolah. Kelewatan melaksanakan projek ini menyebabkan apabila ia siap, tiada pula orang yang hendak mendiaminya.

3. Hampir setiap Daerah Pendidikan di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya satu kompleks yang terdiri dari dua hingga empat blok apartmen 5 tingkat. Ada daerah yang mempunyai dua kompleks begini mengikut kapasiti sekolah-sekolah di situ.

4. Sekarang ini kompleks-kompleks tersebut kosong sahaja tidak berpenghuni. Ianya samada telah rosak atau usang begitu sahaja akibat tidak digunakan. Ada juga yang telah dicerobohi kerana tidak ada pengawsasan telah dan kehilangan beberapa peralatan dan barang-barang yang disediakan.

5. Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlaku keadan demikian:

5.1. Kerajaan lambat memulakan projek ini iaitu selepas hampir 20 tahun permintaan para pendidik yang memerlukan rumah aakibat kekurangan projek perumahan dan juga syarat ketat untuk membuat pinjaman membeli rumah (Ketika itu pegawai mesti berusia 30 ke atas baru dikira layak memohon pinjaman).

5.2. Kebanyakan guru sekarang telah mempunyai rumah sendiri samada di bandar berdekatan atau di kampung masing-masing atau menyewa rumah-rumah persendirian yang berhampiran.

5.3. Sekiranya tinggal di rumah yang disediakan ini, gaji mereka dipotong semua elaun perumahan dan COLA yang didapati melebihi kadar sewa rumah-rumah persendirian yang lain (Contohnya guru DG44 akan kehilangan RM500 sedangkan sewa rumah persendirian baru sekitar RM300).

6. Kesan dari itu, kita dapat lihat bangunan kompleks perumahan guru ini lengang dan usang. Tidak ada penjagaan dan pengawasan sebab tidak ada penghuni. Ia dikelilingi semak samun dan ada yang menjadi sarang kutu rayau dan penagih dadah.

7. Ini dapat dielakkan kalau kerajaan mengkaji semula pemotongan elaun perumahan dan COLA pegawai-pegawai yang berkeinginan tinggal di situ. Beri kelulusan mereka tinggal di situ dengan kadar sewa yang munasabah bagi satu-satu kawasan ataupun satu piawai yang tidak membebankan. Bukakan tawaran untuk kakitangan jabatan lain untuk menyewa sebagai tempat kediaman mereka.

8. Dengan cara ini pembaziran dapat dielakkan dan bangunan tidak usang dan rosak begitu sahaja. Semoga perbelanjaan yang telah dikeluarkan berbilion itu berbaloi untuk kegunaan warga pendidik.

Monday, October 12, 2009

BULAN BAHASA BUKAN SEKADAR PESTA SEMATA-MATA

1. Masa belajar dahulu, sekolah saya mengadakan program Bulan Bahasa Inggeris. Masa itu kami para pelajar (dan ada juga kalangan guru) amat tidak senang dengan aktiviti tersebut kerana ia mewajibkan kami menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya selama sebulan. Sama ada semasa pertuturan, pengumuman atau pun semasa perhimpunan sekolah, bahasa Inggeris sahaja yang boleh digunakan dan sesiapa yang didapati menggunakan bahasa lain akan dikenakan denda mengikut jumlah perkataan yang ‘tidak Inggeris’.

2. Begitulah tegasnya pihak pentadbiran sekolah bertujuan meningkatkan penguasaan kami dalam bahasa terebut. Walaupun hanya sebulan sahaja, kesannya amat ketara dan semua warga sekolah patuh kepada program tersebut demi memartabatkan bahasa tersebut pada ketika itu.

3. Apabila tiba bulan yang lain, bahasa lain pula menjadi keutamaan. Begitulah bergilir-gilir antara bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Akhirnya kami dapat memahirkan diri dengan bahasa-bahasa tersebut. Betapa seriusnya pihak pentadbir sekolah melaksanakan program tersebut dan betapa serius pula kami memanfaatkannya.

4. Begitulah diharapkan apabila Tan Sri Muhyiddin Yasin, TPM melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Sarawak baru-baru ini. Kalau setakat melancarkan dan selepas itu tiada apa-apa aktiviti ke arah memartabatkannya, ia menjadi sebagai satu pesta semata-mata. Tidak ada maknanya bila mengadakan BBK tetapi kita tetap juga seperti asal.

5. Saya petik kata-kata seorang penulis Ku Seman Ku Hussein dalam kolumnya di Mingguan Malaysia Ahad lalu:

“…..usaha memartabatkan bahasa Kebangsaan adalah tanggungjawab kolektif pelbagai pihak terutama sekali kalangan ahli politik…..Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Yasin di Kuching minggu lalu memperlihatkan keseriusan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan.”

6. Malah TPM sendiri menyebut:

“….jika bahasa kebangsaan kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama kelamaan bahasa kita akan hilang kepentingananya. Dan tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan akhirnya akan pupus”.

7. Begitulah kebimbangan Tan Sri Muhyiddin terhadap nasib bahasa Melayu, bahasa keempat terpenting dunia yang termaktub sebagai bahasa kebangsaan dalam perlembagaan Malaysia.

8. Soalnya bagaimana kita hendak hendak mersalisasikan usaha memartabatkan bahasa itu seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Dari apa yang kita nampak sekarang, tidak ada satu pun usaha ke arah itu selain acara pelancaran BBK tersebut. Kehidupan harian kita tetap serupa juga. Aktiviti kita berinteraksi tetap sama seperti sebelum BBK.

9. Kata-kata Dr. Firdaus Abdullah boleh diambil sebagai peringatan:

“…….Jika kita ingin bahasa Melayu menjadi bahasa dunia, bahasa itu terlebih dahulu mesti diperkasa, dihormati dan dihargai di negara Malaysia sendiri”.

10. Tetapi apa yang kita buat untuk memperkasakan bahasa Melayu? Apa yang telah kita buat untuk bahasa itu dihormati dan dihargai? Tidak memadai kalau hanya melancarkan dan sepi begitu sahaja tanpa satu langkah atau tindakan susulan ke arah itu.

11. Buatlah seperti kami buat di sekolah dahulu. Biarlah bulan Oktober ini dipenuhi dengan segala elemen bahasa Melayu. Siaran radio dan TV semuanya dalam bahasa Melayu kecuali program import. Iklan-iklan selain bahasa Melayu jangan disiarkan. Begitu juga dengan siaran berita dan temubual-temubual. Mana-mana individu yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu jangan disiarkan atau ditayangkan. Semua rakyat Malaysia hidup dengan bahasa Melayu sepenuhnya.

12. Para pemimpin dan ahli politik sendiri mestilah tidak ghairah mahu bertutur dengan bahasa Inggeris. Begitu juga tokoh-tokoh koporat semasa menyampaikan apa-apa maklumat. Gunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam bulan Oktober ini.

13. Jika boleh adakan pertandingan-pertandingan bagi kaum-kaum selain kaum Melayu dalam menghayati bahasa Melayu. Adakan Pesta Pantun seperti era 60an dahulu ketika menyambut BBK masa itu.

14. Dengan itu barulah kita nampak betapa seriusnya kita mahu memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia. Selepas itu barulah kita memikirkan ia menjadi bahasa dunia sesudah di negara sendiri ia dihormati dan dihargai.

15. Kalau setakat membuat pelancaran kemudian tidak berbuat apa-apa maka Bulan Bahasa Kebangsaan ini tidak lebih sebagai pesta semata-mata. Samalah seperti kita menyambut hari-hari perayaan yang lain seperti Hari Guru, Hari Jururawat, Hari Tentera dan sebagainya.

Sunday, October 11, 2009

BELAJARLAH DARI MCA

1. MCA telah membuat satu keputusan yang bijak semalam. Walaupun keputusan itu memang di duga, ternyata itulah keputusan terbaik bagi mengembalikan reputasi mereka yang sudah tercalar sejak PRU12 tahun lalu. Sebagai sebuah parti terbesar bagi kaum Cina dan salah satu komponen paling berpengaruh dalam BN, tindakan yang diambil perwakilan semalam adalah wajar dan amat baik. Sekalung tahniah untuk MCA!

2. Semalam MCA menolak kedua-dua pemimpin mereka yang asyik bertelagah ini. Mereka menolak Ong Tee Kiat dan Dr. Chua Soi Lek yang tidak pernah senyap sejak pemilihan MCA yang lalu yang menobatkan Tee Kiat sebagai Presiden dan Soi Lek sebagai Timbalannya.

3. Oleh kerana bukan dari kem yang sama, mereka tidak pernah sunyi dari bertelagah sesame sendiri dan kemuncaknya, Dr. Chua di pecat dari parti. Bertambah parahlah krisis kedua-dua pemimpin ini sehinggalah semalam, para perwakilan mengambil tindakan yang amat terpuji.

4. Lagipun apa gunanya berketuakan seorang yang penuh dengan kontroversi dan bermasalah. Lebih baik berketuakan seorang yang lain yang lebih baik dari kedua-dua mereka itu. Ong Tee Keat dengan masalah PKFZnya manakala Dr. Chua Soi Lek dengan masalah videonya. Kedua-duanya menghadapi masalah moral, jadi adalah lebih baik mereka ditolak.

5. Inilah yang perlu dipelajari oleh parti komponen yang lain jika handak membuat penghijrahan ke arah yang lebih baik. Mana-mana pemimpin yang ada masalah dan kontroversi, harus ditolak sahaja seperti yang MCA lakukan.

6. Baik dalam UMNO atau pun MIC, kedua-duanya mempunyai individu yang bermasalah yang mencemarkan reputasi parti. Individu-individu ini patutnya telah lama di ‘masukkan dalam peti sejuk’ dan digantikan dengan pemimpin yang lain yang bersih dari sebarang kontroversi.

7. Tanpa perlu menyebut nama-nama tertentu, semua orang sudah maklum siapa yang dilanda kontroversi dan siapa yang mempunyai masalah. Ada pemimpin yang entah bagaimana boleh terpilih memegang jawatan tertinggi sedangkan semasa pencalonan ia hanyalah nyawa-nyawa ikan manakala calon yang pencalonan tertinggi pula tewas. Tentulah ada sesuatu di sebaliknya.

8. Ada individu yang nyata diselubungi kontroversi membawa wang berjuta ke luar negara dan dibicarakan di mahkamah di sana, masih lagi boleh dipilih dan dilantik menganggotai kerajaan pada satu ketika.

9. Ini adalah sekadar beberapa contoh yang boleh dilihat dengan jelas. UMNO dan MIC patut melihat contoh yang dilakukan oleh MCA semalam jika masih mahu dianggap masih relevan dengan senario politik sekarang.

Thursday, October 8, 2009

DRAMA DARI SEBERANG

1. Akhir-akhir ini kedengaran bermacam-macam luahan rasa tidak puas hati terhadap penyiaran drama dan filem dari Indonesia dalam siaran televisyen tempatan tidak kira saluran kerajaan atau swasta. Ramai yang beranggapan tidak wajar drama-drama dan filem yang rendah mutunya itu ditayangkan untuk tatapan rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi sekarang ini dipengaruhi keadaan semasa hubungan rakyat Malaysia dengan rakyat Indonesia ekoran beberapa isu berbangkit.

2. Semua pendapat yang diutarakan dipengaruhi emosi marah dan tidak puas hati terhadap tindakan segelintir rakyat Indonesia ‘bertindak’ terhadap Malaysia. Tetapi jika diteliti dan direnungkan secara rasional, tidak kurang hebatnya drama dan filem dari sana dibanding dengan filem dan drama tempatan. Malah ada yang lebih hebat lagi.

3. Dalam minggu ini saya mengambil kesempatan menonton drama bersiri dari Indonesia bertajuk Si Cantik Dan Si Buruk Rupa yang mungkin diadaptasikan dari cerita Inggeris “Beauty And The Beast”. Mungkin drama itu tidak standing dengan dengan cerita Inggeris itu tetapi ternyata dapat mengalahkan drama tempatan “Zati dengan Si Mawas” dari segi penceritaan dan mutu lakonan serta prop dan sebagainya.

4. Dari apa segi pun, filem tempatan dan filem Indonesia sama sahaja, plotnya tidak masuk akal. Lihat saja filem “Jangan Pandang Belakang Congkak”dan “Toyol”, apa yang kita dapat dari filem tersebut selain dari jenaka yang memperbodohkan khalayak? Lihat saja komedi yang dibuat-buat dalam siri cerita komedi yang kita ada, penonton seperti diperbodohkan.

5. Para pengeluar filem tempatan tidak pernah mahu berusaha dan duduk berbincang untuk kemajuan industri filem dan drama tempatan, tentang bagaimana untuk berkerjasama bagi menghasilkan filem dan drama yang menarik serta bermutu tetapi mereka lebih senang bertelagah sesama sendiri tentang pendapatan filem siapa yang lebih seperti yang berlaku antara KRU Production dengan Metrowealth baru-baru ini walhal kedua-dua filem yang dijadikan isu itu tidaklah sehebat mana.

6. Jadi kita hendaklah melihat filem dan drama dari sudut seni bukan emosi. Mengakulah bahawa filem dan drama kita sendiri tidak sampai ke tahap mana pun maka tidak seharusnya kita mengutuk drama dan filem dari seberang sesuka hati kita. Yang baik tetap baik dan kita harus mengakuinya.

Monday, October 5, 2009

ADILKAH KITA?

1. Barangkali kerana terlalu mahukan laba maka kita lupa diri. Barangkali kerana terlalu memikirkan mendapat untung, kita sudah tidak keruan lagi. Kita mengeluarkan penghinaan demi penghinaan kepada orang lain yang tidak sependapat dengan kita. Kita mencerca orang lain yang tidak sehaluan dengan kita padahal mereka adalah sebangsa dan seagama dengan kita.

2. Bila kita sesuka hati mengata dan mengutuk orang lain, sesedap itulah juga orang akan mengata dan mengutuk kita pula. Apabila kita terlalu ghairah mencerca orang lain yang tidak sebulu dengan kita, pihak yang kita kutuk itu juga berhak berbuat demikian kepada kita. Jadi apa bezanya kita jika hendak dibandingkan dengan mereka?

3. Soalnya dapatkah kita menerima kutukan orang selepas kita begitu bebas dan senang mengutuk orang lain? Dapatkah kita menerima penghinaan dari orang lain terhadap kita sesudah kita begitu ghairah menghina orang? Akhirnya kita turut jadi seperti mereka.

4. Lebih molek kita berbuat sesuatu yang baik supaya kita menjadi lebih baik dari orang yang kita cerca dan hina itu. Lebih baik kita perbetulkan diri kita daripada kita mempertikaikan keburukan orang lain supaya kita dilihat lebih baik dari kumpulan yang kita hina dan cerca itu.

5. Kita tidak perlu heboh satu dunia menyatakan kita amat baik. Kita tidak perlu membandingkan diri kita dengan orang lain kerana perkara baik yang kita lakukan dengan sendirinya akan menghakimi apa yang tersurat dan tersirat. Perkara baik yang kita buat akan mengadili siapa baik dan siapa tidak.

6. Kita pukul canang ke seluruh pelosok dunia mengatakan kita baik dan bagus dalam serba-serbi dan kita heboh mengatakan bahawa orang lain tidak bagus dan tidak elok tetapi kita langsung tidak berbuat apa-apa yang baik selain memburuk-burukkan orang lain. Kita tidak berbuat apa-apa yang bagus selain menghina orang tetapi kita masih hendak tonjolkan diri kita sebagai insan terbaik di dunia.

7. Adilkah kita?