Isu Proton Perdana timbul lagi. Malang sungguh nasib kereta nasional ini. Semakin hari semakin turun pasaran kereta termasuk kereta nasional ini. Kilang Proton di Tanjong Malim sudah mengurangkan jumlah kenderaan keluarannya. Begitu juga kilang di Shah Alam. Pekerja yang ramai kadang-kadang dilihat berehat sahaja kerana kurang kerja yang hendak dilakukan. Shif malam sudah tidak ada lagi. Kerja ‘Over Time’ juga tidak ada lagi.
Bukan Proton sahaja yang mengalami nasib begitu. Naza menghadapi masalah lambakan produk sekian lama sehinggalah sekarang. Dapat dilihat kenderaan Naza tersadai di padang bersebelahan padang bolasepak berhampiran kilangnya di Gurun yang tidak dapat dipasarkan. Nasib yang sama juga juga menimpa kenderaan keluaran Produa.
Bukan kerana kereta keluaran negara tidakbagus tetapi masalah pasaran yang lembab menyebabkan produk tidak dapat dijual seperti biasa. Tempahan berkurangan setiap bulan dan langkah mengurangkan pengeluaran adalah jalan terbaik dilihat setakat ini.
Tetapi bukan soal itu yang hendak diperkatakan di sini. Yang hendak diperkatakan adalah mengenai penolakan Kerajaan Selangor dan Kerajaan Perak terhadap Proton Perdana bagi penggunaan Ahli Majlis Mesyuarat dan Pegawai-pegawai Kanan negeri-negeri tersebut. Riuh bunyinya bila kedua-dua kerajaan negeri tersebut mula menerima Toyota Camry menggantikan Proton Perdana yang banyak masalah.
Berbagai rasional diketengahkan bagi mengutuk perbuatan Selangor dan Perak. Selain dikatakan mereka memperlekehkan kereta keluaran tempatan, kedua-dua kerajaan tersebut dituduh tidak menyokong nadi pembangunan negara sedangkan kedua-dua kilang keluaran kereta tersebut beroperasi di negeri-negeri tersebut.
Tetapi kumpulan yang mengutuk ini jelas sudah lupa bahawa sebelum ini Kerajaan Terengganu telah berbuat demikian. Malah kerajaan Terengganu memulakan langkah sebaik sahaja membentuk kerajaan selepas PRU12. Tetapi perkara tersebut senyap begitu sahaja setelah Menteri Besarnya berjumpa dan memberi taklimat kepada Perdana Menteri. DS Abdullah seperti merestuinya pula pada waktu itu.
Yang jelas Kerajaan Terengganu dengan diketuai Menteri Besar barunya Datuk Ahmad Said lebih awal memperlekehkan kereta nasional tersebut malah diberikan dengan data perbelanjaan menyenggara yang begitu tinggi. Tapi kenapa tidak ada tokoh yang mempertikaikan tindakan Terengganu? Di mana tokoh-tokoh yang lantang menyuarakan kemarahan kepada Selangor dan Perak berada pada waktu itu?
Jelaslah ada ‘double standard’ dalam perkara ini. Kalau kerajaan BN lakukan, tidak ada suara yang menentang tetapi apabila kerajaan yang dikuasai pembangkang buat, macam-macam suara kedengaran padahal isunya adalah sama. Proton Perdana.
Jadi pihak yang sering mengkritik tindakan Selangor dan Perak haruslah berhati-hati dan melihat kembali tindakan Terengganu satu ketika dulu. Jangan pejamkan sebelah mata!
Nasib kamulah PERDANA. Nasib kamulah PROTON.
No comments:
Post a Comment