Thursday, April 16, 2009

DALAM KEMERIAHAN MENYAMBUT KETIBAAN 'EXORA', SEDARKAH KITA BAHAWA PROTON MENJADI PEROSAK BAHASA?

(Inilah EXORA)
(Semua tersenyum walaupun bersekongkol menjadi perosak bahasa sendiri)


Hari ini kita menyambut ketibaan keluaran baru Proton iaitu 'EXORA’ sebuah MPV yang dihasilkan oleh teknologi tempatan. Nampak cantik dan bergaya. Nampak menarik bila Perdana Menteri lancarkan semalam.

Tapi di sebalik kemeriahan menyambut ‘Exora’ itu, sedarkah kita bahawa pengeluar kereta nasional ini merosakkan Bahasa Melayu? Sepatutnya kita sama-sama berusaha memartabatkan Bahasa Melayu, tetapi terjadi sebaliknya. Proton lebih cenderung membantu merosakkan lagi Bahasa Kebangsaan kita ini.

Perkataan Exora tidak ada langsung dalam Kamus Dewan dan juga dalam penggunaan bahasa setiap hari. Tidak ada siapa yang tahu maknanya. Yang menjadi persoalan di sini, pihak Proton memberi ganjaran pula kepada individu yang mencadangkan nama Exora itu walaupun terang-terang telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Proton sendiri.

Kalau ditelitikan Borang Penyertaan Peraduan Menamakan Kereta Nasional itu, ada ruang bagi menyatakan makna perkataan yang dipilih. Tapi di sini, apa maksud yang diberikan kepada perkataan yang tidak pernah wujud itu? Inilah yang menjadi tanda tanya peserta yang lain yang berusaha mencari perkataan yang ada makna.

Ini seolah-olah menggalakkan lagi orang lain turut merosakkan bahasa dengan memberi nama-nama dari perkatan rekaan yang tidak ada dalam kamus terbesar tadi. Apa maknanya syarat setiap penyertaan mesti memberi maksud dan menghuraikan perkataan yang dipilih kalau perkataan tersebut memang tidak ada makna?

Apapun bukan sekali ini Proton buat silap tentang bahasa ini. Nama PROTON itu sendiri adalah satu nama yang boleh dipertikaikan. PROTON adalah kombinasi dari PERusahaan OTOmobil Nasional. Adakah dalam Kamus Dewan perkatan OTOMOBIL? Ia didasarkan daripada perkataan Automobile yang kalau di Bahasa-Melayukan akan menjadi AUTOMOBIL.

Jadi penggunaan OTO itu sudah salah, sepatutnya AUTO. Tetapi oleh kerana yang memberi nama syarikat itu dulu ialah Tun Mahathir, tokoh-tokoh bahasa semuanya berdiam diri. Para pemimpin Melayu semua menikus.

Selepas itu Proton mengejutkan kita pula dengan jenama proton ISWARA. Apa makna Iswara? Tidak siapa tahu. Hanya para perosak bahasa dan Proton sahaja yang tahu. Nama JUWARA juga tidak mempunyai makna apa-apa. Bagaimana pula dengan PERSONA, apakah maknanya? Semua kerana sedap didengar sahaja.

Yang teraniaya di sini adalah individu-individu yang betul-betul sayangkan Bahasa Melayu. Puas menyelak Kamus Dewan mencari satu perkataan Melayu yang ada makna, tiba-tiba pihak Proton memilih satu perkataan yang langsung tidak ada dalam Bahasa Melayu bagi menamakan MPV tersebut. Dan nama ini pula layak mendapat anugerah sebuah MPV. Nampaknya Proton lebih cenderung memberi hadiah kepada seorang perosak bahasa daripada pencinta bahasa.

Mana perginya Datuk Hassan Ahmad dan A Samad Said yang sayang sangat dengan Bahasa Melayu hingga sanggup berarak ke Istana Negara menuntut PPSMI di hentikan? Takkan isu PPSMI sahaja yang diperjuangkan?

Kerana isu tersebut menjadi kegemaran pihak pembangkang, anda terus ingin meraih populeriti. Kalau anda betul-betul ikhlas memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu, isu Proton ini juga merupakan isu nasional.

No comments:

Post a Comment