Kali ini biarlah saya meluahkan perasaan tentang topik yang tidak ada kena mengena dengan isu-isu semasa yang sedang hangat diperkatakan pada masa ini. Saya juga lari daripada kebiasaan dengan menulis sesuatu yang lain dari kebiasaan tetapi penting juga untuk makluman dan panduan kepada orang lain agar tidak mengambil mudah dalam sesuatu perkara.
Semua berlaku kerana saya mengambil mudah tentang sesuatu perkara. Saya tidak suka mengganggu kerja orang lain. Saya tidak mahu mengganggukenalan saya di mana-mana jabatan kerana bagi saya semua orang berkerja secara ikhlas dan jujur. Rupanya sangkaan saya meleset. Kita kena ada orang yang kita kenali dan kena ada saudara mara untuk membuka mata orang supaya nampak kita.
Baru-baru ini anak perempuan saya mengadu bahawa dia tidak dipanggil untuk mengisi jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih yang dipegangnya tahun lepas. Setelah setahun bertugas dan mendapat kredit yang tinggi di penglihatan pihak sekolah dan juga pelajar, beliau mengharapkan perkhidmatan tersebut disambung kerana sememangnya tahun 2009 ini masih mengalami masalah kekurangan guru.
Pada bulan November 2008, sebelum cuti persekolahan, anak saya dengan rakan-rakan telah pergi ke Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan menyerahkan Borang Perkhidmatan GSTT yang disokong Pengetua sekolah. Menurut pegawai berkenaan, mereka berkemungkinan akan dipanggil pada minggu pertama Januari 2009 apabila persekolahan bermula.
Memang betul, pada hujung minggu pertama persekolahan mereka mendapat panggilan daripada pegawai PPD tersebut tetapi tidak anak saya. Nampaknya tidak ada rezeki, kata saya. Hanya dua orang yang bersama dengannya menghantar borang dahulu yang dipanggil. Tempat anak saya diganti dengan orang lain pula. Anak saya menghubungi pegawai berkenaan bertanyakan tentang ‘nasibnya’ dan pegawai tersebut memberitahu bahawa dia (anak saya) mungkin akan dipanggil dalam minggu pertama bulan Februari.
Dan sekarang setelah masuk ke minggu kedua bulan Februari, anak saya masih juga tidak mendapat panggilan sedang banyak sekolah yang kekurangan guru sedang menerima guru-guru GSTT tetapi bukan anak saya. Dia tidak dipanggil juga.
Lalu saya memberanikan diri menghubungi pegawai PPD yang menguruskan penempatan Guru Sandaran ini, sekurang-kurangnya dapat megingatkan beliau tentang permohonan anak saya. Jawaan pegawai tersebut sangat mudah dan membuatkan saya termenung sejenak. Saya amat terkilan tentang cara dan tadbir-urus pengambilan guru untuk jawatan tersebut.
Menurut beliau, anak saya telah dihubungi dengan telefon tetapi oleh kerana tidak berjawab, beliau dianggap menolak tawaran tersebut. Patutkah berlaku begitu? Dengan hanya sekali panggilan dibuat dan pada waktu tersebut mungkin telefon anak saya bermasalah atau anak saya sedang sembahyang, sedang mandi, sedang memasak dan tidak sempat menjawabnya, terus dianggap tidak menerima perlantikan tersebut.
Itulah yang membuat saya merasa kesal. Tidakkah terfikir untuk menghantar SMS? Tidakkah terfikir untuk menghantar Email? Tidakkah terfikir untuk menghubungi dengan surat? Tidak terfikirkah untuk mengulang dail kali kedua?
Hanya kerana satu panggilan sahaja telah memusnahkan impian seorang remaja untukmenjadi guru. Hanya satu panggilan sahaja memusnahkan impian ayahnya untuk anak tersebut menyambung misinya yang belum selesai kerana telah bersara. Satu panggilan tidak berjawab sahaja memusnahkan segala-galanya.
Semua ini boleh menimbulkan fitnah.
Salam..sebagai pendidik saya rasa sedih dah kesal di atas apa yang berlaku. Dalam era yg serba canggih byk lagi cara untuk menyampaikan pesanan atau maklumat. Bagi saya mudah sahaja.. pihak yg terlibat MALAS atau BUAT KERJA MAIN2 sebab beranggapan jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih tidak begitu penting berbanding guru keluaran maktab. Sekian
ReplyDeletehttp://hebat2u.blogspot.com/
Assalamualaikum Saudara,
ReplyDeleteSaya kurang arif tentang bab ini.
Apa-apa pun elok juga anak Saudara pergi sendiri ke Pejabat Berkenaan dan minta putih hitam mengatakan dia tidak dapat jawatan ini.
Berdoalah, rezeki dari Allah swt. InsyaAllah swt anak Saudara akan diberi rezeki mungkin yang lebih baik dari ini. Hanya DIA yang tahu sebab rezeki kita semua dari dia. Namun berikhtiarlah dan tidak salah ke Pejabat itu nak tahu apa cerita sebenarnya dari main main telefon sahaja.
Saya doakan yang terbaik, InsyaAllah.