Tuesday, November 4, 2008

GEMBIRA DALAM DERITA

Semalam nampak Najib amat gembira bersama para penyokongnya mengangkat tangan tanda kemenangan. Menang Tanpa Bertanding! Saya tumpang gembira kerana tidak ada pertandingan jawatan Presiden, seterusnya tidak ada perebutan jawatan Perdana Menteri. Setakat itu sahaja gembira kita. Kalau mereka berebut-rebut jawatan PM itu, habis negara kita. Dalam tidak berebut pun dah tunggang-langgang dan ‘bercempera’ habis.

Tetapi betulkah menang tanpa bertanding? Jangan terlalu gembira sehingga lupa bahawa dalam UMNO ada beberapa ‘kem’ yang mempunyai beberapa orang ketua dan pemimpin pula. Hulubalang-hulubalang parti mewakili kaum Melayu ini harus ingat bahawa peraturan system ‘KOUTA’ yang dicipta Mahathir dan diguna-pakai itu menyelamatkan Najib dari menghadapi pertandingan. Kalau tak disebabkan oleh ‘senjata’ itu, bukan sahaja Tengku Razaleigh Hamzah yang akan beradu tenaga dengan Najib. Ada orang lain lagi berminat dengan jawatan nombor satu itu.

Sekarang orang-orang tersebut bukan main lagi memuji Najib padahal dalam hati Tuhan saja yang tahu. Muhyiddin Yassin pernah bersuara untuk berada dalam senarai pencabar untuk jawatan tersebut. Mohammad Mat Taib yang ada skandal duit RM2 juta dulupun berminat juga. Tetapi bila memikirkan susah hendak melepasi kouta tersebut, semua memendam rasa. Ya tak ya, kenalah memberi sokongan padu kepada Najib untuk menjaga diri terutama selepas Mac nanti.

Itulah politik dalam UMNO. Nak cari nahas memberi sokongan kepada Tengku Razaliegh? Orang yang pernah bersuara menyokong Mahathir pun cuba tengok apa sudah jadi. Rais Yatim bagaimana? Beliau masih penyokong Mahathir.

Muhyiddin Yassin kira bernasib baik kerana hanya melobi untuk jawatan nombor dua. Itupun sudah dihentam kiri-kanan oleh beberapa orang kuat Abdullah malah oleh Abdullah sendiri kerana dilihat sering ‘bercendoi-cendoi’ dengan Mahathir dan Mukrij.

Najib pula jangan gembira sangat. Ingatlah, setiap orang yang menyokong dan memuji itu ada agenda tersendiri. Itu semua strategi untuk selepas bulan Mac nanti selepas Najib menerima kuasa dari Abdullah. Dalam suasana politik yang semakin 'gila' sekarang, apapun boleh terjadi.

Pemimpin UMNO sibuk bercakaran sesama sendiri untuk merebut jawatan. Semua memberi pandangan dan nasihat seolah-olah ahli-ahli bodoh semuanya. Semua pemimpin sudah lupa tentang keluh kesah rakyat tentang harga barang. Lupa pada harga minyak yang turunnya lambat tidak seperti naiknya dahulu. Lupa pada rakyat yang menghadapi masalah kekurangan bahan makanan. Itulah kerja orang politik.

Dalam orang sibuk-sibuk menuntut penurunan harga barang , Noh Omar pula mengumumkan kenaikan tambang bas dan teksi. Sebab apa pula tambang bas dan teksi perlu dinaikkan? Harga minyak mahal? Kepentingan pengusaha bas sahaja diambil kira, kepentingan rakyat dan golongan bawahan yang menggunakan bas untuk ke mana-mana ini perlu juga dijaga. Orang kaya mana mahu menaiki bas.

Pemilik kenderaan sudah diberi subsiti berbentuk wang tunai (rebate) tetapi bagaimana penumpang bas? Pemilik dan pengusaha bas sudah dapat macam-macam, tiba-tiba penumpang pula kena bayar lebih.

Najib jangan seronok sangat, hanya menang sebab orang lain tidak boleh bertanding bukan orang tidak mahu bertanding. Orang lain pun kena ingat juga. Dalam masa memuji Najib bagai nak rak, perkara-perkara begini kena juga diambil kira.

1 comment:

  1. Salam buat Sdr.

    Apa yang saya kesalkan adalah kerana perebutan jawatan di dalam parti rakyat yang menjadi mangsa kerana pada hemat saya boleh dikatakan semua pemimpin UMNO dari Ketua Bahagian sehinggalah Menteri sudah hilang fokus, hilang tumpuan kepada pentadbiran negara. Masing-masing sedang berhempas pulas menyelamatkan diri masing-masing. Untuk survival politik masing-masing.

    ReplyDelete